Wednesday, August 31, 2005

Bangsi Bangsa


Bangsi Bangsa
(Dengan Irama Bangsi Ini, Bangunlah!)

Merdeka itu kata yang lancung
memancung sedar memancutkan leka
lantas
dupa alpa menjejali kamar bangsa
terpisat sesat dalam tawarikh sendiri
teraba dia dalam luas sahara rasa
sedang rasa membawa binasa.

Rengsa pada rengkung nusa
prahara liar menabrak nuansa
terlestari daki seribu keturunan
lantas lekas bertukas fitnah
menang sorak kampong tergadai.

Inilah cucu cicit Laksamana Tuah
denyut nadinya menghambat hangat darah pahlawan
meraksa kata puaka pusara bangsa
‘Takkan Melayu hilang di dunia’
sedang diri mengemis maruah
bagai melukut di tepi gantang.

Bangun dari lena nenda!
Hari ini hari merdeka!
Terbang!

Hafeziftiqar
Clayton darul Rahmah.
(Maha Suci Tuhan Yang Mengurniakan Kita Dengan Nikmat Ini)

Tuesday, August 30, 2005

Sayembara Cereka Sains Karyanet (DBP)

Pagi ini saya menerima berita daripada pegawai DBP menerusi email bahawa karya saya 'Gengsi Tanih Hitam' mendapat tempat kedua Sayembara Cereka Sains Karyanet 2005. Karya ini agak futuristik, tetapi saya menggunakan isu Palestin dan sejarah Muhammad Al-Fateh sebagai 'frame' cerita. Alhamdulillah atas rezeki ini. Karya ini mengandungi unsur-unsur tidak logik. Kenderaan terbang TL 1 dan 2 membawa maksud 'Tidak Logik' 1 dan 2. Untuk tidak menyerabutkan ruangan ini, saya sediakan link di bahagian kanan blog (hafeziftiqar:sayembara) untuk ke ruangan karya-karya yang pernah dipertandingkan dalam sayembara atau pertandingan penulisan. Link (hafeziftiqar:sarwajagat) untuk ke ruangan fotografi. Akhir kalam, selamat membaca dan selamat berfikir. Semoga semua usaha kita di berkati oleh Allah kerana hanya pada Dia kita akan kembali. Wallahualam... -hafeziftiqar-

