Wednesday, November 28, 2007

Anekdot Panda dan Puisi Prosaik (Ulasan)

panda01 - Photo Hosted at Buzznet




Ulasan Puisi ‘Membujuk Hati’ dan ‘Apologi’ oleh penyair GKLN.
*Kredit untuk Sdr Emzek dan Sdr Sarah
Oleh: Hafez Iftiqar Termizi

Suatu ketika dahulu, saya pernah terbaca anekdot panda khusus menggambarkan betapa penggunaan tanda baca boleh menjadi isu yang tak boleh dipandang remeh. Saya sertakan anekdot panda untuk bacaan kalian serta memudahkan saya menyampaikan maksud saya.

Seekor panda masuk restoran dan telah memesan makanan. Setelah selesai makan, panda mengeluarkan pistol, menembaki pelayan lalu melangkah keluar.

“Kenapa kau lakukan itu?” tanya seorang pelayan yang terselamat.

Sang panda mengeluarkan sebuah panduan mergastua dan melontarkan kepada pelayan.

“Kerana aku seekor panda,” katanya. “Bacalah.”

Pelayan membuka halaman ‘P’ dan bertemu definisi panda, “ Panda. A rare bearlike mammal (Ailuropoda melanoleuca) of the mountains of China and Tibet, having woolly fur with distinctive black and white markings. Eats, shoots and leaves.”

Eats, shoots and leaves – makan, tembak dan pergi. Padahal perlu ditulis Eats shoots and leaves – makan rebung dan daunan. Tanda koma (,) telah menyebabkan sang panda salah faham lalu dia hadir di restoran; makan, tembak dan kemudian pergi!

Secara umum, tanda baca bertujuan supaya penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca. Ambil contoh anekdot yang saya sertakan dalam ulasan ini, tanda pengikat kata (“...”) guna untuk memberitahu pembaca bahawa itu adalah dialog. Bolehkah tanda baca diabaikan? Ya, boleh. Anda adalah penulis, jadi anda punya licentia poetica (poetic license) untuk melanggar aturan tatabahasa. Tapi perlanggaran ini tak harus terjadi kecuali anda pasti yang anda mampu berkomunikasi dengan pembaca secara berkesan.

Terkurang tanda baca adalah masalah, terlebih tanda baca juga masalah. Kedua-duanya membuatkan pembaca anda keliru. Oleh itu, jangan lakukan dua kesilapan ini. Pokoknya, dalam membuat keputusan untuk menggunakan tanda baca, fikirkan pembaca anda.

Penggunaan tanda koma bertindih (;) secara umum punya tiga tujuan. Pertama, memisahkan bahagian ayat yang setara dengan keadaannya. Berikut adalah contoh penggunaan: Hafez Iftiqar seorang kacak; ramai gadis sawan selepas melihat beliau. Contoh dua dari puisi ‘Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu’ oleh Fadhrazy: ‘masih tak terbaca tafakur ketinggian rahsia itu; tabir ruhi yang tak terjangkau...’ Untuk memudahkan kita, saya mencadangkan, dalam cubaan menggunakan tanda (;), cuba gantikan terlebih dahulu dengan kata yang memainkan fungsi sama seperti ‘iaitu’ atau ‘oleh itu’. Ingat, tanda (;) guna untuk menghubungkan ayat!

Tujuan kedua tanda (;) ialah memisahkan bahagian-bahagian ayat yang menggunakan kata hubung. Seperti contoh yang saya gariskan dalam anekdot panda, seharusnya bahagian itu ditulis begini: Dia hadir di restoran; dia makan, dia tembak dan kemudian dia pergi. Perhatikan ayat ‘dia makan’ dan ‘dia tembak’ yang kemudiannya disusuli kata hubung ‘dan’. Kerana saya punya poetic license, saya membuat keputusan untuk tidak menggunakan ayat penuh sebaliknya memadai kata ‘makan’, ‘tembak’ dan ‘pergi’. Pokoknya, kita harus tahu, penggunaan tanda (;) adalah untuk memisahkan bahagian-bahagian ayat yang menggunakan kata hubung. Tahu, sesudah itu kita boleh menggunakan poetic license.

Penggunaan ketiga adalah untuk memisahkan pembayang dan maksud. Tidak hanya pantun, malah sajak yang punya pembayang dan maksud juga terangkum dalam perbincangan ini. Ambil contoh pantun dua kerat berikut:

Pecah kaca pecah gelas;
Lepas baca harap balas.

Untuk contoh pantun empat kerat:

Memakan longan sambil bersembang,
Buah berlubang dimakan jangan;
Kalau cik adik masih seorang
Bolehkah abang hantar rombongan?

