Catatan Ramadhan: Islam Sontoloyo dan Manunggaling Kawula Gusti
(Catatan Umum Selepas Kecewa Terlepas Sahur)
Bung Karno (Soekarno) menulis dengan marah; Islam Sontoloyo! Sontoloyo secara kasar bererti bodoh yang digunakan sebagai kata makian. Tulisan itu adalah tindak balas Bung Karno yang melihat sikap umat Islam yang mundur antara lain dibelenggu taklid. Saya wajib merasa sedih, kerana kebanyakan orang yang menganggap diri sebagai pejuang Islam pun mudah terkeliru dengan pelbagai –isme, tarikat dan sebagainya. Sebab itu dari dulu saya menyeru supaya mempelajari Quran, Sunnah dan sejarah Islam daripada sumber yang hampir dengan Rasulullah dan sahabat, ada ratusan sumber yang masih boleh didapati hasil usaha memelihara ketulenan Islam oleh ramai ulama salaf. Saya menyeru supaya kita tidak terperangkap dengan istilah-istilah lalu membenarkan taklid dan menghukum membuta tuli.
Lucu, ada seorang budak yang tidak mahu bersolat di sebuah masjid kerana katanya; “Saya wahabi, tak boleh solat dengan sunni!” Ada juga kawan-kawan yang mengatakan Wahabi sesat. Soalan saya, “Syeikh, anta pernah baca tulisan-tulisan Muhammad Bin Abdul Wahab?” Saya sepatutnya memperuntukkan masa sehari untuk ketawa kerana kebanyakan jawapan mereka ialah; “Tak pernah!" Ini macam; Dah orang lain kata sesat, aku kata sesat ajalah. Saya perlu akui, antara huraian terbaik dalam soal aqidah adalah huraian dan penjelasan yang dibuat oleh Muhammad Bin Abdul Wahab. Apakah kerana Wahabi dikaitkan dengan Osama Ben Laden lalu tulisan Muhammad Bin Abdul Wahab semuanya menjadi haram. Ini satu lagi lelucon, ramai ulama yang mengharamkan perbuatan teror Osama ialah ulama yang dikaitkan dengan Wahabi, soalan saya, siapa yang Wahabi? Osama atau ulama Wahabi yang mengharamkan perbuatan Osama yang dikatakan berfahaman Wahabi? Kalau anda keliru dengan soalan ini, bererti anda tidak faham dengan perkara mendasar. Seruan saya kepada anda, tolonglah peduli tentang ummah!
Kebanyakan orang Melayu gemar cerita ghaib seperti jin merogol bini orang. Biar saya cerita sedikit tentang Syeh Siti Jenar. Menurut banyak teks, sewaktu Sunan Bonang sedang mengajar Sunan Kalijaga* di dalam sebuah sampan, ada seekor cacing berhampiran mereka, cacing ini adalah Syeh Siti Jenar. Sunan Bonang yang menyedari cacing itu adalah Siti Jenar yang mengubah dirinya dengan sihir telah menegur sang cacing; “Apsal ko dengar curi-curi?” Lalu cacing pun menjadi manusia. Sebenarnya saya ingin bercerita tentang ajaran Syeh Siti Jenar yang dipanggil Manunggaling Kawula Gusti yang kontroversi. Apakah ini soal baru? Tidak! Manunggaling Kawula Gusti ialah melebur dan bersatu dengan sifat Allah. Konsep ini lebih awal dipelopori oleh Hallaj. Dalam konsep ajaran Hallaj dipanggil Al-Hulul, suatu kedudukan di mana dia adalah Allah dan Allah adalah dia. Sebagaimana Hallaj, Syeh Siti Jenar dihukum bunuh. Saya tidak marah kepada kawan-kawan yang berminat dengan tasawuf. Saya sendiri kagum dengan syair-syair Jalaludin Rumi. Apakah gemar membaca syair Jalaludin Rumi mewajibkan saya mengikut Ajaran Mevlevi yang antara lain saya perlu menari berpusing-pusing sambil berzikir kepada Allah? Sekali lagi, biar saya menyeru, eloklah penerokaan agama dibuat dari Quran dan Sunnah dan huraian yang terbaik untuk keduanya adalah huraian para salaf ummah.
Setahun yang lalu, saya pernah menulis puisi yang keras berjudul Abuya Kroni Tuhan. Saya catat semula dengan sedikit ubah suai seperti yang di bawah;
Abuya!
Dia jagoan maksiat
tapi pengikut nombor wahid.
“Tunggu dulu Izrail! Dia pengikut nombor satu,
kirim salam saja sama Tuhan.”
Terima kasih Abuya
Abuya kroni Tuhan!
Abuya!
Dia jaguh lucah
Abuya, dia pengikut nombor satu.
Ayuh hantar Abuya, ke meja bulat para malaikat
dan roh para anbiya’,
“Pesan sama Tuhan, ini takdir tidak wajar,
lain tahun hantar semula.”
Terima kasih Abuya
Terima kasih Abuya
Abuya kroni Tuhan,
kontraktor Tuhan,
penjual tiket syurga.