Friday, August 26, 2005

Homo Hedonicus


Homo Hedonicus

Sudah hampir kepada tarikh 32 Augustus, bermaksud hampir jua kepada hari kemerdekaan Negara Hedonesia. Hedonesia ini, secara geografinya dihuni oleh manusia daripada spesies Homo Hedonicus yang berpegang teguh dengan adat dan budaya Hedonisme yang diimport daripada spesies yang pernah menjajahnya dahulu, Homo Kolonialus. Pepatah Homo Hedonicus yang paling terkenal ialah biar mati kutu jangan mati nafsu. Lantaran berpaut kuat pada pepatah itu, makin ramai generasi terkebelakang menjadi bangkut dan mundur. Setiap hari ada sahaja generasi muda yang dijangkiti virus dungu sampai Yang Mulia Presiden Hedonesia terpaksa mengambil langkah aneh dengan membekalkan kondom dan jarum suntikan bagi mengelakkan virus itu daripada terus merebak melalui proses mengawan tidak terkawal dan aktiviti cucuk mencucuk yang semakin menjadi-jadi. Pun begitu, virus dungu terus-terusan merebak tanpa dapat dibendung dan semakin ramai muda mudi Hedonesia dijangkiti Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Nafsu natijah daripada jangkitan virus itu. Lebih memburukkan keadaan, Homo Hedonicus ini gemar berkawan dengan syaitan tanpa mempedulikan amaran bahawa syaitan itu pernah berjanji untuk berusaha menyesatkan mereka hingga tiba hari kiamat.
Kebiasaannya Homo Hedonicus akan berkumpul bersama syaitan pada malam 32 Augustus untuk sama-sama melaungkan kata merdeka sebanyak tiga kali dengan bersaksikan tiang bendera separas pinggang jin ifrit. Kalimat itu wajib dilaungkan sepenuh hati kerana mereka sepenuh raga percaya, itulah manifestasi kesyukuran jiwa yang bebas. Biar laungan merdeka itu bergema sampai langit ke tujuh, sebab mereka ingin Tuhan tahu bahawa mereka sungguh-sungguh bersyukur dengan nikmat kemerdekaan itu lantaran tersalah tafsir ayat Tuhan yang bermaksud; jika kamu bersyukur akan kutambah nikmatku, jika kamu kufur (maka ketahuilah) azabku amat pedih. Malah banyak lagi dalil Tuhan yang sengaja diputar belitkan untuk menghalalkan keinginan nafsu mereka. Selepas tamat upacara melaungkan kata merdeka, malam kemerdekaan itu akan diserikan pula oleh nyanyian artis-artis tempatan yang akan menari dan menyanyi dengan penuh semangat patriotik di atas pentas yang siap didirikan khusus untuk sambutan tersebut.
Sebelum matahari 31 Augustus terbenam, separuh dari padang tempat tiang bendera separa pinggang ifrit berdiri gah sudah dipenuhi dengan Homo Hedonicus. Yang betina dengan baju dan seluar sendat menampakkan lekuk dan bonggol di sana sini sementara yang jantannya dengan variasi gaya dan warna rambut yang pelbagai. Puluhan ringgit habis semata-mata untuk mewarnakan bulu hitam yang bernama rambut. Ada juga yang bertindik di merata-rata bahagian badan mengalahkan lembu. Tidak kurang yang hadir dengan rantai yang berjuraian di sana sini melampaui mana-mana spesies anjing. Sesiapa sahaja yang berakal yang melihat lagak mual muda mudi Homo Hedonicus akan berupaya sampai kepada kesimpulan bahawa Homo Hedonicus ini sudah parah dijangkiti virus dungu. Disebabkan yang melihat itu menggenggam prinsip ‘jangan kacau aku sudah,’ maka mereka hanya membisu tanpa punya rasa tanggungjawab untuk menegur muda mudi itu supaya lekas ke rumah sakit bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
32 Augustus juga merupakan tarikh bagi syaitan berpesta. Syaitan di Hedonesia secara puratanya menyambut dua hari raya yang utama, yang pertamanya pada awal tahun baru dan yang keduanya menjelang kemerdekaan Hedonesia. Berbondong-bondong syaitan tua muda membanjiri padang tempat letaknya tiang bendera separas pinggang jin ifrit. Ada yang menyorok dalam pakaian dalam muda mudi Hedonesia, ada juga yang bertuah kerana dapat berumah dalam pembuluh darah dan yang capek bertenggek di atas kepala anak-anak muda spesies Homo Hedonicus. Syaitan adalah makhluk yang paling berbahagia saat menjelangnya kemerdekaan Hedonesia. Malam nanti, syaitan-syaitan itu akan berpeluang untuk hadir ke majlis-majlis mengawan dan minum bahan kimia yang akan berlangsung dengan banyaknya di ibu negara Hedonesia. Syaitan akan lebih berbahagia sekiranya betina-betina Homo Hedonicus bunting natijah daripada pesta malam nanti kerana dapatlah syaitan mencari elaun tambahan dengan menghasut mereka supaya membunuh anak-anak yang menempel di dalam rahim.
Dalam mana-mana cerpen, baik yang berkisar seputar pengisahan cinta yang memualkan atau halwa minda yang tidak bermanfaat, watak antagonis kebiasaannya akan dipasangkan dengan watak protagonis bagi mewujudkan kesinambungan konflik. Begitulah juga dengan cerpen ini. Homo Islamicus adalah satu golongan yang cukup merimaskan Homo Hedonicus kerana golongan itu seringkali mencari fasal dengan melarang mereka ghurub dalam segala bentuk hiburan yang bertentangan dengan buku yang diberi nama ‘Himpunan Kata-kata Tuhan.’ Golongan ini gemar sekali mengingatkan mereka bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan peri pentingnya berhakim dengan keseluruhan isi kandungan ‘Himpunan Kata-kata Tuhan.’ Ibnu Taimiyah, antara imam besar Homo Islamicus mengatakan bahawa golongan yang beriman dengan sebahagian risalah (Himpunan Kata-kata Tuhan), tetapi kufur dengan sebahagian lagi adalah tertolak imannya. Barangkali Homo Hedonicus menyangka bahawa beriman itu adalah cukup dengan menerima apa yang selari dengan keinginan mereka sahaja. Bagi Homo Hedonicus, golongan ini adalah golongan yang jumud, ortodoks dan beku kerana tidak mahu mengikut arus semasa. Disebabkan itulah Homo Hedonicus seringkali mewara-warakan tentang peri pentingnya ‘Himpunan Kata-kata Tuhan’ itu disemak semula dan diberi penafsiran baru.
Malam 31 Augustus. Tinggal lagi dua jam untuk loceng besar berdentung diikuti dengan laungan merdeka oleh Homo Hedonicus. Dalam penantian itu, sekonyong-konyong Homo Islamicus diketuai oleh Encik Beranikeranabenar menyerbu pentas yang disediakan khusus untuk sambutan kemerdekaan. Homo Hedonicus senyap. Benci segera menyusup dicelah-celah perkumpulan Homo Hedonicus.

