Monday, November 05, 2007

Maaf, Saya Tak Mahu Jadi Kamu

RUDD FRONT wideweb  470x433,0 - Photo Hosted at Buzznet


Saya cemburu melihat telusnya demokrasi di Australia. Menjelang pertembungan Kevin Rudd dan John Howard tak lama lagi, ketelusan amalan demokrasi ini lebih dirasai. Saya bukan partisan, saya tak peduli siapa pun menang dalam pilihanraya asalkan dasar perjuangan sang pemenang sejajar dengan aspirasi saya. Saya teringat beberapa sesi tutorial bila tutor saya bercerita tentang dasar-dasar John Howard yang tak menguntungkan. “Enough is enough,” kata mereka. John Howard tak lagi boleh dibiarkan berkuasa. Di mana-mana orang bercerita tentang pro serta kontra John Howard dan Kevin Rudd. Kalau di Malaysia, kalau kamu bercerita tentang seseorang dari parti pembangkang sebagai contoh, secara automatik kamu akan dilabel sebagai anjing parti pembangkang. Kamu akan jadi sangat takut, kalau nasib kamu tak baik, kamu mungkin dikenakan ISA atau kamu mungkin ditukar kerja ke kawasan pedalaman. Kalau kamu bercerita tentang keburukan parti pembangkang pula, kamu akan dianggap anjing kerajaan. Kamu juga akan jadi sangat takut, berhadapan dengan ahli taksub parti lawan, kamu mungkin dipanggil kafir atau munafik. Kamu hanya boleh jadi satu antara dua; anjing kerajaan, kamu bercakap tentang keburukan parti lawan dan sentiasa bercakap tentang kebaikan kerajaan atau anjing pembangkang, kamu bercakap tentang jeleknya kerajaan dan betapa bagusnya parti pembangkang. Kedua-duanya pun, kamu masih anjing!

Di Malaysia, menjadi seorang taksub adalah amalan biasa. Seorang taksub tak peduli apa jadi dalam tubuh partinya. Biar partinya busuk membangkai, dia tak langsung peduli untuk membersihkan partinya. Pokoknya, bangkai itu adalah sebahagian daripada partinya. Katakan ada dua parti, Parti Melayu Segak Bergaya (PMSB) dan Parti Islam Bukan Syiah (PIBS). Sekali kamu menyokong PMSB, sampai mati kamu menyokong PMSB. Kamu tak peduli tentang korupsi atau apa, persetankan, kalau kamu tahu pun, kamu tak akan bangkit menegur. Begitu juga kalau kamu penyokong PIBS, sekali PIBS, sampai ke kubur PIBS. Kamu tak peduli kalau ada penyelewengan prinsip dalam parti kamu, kamu tak sanggup bangun menentang pun. Berdiam diri, kamu berharap, kejelekan itu tak diketahui parti lawan.

Saya pernah melihat ketaksuban ini pada tahun 1990. Di sebuah kampong, pertembungan pembangkang dan kerajaan tak terelakkan lagi. Saya masih ingat, sewaktu pemuda-pemuda Semangat 46 dan pembangkang yang lain menebang pintu gerbang yang dibina pemuda UMNO. Orang Melayu berparang sesama sendiri. Ketaksuban rupanya boleh menukar keamanan menjadi perang saudara. Hari ini, Semangat 46 sudah jadi sejarah, tapi ketaksuban masih ada dalam diri kamu. Saya bukanlah aktivis demokrasi. Maaf, saya cuma tak mahu menjadi kamu, seorang taksub yang tak boleh berfikir lantaran ketaksuban yang kukuh menguasai.

2 Comments:

Blogger izzatyhjhassan said...

Saya sangat sukakan artikel ini

~izzatyhassan~
St Andrews

5:01 AM  
Blogger Wan Nor Ashikin said...

Btul,ana sokong..Kdg2 ad antra kt ni yg tksub tnpa kt sedar. Kna slalu ingat "Keterikatan kt kpd wajihah mestilah tidak melebihi keterikatan kt kpd islam"..

2:38 AM  

Post a Comment

<< Home