Saturday, August 20, 2005

Pencerahan Agung

Pencerahan Agung

Burung-burung kecil berhambatan melintasi Kampong Sedarlah. Barangkali gembira dengan kemunculan mentari pagi. Alangkah muramnya hari andai mentari enggan berkongsi cahaya. Ketenangan dan keceriaan itu menyerpih menjejali tiap ceruk Kampong Sedarlah. Ketenangan pagi yang ramah melatari pelataran Sekolah Menengah Kebangsaan Ikutja sebetulnya tidak setenang mana. Baik pelajar baligh atau mumaiyiz yang menyedari ketidaktenangan itu hanya buat tak tahu. Selamba. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Biar yang berlaku itu kiamat sekali pun, kalau tidak mengganggu keselesaan mereka, gasaklah, tak perlu ambil pusing.

“Engkau guru sejarah yang derhaka!” Jerkah Encik Malasfikir, matanya mencerlung seolah-olah mahu melompat keluar dari soket mata. Pipinya bergetar mengempang marah. Biji halkumnya turun naik seolah-olah mahu ditelannya Encik Kuatfikir, teman sekerjanya yang kaku di tempat duduk.

“Engkau mengajar murid-murid bahawa zaman paleolitik, mesolitik dan neolitik itu hanya imaginasi tak berpaksi! Engkau menolak fakta bahawa manusia paleolitik tidak punya sistem bahasa! Engkau juga menyanggah bukti bahawa manusia paleolitik tidak punya konsep cucuk tanam, penternakan dan pemilikan harta! Engkau guru sejarah yang sesat!” Encik Malasfikir semakin ghairah menghunjam marah, suaranya tinggi sampai menarik perhatian seluruh isi bilik guru.

Dua tahun lalu, Encik Kuatfikir sungguh hati percaya bahawa sejarah awal peradaban manusia secara kasarnya terbahagi kepada fasa paleolitik, mesolitik dan neolitik. Sama seperti Encik Malasfikir. Segalanya berubah apabila dia mengunjungi tanah haram pada penghujung tahun 2002. Ketika dia terlena dinaungi pohon tamar, dia telah bermimpi dijerkah Allahyarham Tok Kenali. Dia memanggil mimpi itu sebagai pencerahan agung di bawah pohon tamar. Dalam mimpi itu, Tok Kenali memarahinya kerana gagal mengingatkan anak bangsa tentang asal mereka, tanggungjawab mereka, tujuan hidup mereka dan pengakhiran hidup mereka. Dia juga telah dipaksa oleh Tok Kenali untuk menduduki ujian bertulis, masih lekat diingatannya soalan yang tertera pada kertas ujian tersebut; ‘Nyatakan ciri-ciri manusia awal dan pengajaran yang boleh diambil. (100 markah).’ Yang menanda kertas jawapannya ialah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, teman seguru Tok Kenali. Tika Tok Kenali menyerahkan kertas yang siap ditanda, dia terkejut besar. Gagal! Kosong per seratus. Dia, seorang guru pakar sejarah hanya beroleh kosong per seratus. Memalukan. Sampai Tok Kenali mengambil keputusan untuk menyebat pinggulnya dengan rotan sebesar kelingking budak. Terjaga.

Pulang dari tanah haram dia nekad untuk menilai semula pandangannya terhadap sejarah. Puluhan buku diselami, baik sejarah, sains atau agama. Genap setahun, dia bukan lagi dia yang dahulu. Sekarang dia percaya, walau apa jua istilah, zaman batu awal atau paleolitik, manusia sebetulnya telah memiliki sistem bahasa sejak tercipta Adam. Tuhan sekalian alam telah mengajarkan Adam tentang nama segala macam ciptaanNya di bumi sampai malaikat tak punya sebab untuk tidak mengaku bahawa Adam adalah khalifah. Manusia terawal bukanlah dungu amat hingga tidak tahu bercucuk tanam, menternak haiwan dan memiliki harta. Menyusuri kisah Qabil dan Habil, apabila Tuhan telah menyuruh mereka menyerahkan korban masing-masing, Qabil hadir dengan hasil tanaman busuk dan Habil dengan haiwan ternak yang gemuk. Tuhan menerima korban Habil yang akhirnya menyebabkan Qabil bertindak membunuh Habil kerana didesak oleh rasa dengki. Nah, bukankah itu bukti awal-awal lagi manusia sudah tahu menternak, bercucuk tanam dan punya konsep pemilikan harta?