“Hai Homo Hedonicus! Aku memberi amaran kepada kamu, takutilah azab Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu itu tidak menzalimi kamu, bahkan kamulah yang menzalimi diri sendiri!”

“Bersurailah kamu daripada majlis yang dibenci Tuhan ini! Ketahuilah kamu, azab Tuhan amatlah cepat dan amatlah pedih!” Pekik Encik Beranikeranabenar.

Keberanian Encik Beranikeranabenar amatlah mengejutkan sekalian Homo Hedonicus. Syaitan pula merasa cukup geram dengan tindakan tersebut lalu dihasutnya Homo Hedonicus supaya menghalau Homo Islamicus dari situ. Lantas berpuluh-puluh kasut, plastik bungkusan air, botol minuman dan bungkusan burger menghujani Homo Islamicus. Lebam-lebamlah Homo Islamicus lantaran tindakan terlampau Homo Hedonicus itu.

“Ingatlah! Azab Tuhan amat cepat dan amat pedih!” Teriak Encik Beranikeranabenar sebelum bubar dari kawasan perhimpunan Homo Hedonicus.

***
Jam 12 malam. Loceng yang sepatutnya berdentung senyap tanpa bunyi. Sekonyong-konyong langit yang terang dengan cahaya bulan menjadi legam diikuti dengan gegaran kuat dari bumi. Merekah. Angin yang tadinya sepoi-sepoi bahasa bertukar menjadi gila. Dari rekahan bumi, lidah-lidah api menyambar dan menggulung. Neraka....

Thursday, August 25, 2005

Nukilan Seorang Sahabat


Jangan jadi seteguh karang, kerana seteguh-teguh karang kan mati jua akhirnya, malah tika hidup pun ada yang kecewa, terdampar di pantai masih berwarna.
Jadilah seteguh masa, tidak menoleh kebelakang walau seketika. Tidak kecewa dan berundur walau apa jua. Tidak henti ke hadapan walau apa jua rintangan.

Nukilan: Aidi Aswadi

Monday, August 22, 2005

Subhanallah

Sampaikan Pujiku Pada Penciptamu
Doakan Hatiku Semulus Pelepahmu
Ketemu Lagi
Teruslah Dengan Zikirmu

Saturday, August 20, 2005

Pencerahan Agung

Pencerahan Agung

Burung-burung kecil berhambatan melintasi Kampong Sedarlah. Barangkali gembira dengan kemunculan mentari pagi. Alangkah muramnya hari andai mentari enggan berkongsi cahaya. Ketenangan dan keceriaan itu menyerpih menjejali tiap ceruk Kampong Sedarlah. Ketenangan pagi yang ramah melatari pelataran Sekolah Menengah Kebangsaan Ikutja sebetulnya tidak setenang mana. Baik pelajar baligh atau mumaiyiz yang menyedari ketidaktenangan itu hanya buat tak tahu. Selamba. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Biar yang berlaku itu kiamat sekali pun, kalau tidak mengganggu keselesaan mereka, gasaklah, tak perlu ambil pusing.

