Catatan Eceran: Kosciuszko, kembara dan guru
Sekitar banjaran Alps Taman Negara Kosciuszko
Tak siapa boleh menafikan, penerokaan jiwa paling agung juga berlaku di suatu tempat yang tinggi, di gua Hira’, yang letak di Jabal Nur (Bukit Cahaya) yang setinggi 550 meter itu. Pendakian dan pengembaraan seorang manusia yang merasakan dia adalah seorang yang asing di tengah-tengah syirik dan khurafat yang membening di Kota Mekah pada tahun 610 masihi yang langsung menemukan baginda SAW dengan Jibril, Iqra’ dan semestinya Allah SWT. Dan tak melampau kalau saya kaitkan diaspora Muslim seluruh dunia pada hari ini beroleh momentum dari seruan baginda SAW yang juga dari puncak yang tinggi, di Bukit Safa yang menjadi petanda permulaan dakwah secara terang-terangan. Dan mesti jangan dilupakan,perit kembara Rasulullah bersama sahabat baginda, Abu Bakar RA, dari Mekah ke Madinah memungkinkan kita menikmati status Muslim pada hari ini. Harus, populasi Muslim yang sejumlah dua bilion sekarang harus berterima kasih kepada kesanggupan generasi awal mengembara ribuan batu bagi menyebar luas kalimah Tauhid. Alhamdulillah atas kesanggupan mereka.
Sekitar banjaran Alps Taman Negara Kosciuszko
“Buat apalah korang bersusah-payah buat benda macam tu, sejuk nak mati atas tu, baik duduk rumah ja.” Saya sentiasa menerima kata-kata sedemikian dalam beberapa usaha kembara saya sebelum ini. Bagaimana harus saya menerangkan tentang nikmat bersolat fardhu berbumbungkan langit di puncak yang tinggi? Atau memerhatikan hamparan gunung-ganang sambil mengagumi kebesaran Tuhan? Atau bersyukur dengan apa yang ada dalam keadaan serba kekurangan? Atau keakraban yang terbina bersama teman lewat susah-payah yang ditempuh? Tak mungkin. Hanya dengan melalui sendiri kita mampu merasai semua ini. Begitulah sedikit sebanyak yang saya rasai sewaktu menawan Kosciuszko, puncak yang tertinggi di Tanah Besar Australia. Apa pun tak boleh menjadi galang ganti pengalaman menggigil menunaikan solat jamak di tengah banjaran Alps Australia itu. Di atas bumbung Australia, saya menginsafi kekerdilan saya seorang hamba.
Pengalaman dari kembara kehidupan adalah guru yang terbaik. Al-Quran menggalakkan manusia mengembara ke seluruh pelusuk dunia buat memerhatikan kebenaran Allah SWT. Tanya Allah di dalam surah Ar-Rum ayat sembilan, “Tidakkah mereka mengembara di bumi lalu melihat kesudahan orang-orang sebelum mereka?” Seruan saya, teruskan kembara dengan tabah buat semua. Seperti Kosciuszko mengajarkan saya erti kesyukuran, saya mendoakan kalian menemukan sesuatu dalam setiap kembara kalian. Dari kembara-kembara generasi awal, hari ini, Islam sinonim dengan kita.
Masih ingatkah kita akan sumpah Musa Ibnu Nusair [1] sewaktu menghadapkan muka beliau ke lautan Atlantik bilamana gerombolan tentera Islam tiba ke Maghrib di pantai barat Afrika selepas kembara yang jauh? “Andaiku tahu ada tanah di seberang sana, nescaya aku akan pergi untuk menyebarkan kalimah tauhid!” Paradoks, hari ini kita lebih senang bersenang-senang di bawah selimut dari menghadapi sejuk cuaca. Masih ingatkah kita sumpah Musa Ibnu Nusair melalui suratnya kepada khalifah Walid Bin Abdul Malik [2] seusai menawan timur Sepanyol selepas kembara yang panjang? “Kami telah menawan Sepanyol. Dan sekarang izinkan aku maju ke Constantinople dengan menawan seluruh tanah Eropah sepanjang perjalananku ke sana dan hanya selepas itu aku akan melawat kamu!” Paradoks, hari ini kita lebih senang bersenang-senang di hadapan televisyen daripada berguru dari pengalaman menerusi kembara.
Nota kaki:
1. Gabenor Kerajaan Bani Umayyah bahagian barat sewaktu pemerintahan Khalifah Walid Bin Abdul Malik.
2. Khalifah Bani Umayyah yang menggantikan bapanya, Abdul Malik Bin Marwan, yang meninggal pada tahun 705 masehi.
1 Comments:
Assalamualaikum...
penulisan yg mengetuk n membuka minda...
sy selalu mengembara, namun x pernah dapat terjemahkan ape yg sy dapat...hmm..terasa rugi betapa lama sy mengembara..tapi kosong..
salam perjuangan...semoga istiqomah dalam menyampaikan dakwah ;)
Post a Comment
<< Home