University of Newcastle, NSW, 19.6.2006.
Puisi ini terhasil selepas wujudnya dakwaan yang Asaari Muhammad boleh berunding tentang sakit, nazak dan kematian. Tarikat Aurad Muhammadiah ini sesuatu yang sangat menarik minat saya. Baru-baru ini saya temukan buku-buku dalam talian yang ditulis oleh pengikut Asaari. Klik gambar bulan di atas untuk ke laman yang berkenaan. Kesuntukan masa, saya masih belum berkesempatan membaca tulisan-tulisan tersebut. Ada sesiapa yang mahu membantu saya membaca dan membuat nota atau berdiskusi tentang isu ini? Semoga Allah memberi sedikit kelapangan untuk meneroka isu ini dengan lebih dalam. Ya, Aurad Muhammadiah adalah satu contoh tarikat daripada ribuan yang wujud. Saya marahkah kalau anda menyertai tarikat? Jawab dulu soalan saya, daripada ribuan itu anda mahu pilih yang mana? Saya teringat akan sebuah lagu nyanyian M. Nasir yang saya dengar waktu muda-muda dahulu.
Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan
Ribu-ribu margasatwa
Mencari raja si Muragh
Yang sampai hanya tiga puluh.
Oh Sang Algojo
Oh, nanti dulu.
Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih?
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan cipta kekalutan
Dimana pula kau berdiri
Di sini.
Oh sang algojo
Oh nanti dulu
Berikanku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah sebenar
Berikanku kesempatan akhir ini
Lai... Lai… Lai... Lai… Lai
Tanya sama itu Hud Hud
Lang mengsilang
Kui mengsikui
Kerana dia yang terbangkan
Aku ke mari.
Kita bukanlah burung! Kita telah dikurniakan akal oleh Allah. Kisah Hud Hud dan sekelompok burung yang mencari raja mereka, si Muragh (Simorgh) ini sebetulnya berasal dari Syair Kesufian yang ditulis Fariduddin Attar. Burung-burung itu terpaksa menempuh perjalanan panjang. Dalam perjalanan panjang itu banyak burung yang kecundang lalu tidak dapat meneruskan perjalanan. Yang sampai di daerah si Muragh tidak banyak, hanya tiga puluh termasuk Hud Hud. Di daerah si Muragh itu mereka tidak bertemu pun susuk yang dipanggil si Muragh, di sana hanya ada satu tasik, dalam tasik itu, yang mereka nampak hanyalah refleksi diri mereka, bayangan mereka. Inikan antara konsep sufi yang melampau? Konsep Wahdatul Wujud (kesatuan dengan Tuhan) yang bertitik tolak daripada Al-Hulul yang dipelopori oleh Hallaj. Kata Bahauddin Al-Baithar tentang konsep ini; “Tidaklah anjing dan babi itu melainkan sembahan kita. Dan tidaklah Allah itu melainkan rahib-rahib yang ada di dalam gereja.” Nauzubillah.
Kembali kepada soalan saya tadi; kita mahu ikut golongan mana? Tolong ingat akan amaran Rasulullah seperti yang berikut; “Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa Bani Israel, selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku di kalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada di kalangan umatku yang akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya Bani Israel terpecah kepada 72 golongan dan akan terpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra, siapakah golongan yang satu itu wahai Rasulullah? Maka jawab baginda, “Golongan yang aku berada di dalamnya dan sahabatku.” ( Hadith Hassan Riwayat Tirmidzi no 26, Hakim no 218)
Tidak ada jalan lain untuk sampai kepada golongan yang benar melainkan dengan ilmu yang benar. Pemahaman tentang agama ini sepatutnya dikorek daripada fahaman golongan awal, salaf ummah. Jangan bertaklid secara buta. Kita bukan burung. Masih bertaklid? Sontoloyo, kata Bung Karno! Ittiba’ beb! Ittiba’! Ittiba’ bererti mengikut atau melakukan sesuatu dengan ilmu dan hujah bukan taklid membabi buta atau mengikut tanpa ilmu.
Sewaktu menulis catatan ini, saya sedar bahawa Bung Karno adalah tokoh yang dianggap berjaya mengahwinkan Marxisme dan Islam! Bung Karno sendiri pun banyak kekeliruannya. Itu pun, dalam kerasnya dia menentang taklid!
Ah, saya sendiri pun kaya dengan kekeliruan! Kalau kalian tidak memahami sedikit pun catatan ringkas ini, kemungkinan besar, anda juga tidak memahami suasana kalut yang mengitari Islam. Wallahualam.
Hafez Iftiqar, 10 Ramadhan 1428.
* Sunan Bonang dan Sunan Kalijaga merupakan dua orang daripada Sembilan Wali Songo.
1 Comments:
salam.tasawwuf ialah mengamalkan syariat islam di dalam maqam ihsan.bukan tugas manusia menghakimi aqidah manusia.Pengalaman mengenal tuhan perlu dirasa sendiri.
Post a Comment
<< Home