Sunday, May 03, 2009

Selesema Babi , Santa Muerte dan An-Naqba



Suara dari gerombolan itu menyatu: ‘Ala bio! Ala bao! Ala bim bom ba! Oh Dewa! Oh Dewa! Rah rah rah!’ Dilabel sesat oleh gereja Katolik, para penyembah Dewa Kematian (Santa Muerte) di Mexico sebaliknya bertambah dari hari ke hari. Pada Dewa Kematian yang tak punya prejudis seperti yang mereka lihat ada pada gereja Katolik, gerombolan itu memohon perlindungan dan hajat. ‘Tuhan untuk para penjahat’, kata seorang paderi. Dan para penjahat itu menjadi hamba yang taat kepada Santa Muerte setelah disisih Gereja Katolik. Perlahan-lahan, kepercayaan pra-Hispanik menyusup di dunia gelap Mexico menggantikan kepercayaan terhadap Kristian yang dianggap agama yang prejudis.

Pernah seorang pendosa yang membunuh 99 nyawa bertemu seorang rahib untuk bertanya apakah mungkin dosa membunuh 99 orang itu diampun Allah? ‘Tidak!’ kata rahib lalu rahib itu menjadi mangsa ke seratus. Dia kemudian bertemu seorang alim bertanya apakah pembunuhan yang seratus itu terampunkan? ‘Ya,’ jawab alim itu. Dalam perjalanan mencari keampunan Allah, kematian lebih dahulu menemui dia dan kematian itu dipandang dengan pandangan belas oleh Allah sehingga dia layak dibawa pulang oleh malaikat rahmat [1]. Di dalam Islam, tak satu pun dosa tidak diampun Allah sehingga anda harus mencari Tuhan selain Allah.

Santa Muerte, tuhan selain tuhan konvensional di Mexico itu barangkali dianggap sibuk saat ini di negara yang melahirkan selesema babi tahun 2009 itu. Di Mesir, ribuan babi yang menjadi makanan Kristian Koptik dibunuh. Babi boleh jadi perkataan paling sensitif di negara majoriti Islam. Di Malaysia, malah menjadi senjata politik yang ampuh – projek penternakan babi mega oleh Kerajaan Selangor pernah menjadi polemik sampai ada yang berpendapat kerajaan baru itu harus disamak. Ya, babi boleh digunakan untuk mencalarkan imej sesiapa sahaja di negara majoriti Islam. Pernah seorang politikus menjerit-jerit memarahi politikus lawan di Parlimen Malaysia, ‘siapa babi negara?!’ selepas pakatannya dipanggil ‘babi’.

Watak Napolean dalam satira Animal Farm, karya George Orwell ialah babi yang menganut fahaman Machiavellisme – apa sahaja halal dalam politik dalam usaha mengekalkan kuasa. Saya mengikuti dengan takut kelahiran Napolean dalam politik Israel yang bertopengkan Avigdor Lieberman - Politikus ultra-kanan, anti-Arab yang mendapat tempat di Knesset Israel (Parlimen Israel). Sepanjang kempen pilihanraya, Lieberman akrab dengan slogan anti-arab. Knesset jarang meraikan politikus yang mahu berbaik-baik dengan dunia arab. Yitzhak Rabin, perdana menteri ke 5 Israel, yang dilihat bersahabat dengan Arab melalui Perjanjian Oslo ditembak mati oleh ultra-kanan. Lebih parah, Napolean seperti Avigdor Lieberman diangkat pula menjadi Menteri Luar di Knesset.

Mei 14 ini ialah An-Nakba, bermaksud malapetaka. Diingati Israel sebagai hari kemerdekaan, diingati oleh Palestin sebagai penjajahan. Di Melbourne, akan ada rapat umum besar-besaran untuk mengingati An-Nakba. An-Nakba tahun ini, menyaksikan seorang lagi Santa Muerte lahir di Knesset Israel. Dan kita wajar bertanya, berapa ramai lagi yang mesti mati untuk sebuah Palestin merdeka?

------

[1] Mutafaqun A’laih. Hadith riwayat Abu Sa'id ibn Sa'd ibn Malik ibn Sinan al-Khudri. Rujuk Bab Taubat, Hadith 20, Riyadh As-Solihin

6 Comments:

Blogger CahayaSirius said...

Salam,
1-nampaknya kerajaan Mesir cepat bertindak, ambil langkah berjaga2.Semoga para penggemar babi mengubah selera mereka kepada menu yg lebih baik.
2-dah baca ini? http://ummuhani.com/?p=733

12:08 AM  
Blogger NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

salam anakanda,

lagi 3 semester ...insyaallah anakanda akan berjaya.

pasai apa depa dah tukar nama selsema babi....dah jadi flu A N1H1.

wassalam.

8:14 PM  
Blogger Amermeftah said...

Mesir memang betindak pantas dan ganas. Sampai WHO terpaksa tukar nama selsema babi kepada H1N1 takut ada lagi negara yg keliru ikut jejak langkah Mesir. Sampai penternak babi mengamuk. Setiap penternak dibayar ganti rugi EGP 1000 sahaja. Bukan EGP 1000 utk setiap ekor babi.

12:06 AM  
Blogger Hafez Iftiqar said...

fatin, sy pernah diskus secara peribadi dgn beliau 2 tahun lepas. Jawapan yg sama diberikan.


ayahanda, selsema itu memang selsema yang disebabkan oleh H1N1 yang berasal drp babi, tapi virus ini boleh bermutasi. wabak terbaru ni disebabkan oleh (H1N1 baru), virus yang termutasi dan hanya boleh jumpa di kalangan manusia (untuk waktu ni)bukan dikalangan babi. jadi H1N1 yang baru ini tak ada kena mengena dengan babi walau pun datuk nenek dia (H1N1 yang asal)asal drp babi. Itu sebab WHO tukar nama, supaya babi-babi yg ada sekarang tak menjadi mangsa atas 'dosa' datuk nenek mereka. Penjelasan ringkas saya, harap masuk akal =)

Amermeftah, barangkali salahkan WHO kerana menimbulkan kekalutan. Mungkin WHO harus membayar pampasan utk babi2 yang telah menjadi mangsa.

10:35 PM  
Blogger NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

assalamualaikom ,

terima kasih anakanda,baru saya paham.

Doakan anakanda sihat dan berjaya menghabiskan pengajian.

wassalam.

11:37 PM  
Blogger Hafez Iftiqar said...

Terima kasih. Semoga sihat sejahtera juga bersama anak-anak dan terus diberi kekuatan utk beribadah =)

1:00 AM  

Post a Comment

<< Home