Demonstrasi
Demonstrasi
Ada tiga demonstrasi terkebelakang yang menarik minat saya. Satu di Burma, satu di Batu Burok dan satu di Putrajaya. Di Batu Burok, walau pun tiada yang mati, biar saya gredkan kezaliman terhadap rakyat kecil sama jahat dengan apa yang berlaku di Burma. Saya 70 % yakin, junta tentera di Burma akan jatuh seperti Suharto dan Marcos kalau sami-sami dan rakyat kecil terus membanjiri jalan raya. People Power Revolution telah berjaya menghalau Marcos dari Malacanang begitu juga revolusi 1998 di Indonesia yang menghalau keluar Suharto dari istana. Satu lagi demonstrasi yang tak terlupakan terjadi pada 10 Februari 1946, di Batu Pahat, Dato’ Onn berdemonstrasi menentang Malayan Union dengan 15 000 Melayu yang seterusnya usaha itu merebak ke seluruh negara. Kalau 50 tahun merdeka adalah seorang manusia, dia patut berterima kasih kepada demonstrasi 1946.
Saya sebenarnya jadi teruja menulis begini lepas membaca penafian Nazri Aziz dan Zainudin Maidin tentang kesahihan rakaman video yang didedahkan Anwar Ibrahim. Semasa di sekolah menengah, saya belajar bahawa kerajaan terdiri daripada tiga komponen; eksekutif, perundangan dan kehakiman. Saya tak pasti, sayakah yang tertidur waktu kelas sejarah atau Nazri dan Zainudin yang tak tahu konsep ini? Mungkin juga saya yang bodoh tersilap hafal. Kalau saya tak silap hafal, siapa yang bodoh? Tapi saya mendapat A dan A1 dalam PMR dan SPM untuk subjek sejarah. Mungkin juga saya salah tanda untuk soalan-soalan yang tanya tentang pembahagian kuasa tadi. Baiklah, saya yang silap…
Berikut adalah jawapan Nazri yang saya rasa lucu, “…kita tidak ada skandal, tidak ada masalah dalam badan kehakiman.” Yang lebih lucu. “Saya menteri beliau. Saya menteri yang menjaga hal ehwal mengenai perundangan.” Aiseh Pak Menteri, laporan tak keluar lagi dah kata tak ada skandal.
Zainudin Maidin tak kurang lucunya, “Klip video itu adalah sesuatu yang tidak sahih kerana ia hanya memperlihat dan memperdengar seorang peguam berbual sahaja dan klip video itu dikutip dari blog internet,” Aiseh Pak Menteri, laporan tak keluar lagi dah kata tak sahih.
Nazri buat saya pening. Barangkali kehakiman dah pun dimasukkan di bawah eksekutif lalu dia tahu apa sahaja yang berlaku dan bercakap seolah-olah dia ketua kepada Ketua hakim Negara. Kenyataan Zainudin pula satu berita baik buat kaki judi, teka apa keputusan panel siasatan? (A) video sahih (B) video tak sahih. Kalau judi tidak diharamkan Islam, saya akan pertimbangkan memperjudikan semua harta saya untuk B.
Maka demonstrasi yang diadakan Majlis Peguam Malaysia di Putrajaya adalah penting untuk menjawab persoalan yang memeningkan kepala saya tadi. Terima kasih para peguam. Dan lebih penting, Majlis Peguam tak sekadar berpuas hati dengan penubuhan panel dari kabinet buat menyiasat kesahihan video, tapi mendesak supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja buat menyiasat muslihat disebalik video tersebut.
Sebetulnya, saya tak yakin yang badan kehakiman telah pulih daripada kejutan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas pada tahun 1988. Bebaskah institusi kehakiman yang sentiasa takut dijerkah kuasa eksekutif? Mungkin Tun Ahmad Fairuz ada jawapan untuk soalan rakyat kecil seperti saya.
1 Comments:
Tah ape2 le deme ni..Lwk btul.
Post a Comment
<< Home