Kalau kamu suka, apa sahaja tulisan yang punya maksud dan pembayang boleh menggunakan teknik ini. Fadhrazy dalam puisi ‘Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu’ telah menggunakan tanda koma bertindih ini dengan sangat cemerlang. Perhatikan bait-bait berikut:

Seketika aku menjentik maujud gunung-Mu;
yang bergetar itulah kerdil insaniku.

Seketika aku menghembus gejolak mentari-Mu;
Yang terpadam itulah ketakburan batiniku.

Seketika aku menghambat keliaran angin-Mu;
Yang rebah itulah gelojoh peribadiku.

Seketika aku membakar pesona bulan-Mu;
Yang garing itulah ghairah duniawiku.

Seketika aku meneroka tegar belantara-Mu;
Yang terkoyak itulah nafsu manusiawiku.

Sedikit mengenai pandangan saya tentang penggunaan tanda (;) yang digunakan oleh Sdr Emzek dalam puisi ‘Membujuk Hati’. Tanda ini boleh sahaja digantikan dengan tanda koma (,) atau tanda sempang (-), atau tak perlu menggunakan apa-apa tanda atau kalau saudara suka, gunakan teknik penulisan lain, enjambemen misalnya. Teknik enjambemen mudahnya adalah teknik mematah-matahkan baris. Untuk panduan:

Menyalah
bukan pilihan. Redha
atas ketentuan. Muhasabah
segala laku.

Puisi yang baik adalah puisi yang indah makna dan bentuknya. Puisi yang lemah digambarkan dengan sifat prosaik, imej bercampur, klise dan penggunaan kata bombastik yang sampai menghalang pembaca menggali makna puisi.

Pengarang yang hebat, menurut pandangan saya mampu menukarkan kata yang biasa-biasa menjadi indah. Ini boleh dilakukan dengan memanipulasi gaya bahasa yang tertentu. Harus juga diingatkan, dalam usaha memanipulasi gaya bahasa, klise sedaya upaya mesti dielakkan. Klise adalah dosa yang kerap dilakukan oleh penulis-penulis baru. Metafora ‘pelita hidup’ dan ‘keladak jiwa’ sebagai contoh, adalah klise. Metafora seumpama itu kerap benar digunakan oleh pengarang dan tidak lagi memberi kesan yang mengagumkan. Fikirkan sesuatu yang segar dalam puisi anda. Pemilihan diksi juga harus logik supaya baris yang terhasil sesuai. Sebagai contoh pemilihan kata ‘menggoncang’ dalam simile ‘Ia datang bak harimau menggoncang’ adalah kurang sesuai untuk menggambarkan harimau yang datang berlari mahu pun berjalan.

Fenomena puisi lewah juga biasa terjadi di kalangan pengarang baru. Melalui pengamatan saya, puisi yang lewah kebiasaannya juga merupakan puisi yang prosaik. Untuk tujuan kritikan dan ulasan supaya kita sama-sama boleh belajar, saya ambil contoh daripada puisi ‘Apologi’.

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan
Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan

Bait pertama ini adalah bentuk prosaik yang saya maksudkan. Bait ini tak ada beza kalau ditulis dalam bentuk prosa: ‘Terbit matahari pagi tadi aku buka almari, terlihat baju kurung putih (putih sekali) yang punya manik-manik kecil’. Bait-bait puisi ini juga mempunyai makna selapis dan terlampau peribadi.

Maksud terlampau peribadi, puisi ini hanya mahu bercerita kepada pembaca tentang diri penulis atau kisah dalam puisi itu hanya boleh diaplikasikan kepada penulis. Dalam puisi ‘Apologi’ sebagai contoh, tentang penulis yang terkenangkan ibunya apabila penulis terpandang baju putih miliknya di suatu pagi dan tentang penulis yang mahu meminta maaf kerana dia seorang doktor banyak kekurangannya dan lain-lain. Menurut Rahman Saari, sajak yang terlampau peribadi tidak sesuai untuk khalayak dan baik disimpan sahaja dalam fail peribadi.

Umumnya, ketaksaan atau ambiguiti adalah suatu kemahiran yang disanjung tinggi dalam kepenyairan. Ketaksaan ini boleh dicapai dengan menggunakan gaya bahasa dan diksi yang berlapis makna. Ketaksaan adalah kemahiran menyampaikan maksud tanpa perlu menyebut secara terus sekali gus mampu memerdekakan puisi anda daripada sifat prosaik.

Matahari pagi
sering tak mahu bersahabat
sering menghambat kawanan memori
berbalam, rawak-rawak cahaya silam
adalah kesibukan
adalah kelalaian
adalah keputusasaan
seorang aku,
yang menghulurkan salam persahabatan
pada matahari yang sombong.

Aku adalah lopak air
rembang siang nanti, aku kering
bertebaran sebagai zarah-zarah.