Sejarah punya impak yang besar terhadap jati diri sekelompok manusia. Dalam sistem feudal, kaum tani sentiasa punya paradigma bahawa mereka adalah gelandangan yang patut sujud di kaki bangsawan kerana sejarah mereka adalah begitu, sejarah gelandangan yang wajar sujud pada bangsawan. Mengiktiraf manusia berasal daripada masyarakat purba yang tidak memiliki sistem bahasa sama sahaja mengiktiraf manusia berasal daripada beruk. Secara tidak langsung menolak konsep manusia adalah khalifah di muka bumi. Lupa bahawa manusia adalah khalifah akan melahirkan masyarakat yang lembam dan menyediakan alasan untuk Barat sekali lagi mewara-warakan bahawa mereka punya alasan untuk memperbudakkan Timur kerana merasakan mereka adalah beruk yang telah terkehadapan dalam proses evolusi. Kembali melaungkan slogan tanggungjawab untuk mentamadunkan Timur. Sungguh, ini adalah serangan bentuk baru yang bertujuan melenyapkan jati diri anak-anak bangsa supaya mereka melihat Barat adalah dewa sekalian alam.

Berbelas pasang mata tertumpu pada sketsa yang dibintangi oleh Encik Malasfikir dan Encik Kuatfikir. Encik Malasfikir masih dirasuk geram sampai mukanya merah. Encik Kuatfikir masih senyap, tenang.

“Keturunan kau monyet?” Tanya Encik Kuatfikir selamba. Terpempan Encik Malasfikir.

“Dengan mengiktiraf manusia awal tidak punya sistem bahasa, tidak bercucuk tanam, tidak menternak haiwan dan tiada konsep pemilikan harta, sama dengan kau mengatakan kau berasal daripada monyet seperti yang diketengahkan Darwin,” yakin Encik Kuatfikir mengatur kata.

“Malasfikir, bukankah kita perlu menanamkan jati diri dalam diri anak-anak bangsa kita, dan bukankah jati diri yang tertinggi ialah tidak merasa takut kecuali kepada Pencipta? Bukankah jati diri yang sebegitu yang dimiliki oleh Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Kenali, Sheikh Abdullah Fahim dan ramai lagi?”

“Bagaimana jati diri sebegini akan wujud jika anak-anak kita merasakan mereka adalah produk evolusi jutaan tahun dan bukannya daripada Adam yang diciptakan Tuhan?”

“Biarlah anak-anak kita berfikir kreatif dan kritis, bukan hanya mengunyah mentah-mentah apa yang diterima, aku hanya menyampai, mereka menilai,” Encik Kuatfikir menyudahkan kata dengan intonasi memujuk. Senyap. Bilik guru dirempuh sunyi.

Kata-kata itu menampar ego Encik Malasfikir. Geramnya menggelegak. Geram betul, hingga terasa mahu melepaskan satu tumbukan ke hidung penyek Encik Kuatfikir. Sedang begitu, dia meninggalkan meja Encik Kuatfikir dan berjalan laju menuju ke kelas 5 Mangsa. Encik Kuatfikir masih tenang di kerusi, dia melemparkan senyuman kepada teman-teman sekerja yang sedari tadi menonton sketsa antara dia dan Encik Malasfikir.

***

Terasa pertukaran siang dan malam cepat benar berlaku. Seolah-olah dalam sehari hanya ada 12 jam. Encik Kuatfikir berjalan malas-malas menuju ke katil bujangnya. Umur sudah senja, tetapi jodohnya menyorok entah di mana-mana. Peristiwa siang tadi warawiri membuat kacau di daerah fikir. Barangkali, dia agak kasar dengan Encik Malasfikir. Dia sepatutnya lebih berhikmah menangani situasi sebegitu. Sedang dia bermuhasabah, dia disapa oleh Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, arwah mengajak dia pergi ke sebuah sekolah, kemudian mereka beriringan menuju ke bilik pengetua. Di situ, Allahyarham Tok Kenali siap sedia dengan rotan sebesar kelingking budak. Di tepi meja, Encik Malasfikir berdiri dengan muka yang pucat.