“Engkau guru sejarah yang derhaka!” Jerkah Encik Malasfikir, matanya mencerlung seolah-olah mahu melompat keluar dari soket mata. Pipinya bergetar mengempang marah. Biji halkumnya turun naik seolah-olah mahu ditelannya Encik Kuatfikir, teman sekerjanya yang kaku di tempat duduk.

“Engkau mengajar murid-murid bahawa zaman paleolitik, mesolitik dan neolitik itu hanya imaginasi tak berpaksi! Engkau menolak fakta bahawa manusia paleolitik tidak punya sistem bahasa! Engkau juga menyanggah bukti bahawa manusia paleolitik tidak punya konsep cucuk tanam, penternakan dan pemilikan harta! Engkau guru sejarah yang sesat!” Encik Malasfikir semakin ghairah menghunjam marah, suaranya tinggi sampai menarik perhatian seluruh isi bilik guru.

Dua tahun lalu, Encik Kuatfikir sungguh hati percaya bahawa sejarah awal peradaban manusia secara kasarnya terbahagi kepada fasa paleolitik, mesolitik dan neolitik. Sama seperti Encik Malasfikir. Segalanya berubah apabila dia mengunjungi tanah haram pada penghujung tahun 2002. Ketika dia terlena dinaungi pohon tamar, dia telah bermimpi dijerkah Allahyarham Tok Kenali. Dia memanggil mimpi itu sebagai pencerahan agung di bawah pohon tamar. Dalam mimpi itu, Tok Kenali memarahinya kerana gagal mengingatkan anak bangsa tentang asal mereka, tanggungjawab mereka, tujuan hidup mereka dan pengakhiran hidup mereka. Dia juga telah dipaksa oleh Tok Kenali untuk menduduki ujian bertulis, masih lekat diingatannya soalan yang tertera pada kertas ujian tersebut; ‘Nyatakan ciri-ciri manusia awal dan pengajaran yang boleh diambil. (100 markah).’ Yang menanda kertas jawapannya ialah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, teman seguru Tok Kenali. Tika Tok Kenali menyerahkan kertas yang siap ditanda, dia terkejut besar. Gagal! Kosong per seratus. Dia, seorang guru pakar sejarah hanya beroleh kosong per seratus. Memalukan. Sampai Tok Kenali mengambil keputusan untuk menyebat pinggulnya dengan rotan sebesar kelingking budak. Terjaga.

Pulang dari tanah haram dia nekad untuk menilai semula pandangannya terhadap sejarah. Puluhan buku diselami, baik sejarah, sains atau agama. Genap setahun, dia bukan lagi dia yang dahulu. Sekarang dia percaya, walau apa jua istilah, zaman batu awal atau paleolitik, manusia sebetulnya telah memiliki sistem bahasa sejak tercipta Adam. Tuhan sekalian alam telah mengajarkan Adam tentang nama segala macam ciptaanNya di bumi sampai malaikat tak punya sebab untuk tidak mengaku bahawa Adam adalah khalifah. Manusia terawal bukanlah dungu amat hingga tidak tahu bercucuk tanam, menternak haiwan dan memiliki harta. Menyusuri kisah Qabil dan Habil, apabila Tuhan telah menyuruh mereka menyerahkan korban masing-masing, Qabil hadir dengan hasil tanaman busuk dan Habil dengan haiwan ternak yang gemuk. Tuhan menerima korban Habil yang akhirnya menyebabkan Qabil bertindak membunuh Habil kerana didesak oleh rasa dengki. Nah, bukankah itu bukti awal-awal lagi manusia sudah tahu menternak, bercucuk tanam dan punya konsep pemilikan harta?