Sebagai contoh, dua bait di atas boleh sahaja membawa maksud keseluruhan puisi ‘Apologi’ tulisan Sdr Sarah. Bait-bait tersebut juga lebih taksa dengan menggunakan teknik puisi tertentu dan puisi itu pun sudah tidak peribadi lagi. Cukup buat menggambarkan keputusasaan atau menyerah kalah (rasanya, tema yang kurang bagus). Seorang doktor, akan menafsirkan keputusasaan itu berlaku bila dia gagal menyelamatkan nyawa pesakitnya, bila dimarahi jururawat sebab tulisan buruk sampai tak boleh baca (sayalah tu) dan lain-lain.

Dalam tulisan sebelum ini, saya telah menyentuh bahawa konsistensi adalah penting. Ayat mudah, kalau Sdr Sarah mahu menggunakan matahari, sdr boleh memperalatkan matahari dan sahabat-sahabatnya (awan, langit, pokok dan lain-lain) sepanjang puisi sdr. Metaforakan, personafikasikan, inversikan, ironikan mereka (atau lain-lain). Gunakan segala macam gaya bahasa yang sdr mahu dalam upaya memperalatkan matahari dan kawan-kawannya bagi menghasilkan puisi yang baik.

Pemilihan diksi yang melompat-lompat adalah kelalaian yang perlu dielakkan. Kelalaian ini menyebabkan puisi anda dipandang sebagai pendosa. Dalam puisi ‘Apologi’, tiba-tiba sahaja penulis menulis tentang kerusi beroda yang tak pernah pun disebut dalam bait-bait terdahulu. Berikut adalah bait tersebut:

Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan
Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan

Lihat juga baris ‘Perlahan kupangku ia atas ribaan’, memadai kalau penulis hanya menulis kupangku atau kuriba, ini sudah mewakili maksud yang diingini. Elakkan pemilihan kata yang lewah.

Apapun, saya harus memberikan pujian kepada kalian kerana minat yang mendalam dalam kesusasteraan Melayu. Tepukan untuk Sdr Emzek dan Sdr Sarah. Untuk kita semua, nasihat saya, penulis yang baik juga merupakan pembaca yang tegar. Baca sebanyak mungkin buku-buku merangkumi segala bentuk penulisan, rentas bidang, belajar daripada tulisan-tulisan penulis mapan setempat atau internasional. Penulis luar negara terutama dari GKLN, sebagaimana yang sering diperkatakan Fahdrazy, harus punya kelainan untuk dipersembahkan kepada khalayak sastera Malaysia. Wallahualam.

Salam hormat dan maaf kalau ada sebarang khilaf.

Hafeziftiqar,
Frankston, VIC, Australia,
28 November 2007.

--------

Puisi-puisi yang diulas:

(1) Membujuk Hati
Malang bukan permintaan,
bukan impian.
Ia datang bak harimau menggoncang
Aum, amuk tanpa sempadan
Menggertak menggetar,
akal dan iman
Sendirian ia datang, terkadang segerombolan
Menyerang tidak, menghalang bukan.
Malang bukan sial yang mampir
Memburuk menggugat ganggu
Memutus memberai rahmat
Menghakim segala silap.
Malang itu rahmat
Membersih keladak daki jiwa
Yang semakin mendak,
menghitam terlegam.
Menyalah; bukan pilihan,
Redha; atas ketentuan,
Muhasabah;segala laku.
Emzek
Yamaguchi, Jepun


(2) Apologi

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil
Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan
Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan
Aku ke hilir mengejar nyawa
Aku ke hulu membantu manusia
Bilang saja di mana
Aku pasti bisa
Janjikan tempat dan masa
Pasti aku tiba jua
Darahku mengalir semangat
Nadiku berdegup penuh minat
Mengusung nyawa selagi daya
Sungguhpun ada teriak tempik ke langit
Katakan aku bukan yang terbaik
Terkadang waktu itu aku jauh hati
Patah hati jua datang iri
Kerana aku bukan si baju putih terhebat
Yang bisa mengusir pergi si malaikat
Kerana aku bukan dukun handal
Yang bisa mengubat hidup-hidup yang sundal
Tapi aku punya kudrat
Yang akan bekerja selagi aku daya
Tapi aku punya tangan
Yang akan memberi selagi aku memiliki
Tapi aku punya hati
Yang akan berdoa selagi aku ada
Terkadang aku rasa mahu melolong
Berkata pada dunia bahawa aku kini kosong
Aku tidak lagi punya kudrat
Kerana aku sendiri melarat
Aku tidak punya tangan
Kerana aku kini buangan
Yang setia cuma hati
Tak pergi, masih mahu menemani
Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan
Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan
Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua
Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai
Dunia
Apologi terdalam dari hatiku yang bersih
Dalam pembaringan
Berbaju kurung putih
Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF

1 Comments:

Blogger Isman Sulaeman said...

Salam Kenal
Boleh Tau pengertian dari pusi-porsaik ngga?
terus aturan pembuatannya gimana?

9:51 PM  

Post a Comment

<< Home