“Lekas, unjukkan pinggul!” Jerkah Arwah Tok Kenali, Encik Malasfikir mengunjukkan pinggul, takut-takut. Tidak menunggu lama, arwah menyebat pinggul Encik Malasfikir. Meraung-raung teman sekerjanya itu, dan dia yang berdiri di sebelah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, menepuk tangan.

7 Comments:

Blogger Hafez Iftiqar said...

Ini karya yang lama saya peram, berkisar seputar penyelewengan sejarah yang terjadi dalam masyarakat kita, sedangkan dalam Quran terang-terangan menerangkan berkenaan kisah Adam dan Hawa serta Qabil dan Habil. Soalnya mengapa kita yakin bahawa peringkat ketamadunan manusia itu dibahagikan keada 3 yang utama?Ini terjadi kerana masyarakat kita malas berfikir, dan hanya menerut sahaja, sedangkan musuh2 ISlam tidak pernah redha dengan Islam, lantas mereka2 cerita supaya kita tidak merasakan hubungan Pencipta (Allah)-hamba.Perlu diingatkan, ayat AlQuran yang jelas, maka tiada alasan untuk kita menolak ayat tersebut. Pendekatan penulisan ini adalah melalu mimpi, juga perlu diingatkan, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum syarak. Mimpi yang saya gunakan dalam karya cuma sebagai medium untuk mengetengahkan kisah dalam AlQuran itu.Wallahualam.Sebarang teguran dan komen dialu-alukan...Selamat berfikir....

9:16 PM  
Blogger Zackyun said...

memang betul kita tak seharusnya terima bulat2 tapi kat msia nie exam oriented..herm, nie mengingatkan saya pada buku 1511 karya faisal tehrani..(tapi tak sama lah..cuma teringat aje..dah baca?)

2:11 PM  
Anonymous Anonymous said...

itulah masalahnya, biler exam oriented, org tak sempat nak fikir, org lebih gemar ikutjer flow, macam hidup jugak, macam dah ader template, sampai 25 tahun masa utk belajar, pastuh kawin, pastuh kerja (pergi kerja, balik, rehat2 dengan family),pastuh dalam 55 tahun, lepas pencen gi haji, pastuh mati...Takder terfikir untuk faham pasal apa tujuan sebenar manusia nih dihidupkan, sekadar ikut template setempat?
1511, saya belum berkesempatan untk baca, kalau ada kelapangan saya cuba habiskan insyaAllah...Salam doraemon...=)

12:05 AM  
Anonymous Anonymous said...

assalamualaikum..
cerpen yang menarik dan mantap!!
teruskan usaha enta untuk menulis..
ana menyokong usaha enta..
semoga istiqamah di jalan ini...
tapi ana tak berapa faham ending dier tu..
bleh enta jelaskan?
jazakillah..

12:23 AM  
Anonymous Anonymous said...

Ending begini sebenarnya adalah summary yg kurang jelas maknanya,kena hayati dalam2.Saya letakkan, watak protagonis itu berjumpa Arwah Syeikh Abdullah Fahim, bermakna, protagonis sudah pun tertidur dan bermimpi.Dalam mimpi itu, protagonis lihat antagonis kena rotan, saya nak beritahu bahawa apa yang antagonis itu pegang adalah salah tapi disebabkan dia degil, jadi wajarlah dia menerima hukuman.Apapun yang penting pengajaran, terima kasih sebab baca.=)

12:40 AM  
Anonymous Anonymous said...

terima kasih sebab meleraikan kekusutan tu..teruskan menulis..

10:49 AM  
Blogger fazleen razali said...

saya suka karya berani begini. berani dalam menegakkan kesilapan. selama inipun saya belajar beriya-iya percaya (zaman jahiliyah dolu2) dan menghafal paleolitik etc.. dan tanpa sedar sebenarnya kita menerima teori darwin. guru sejarah saya dulupun tak kata apa-apa pula tentang hal ini, mengaitkan sejarah manusia dengan nabi Adam a.s...
jadi karya sebegini memang harus diketengahkan, diberi pendedahan.
masyarakat kita tidak sedar serangan minda yahudi, masih..

11:37 PM  

Post a Comment

<< Home