Sejarah punya impak yang besar terhadap jati diri sekelompok manusia. Dalam sistem feudal, kaum tani sentiasa punya paradigma bahawa mereka adalah gelandangan yang patut sujud di kaki bangsawan kerana sejarah mereka adalah begitu, sejarah gelandangan yang wajar sujud pada bangsawan. Mengiktiraf manusia berasal daripada masyarakat purba yang tidak memiliki sistem bahasa sama sahaja mengiktiraf manusia berasal daripada beruk. Secara tidak langsung menolak konsep manusia adalah khalifah di muka bumi. Lupa bahawa manusia adalah khalifah akan melahirkan masyarakat yang lembam dan menyediakan alasan untuk Barat sekali lagi mewara-warakan bahawa mereka punya alasan untuk memperbudakkan Timur kerana merasakan mereka adalah beruk yang telah terkehadapan dalam proses evolusi. Kembali melaungkan slogan tanggungjawab untuk mentamadunkan Timur. Sungguh, ini adalah serangan bentuk baru yang bertujuan melenyapkan jati diri anak-anak bangsa supaya mereka melihat Barat adalah dewa sekalian alam.

Berbelas pasang mata tertumpu pada sketsa yang dibintangi oleh Encik Malasfikir dan Encik Kuatfikir. Encik Malasfikir masih dirasuk geram sampai mukanya merah. Encik Kuatfikir masih senyap, tenang.

“Keturunan kau monyet?” Tanya Encik Kuatfikir selamba. Terpempan Encik Malasfikir.

“Dengan mengiktiraf manusia awal tidak punya sistem bahasa, tidak bercucuk tanam, tidak menternak haiwan dan tiada konsep pemilikan harta, sama dengan kau mengatakan kau berasal daripada monyet seperti yang diketengahkan Darwin,” yakin Encik Kuatfikir mengatur kata.

“Malasfikir, bukankah kita perlu menanamkan jati diri dalam diri anak-anak bangsa kita, dan bukankah jati diri yang tertinggi ialah tidak merasa takut kecuali kepada Pencipta? Bukankah jati diri yang sebegitu yang dimiliki oleh Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Kenali, Sheikh Abdullah Fahim dan ramai lagi?”

“Bagaimana jati diri sebegini akan wujud jika anak-anak kita merasakan mereka adalah produk evolusi jutaan tahun dan bukannya daripada Adam yang diciptakan Tuhan?”

“Biarlah anak-anak kita berfikir kreatif dan kritis, bukan hanya mengunyah mentah-mentah apa yang diterima, aku hanya menyampai, mereka menilai,” Encik Kuatfikir menyudahkan kata dengan intonasi memujuk. Senyap. Bilik guru dirempuh sunyi.

Kata-kata itu menampar ego Encik Malasfikir. Geramnya menggelegak. Geram betul, hingga terasa mahu melepaskan satu tumbukan ke hidung penyek Encik Kuatfikir. Sedang begitu, dia meninggalkan meja Encik Kuatfikir dan berjalan laju menuju ke kelas 5 Mangsa. Encik Kuatfikir masih tenang di kerusi, dia melemparkan senyuman kepada teman-teman sekerja yang sedari tadi menonton sketsa antara dia dan Encik Malasfikir.

***

Terasa pertukaran siang dan malam cepat benar berlaku. Seolah-olah dalam sehari hanya ada 12 jam. Encik Kuatfikir berjalan malas-malas menuju ke katil bujangnya. Umur sudah senja, tetapi jodohnya menyorok entah di mana-mana. Peristiwa siang tadi warawiri membuat kacau di daerah fikir. Barangkali, dia agak kasar dengan Encik Malasfikir. Dia sepatutnya lebih berhikmah menangani situasi sebegitu. Sedang dia bermuhasabah, dia disapa oleh Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, arwah mengajak dia pergi ke sebuah sekolah, kemudian mereka beriringan menuju ke bilik pengetua. Di situ, Allahyarham Tok Kenali siap sedia dengan rotan sebesar kelingking budak. Di tepi meja, Encik Malasfikir berdiri dengan muka yang pucat.

“Lekas, unjukkan pinggul!” Jerkah Arwah Tok Kenali, Encik Malasfikir mengunjukkan pinggul, takut-takut. Tidak menunggu lama, arwah menyebat pinggul Encik Malasfikir. Meraung-raung teman sekerjanya itu, dan dia yang berdiri di sebelah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, menepuk tangan.