Saturday, April 12, 2008

Babi

propaganda - Photo Hosted at Buzznet

Napolean seekor babi jahat. Kisahnya bermula bila sekelompok haiwan di sebuah ladang jadi tak berpuas hati lalu memberontak terhadap Tuan Jones yang telah gagal menguruskan ladang dengan baik. Yang menyedarkan mereka betapa harusnya pemberontakan itu ialah Old Major, seekor babi pemikir. Snowball pula seekor babi putih yang bijak dan banyak berjasa kepada sekalian haiwan selepas berlakunya pemberontakan terhadap Tuan Jones. Tamakkan kuasa, Napolean si babi jahat dengan bantuan juak-juaknya menghalau keluar Snowball lantas berkuasa penuh di ladang. Bagi membolehkan dia kelihatan hebat, Napolean dari semasa ke semasa bikin propaganda buat mengelabui mata sekalian haiwan. Ini sinopsis ‘The Animal Farm’ – sebuah satira yang ditulis George Owell buat menggambarkan pandangan beliau terhadap rejim Stalin di Rusia. Napolean ialah Stalin, Snowball ialah Leon Trotsky, Tuan Jones ialah Tzar dan barangkali Old Major ialah Karl Marx.


Usaha memahami satira harus bermula dengan memahami kisah di sebalik satira tersebut. Waktu di Malaysia, ada beberapa satira yang sempat saya baca – SHIT oleh Shahnon Ahmad dan Babi oleh Ibrahim Ali. Kedua-duanya, kalau tak memahami isu semasa akan jadi bahan bacaan paling dungu untuk dibaca kerana manfaatnya tiada.


Babi tulisan Ibrahim Ali sudah jarang diperkatakan. Yang hangat saat ini – penternakan babi moden di Sepang. Sebenarnya saya takjub dengan propaganda yang dimainkan. Saya bersetuju dengan pendapat yang menyuruh Tan Sri Khalid mengkaji semula lokasi projek tersebut terutamanya kalau benar babi-babi itu nanti akan berumah hampir dengan rumah penduduk Melayu Islam. Ah! Saya pun tak mahu berjiran dengan babi. Yang saya takjub ialah propaganda – penduduk kampung yang menutup hidung sambil menunjukkan sungai yang hitam busuk akibat najis babi. Hitamnya sungai itu bukan kerana babi-babi yang berkenaan dipindahkan ke situ sebulan yang lepas, sebaliknya babi-babi itu sudah di situ bertahun-tahun, semenjak pemerintahan kerajaan terdahulu. Sungai itu barangkali tidak akan sebegitu kalau ada langkah proaktif kerajaan terdahulu menangani isu pembuangan najis babi ke dalam sungai. Kalau benar teknologi yang akan diperkenalkan nanti menghalang terlepasnya sebarang bentuk sisa kumbahan babi, tak ada lagi ladang-ladang babi baru dibuka, kena lokasinya, pemantauan menyeluruh terhadap penyakit bawaan babi akan lebih berkesan, menyelamatkan alam sekitar daripada najis babi, ya, buat saja. Kaum bukan Islam memerlukan babi dan semua orang, Islam atau tidak memerlukan alam yang sihat.


Teresa Kok barangkali harus lebih bijak. Projek yang sepatutnya boleh menyelamatkan keadaan alam yang menderita akibat berak kencing babi, menjadi polemik akibat gopoh-gapah Teresa Kok mengumumkan projek babi mega. Teresa tak harus lupa, barangkali yang lebih layak mengumumkan tentang projek babi mega ialah Yaakob Sapari yang memegang portfolio Pemodenan Pertanian. Pasca PRU 12, Teresa dan babi jadi sangat akrab. Keghairahan Teresa seolah-olah memberi gambaran – terima kasih memberi kemenangan kepada Barisan Rakyat, terimalah projek babi mega sebagai hadiah...


Seperti membaca satira, politik Malaysia harus dibaca dengan teliti terutamanya bila jentera propaganda sangat aktif bergerak. Barisan Rakyat, kalau mereka salah, ya, tegur sahaja seperti kalian pernah berdemonstrasi menentang kerajaan terdahulu! Nah! Kerajaan baik Barisan Rakyat atau Barisan Nasional harus takut kepada rakyat – kalianlah!


Pun babi masih tetap babi. Tidak seperti Napolean yang cuba menjadi manusia di penghujung satira George Owell, babi-babi di Selangor secara khusus dan babi-babi di seluruh Malaysia amnya harus diselenggara dengan baik oleh manusia. Jangan lagi ada orang mati akibat jangkitan bawaan babi atau sungai yang hitam akibat kencing berak babi. George Owell juga mengajarkan, propaganda satu kemestian untuk berkuasa secara kotor. Ada satu kata-kata yang sangat saya suka oleh Friedrich Hagel, seorang ahli falsafah yang banyak mempengaruhi Karl Marx atau Old Major, si babi pemikir. Kata Hegel, “The only thing we learn from history is that we learn nothing from history”. Tanpa belajar dari sejarah, kita seperti haiwan di dalam ‘The Animal Farm’ - ditipu Napolean.

3 Comments:

Blogger prism-ness said...

I've read Animal Farm before and I love it so much. But you are the one who made me finally understand which character belongs to whom.TQ

1:04 AM  
Blogger Hafez Iftiqar said...

Sis, it is interesting to see how history repeats itself. Most of satires implicitly preserved histories in unique ways. Animal Farm, in my eyes is one of such well written satires. =)

1:39 PM  
Blogger Wan Nor Ashikin said...

Em,betul2..Betul 2.

2:22 AM  

Post a Comment

<< Home