Tentang PRU 12 - Akibat Kuat Tidur
"Saya fikir orang Jepun akan melakukan harakiri. Tetapi saya rasa orang Melayu tidak sampai ke tahap itu lagi. Saya fikir beliau patut menimbangkan untuk mengundurkan diri."
Malam itu saya menulis dengan sarkastik - Zam Mamak boleh bertusyen ‘English’ mulai esok dan Samy Vellu boleh jadi cikgu Bahasa Melayu di ‘estate’. Beberapa teman ketawa. Saya menyangka pembangkang akan memperolehi majoriti 2/3 di Kelantan dan majoriti mudah di Pulau Pinang dan Kedah. Rupanya pembangkang (baca: kerajaan baru) membolot 5 negeri sekali gus – Perak dan Selangor yang lagi dua. Saya tertawa kecil bila melihat muka Khir Toyo yang berkilat dek Botox di beberapa laman web – kempen pembangkang sifar Khir Toyo sudah jadi poyo, sekarang Khir Toyo jadi ketua pembangkang. Saya tak pernah memandang idea pembangkang sifar Khir Toyo idea bijak, bagi saya sebuah negara demokrasi harus mempunyai pembangkang dan kerajaan yang kuat. Saya agak kalut bila DAP memenangi majoriti kerusi DUN di Perak mengatasi PAS dan PKR untuk membentuk kerajaan negeri. Ada teman yang menyuguh saya, “Tiqar… Aku tak sanggup cina jadi MB Perak!”
Saya bukan cauvinis, saya pernah bertemu beberapa teman Cina yang Islamnya lebih hebat daripada saya. Cina atau Melayu yang mentadbir, tak jadi masalah kalau perlembagaan dijunjung. Dan menurut ramai, kalau pun Cina mentadbir, ketua negeri dan Islam masih lagi sultan Melayu Islam. Kalau pun hendak marah, marahkan Mahathir sebab mengurangkan kuasa raja-raja Melayu. Pun, Mahathir tak juga boleh dimarahi (sekurang-kurangnya untuk seminggu ini), kerana faktor marahnya Mahathir kepada Dolah dan kawan-kawan membolehkan Kedah jatuh ke tangan pembangkang.
Kata teman lain yang menghantar mesej kepada saya, “Habislah Perak, lepas ni kandang babi merata-rata.” Benar, saya memang kalut dengan keadaan di Perak, kalutnya saya bukan kerana Perak bakal menjadi pengeksport babi terbesar (seperti lelucon itu), saya bimbang kemungkinan meletusnya rusuhan kaum seperti tanggal Mei 1969. Sebelum hari mengundi, media arus perdana gigih memainkan kata-kata Lim Guan Eng (baca: KM baru Pulau Pinang) yang berbau perkauman. Kalaulah saya Melayu, atau seorang Cina yang berada di mana-mana kampong atau pekan di Perak sekarang, sumpah, saya akan jadi sangat takut! Takut sampai siap mengasah parang sedia menghadapi kemungkinan. Jika sedikit sahaja api terpercik, 1969 boleh berlaku dan itu akan jadi hujah kukuh untuk BN mengalahkan alternatif sampai kiamat. Lalu saya menyeru kepada kalian, sebarang bentuk konflik antara kaum atau antara penyokong parti wajib dielakkan - bukan kerana bimbang BA atau BN takkan lagi mengulangi kejayaan besar, tapi demi negara tercinta! Sunguh, konflik sedungu itu akan mengheret Malaysia berpuluh tahun kebelakang. Ya, demi negara tercinta, kita semua tak harus menjadi galak tak tentu fasal.
Saya memerhati dengan minat dan debar. Yang paling menggembirakan saya ialah pengumuman Guan Eng untuk berkongsi kuasa dengan PKR di Pulau Pinang. Ada cahaya di situ. Terkesan oleh saya, BA yang dikutuk BN sebagai pakatan tak logik itu sudah semakin matang. Harapan saya waktu itu, Melayu PKR dipersetujui sebagai MB baru Perak supaya kedua-dua Melayu dan Cina tak terlampau kalut seperti hamster yang terjaga dari tidur (saya sangat benci dengan hamster peliharaan, hancing kencingnya, Tuhan sahaja yang tahu!) . Lebih saya bersyukur, BA yang saya sangka matang itu rupanya sangat matang – Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, PAS Pasir Panjang dinamakan sebagai MB. Terbukti DAP yang terkenal di media perdana sebagai pejuang sekularis itu mampu bekerjasama dengan PAS dan PKR. Lalu, ramai Melayu mampu menarik nafas lega termasuk teman yang bimbang Perak dipenuhi babi, dan saya katakan kepada teman-teman Cina dan India, kalian harus berbangga dengan DAP!
Berita tentang PRU 12 di muka hadapan 'The Australian' antara akhbar utama di Australia.
Seruan Anwar Ibrahim meminta penyokong pembangkang bertenang harus dipuji. Beberapa hari ini sangat kritikal, semua pun sangat teruja. Terbukti Anwar sangat relevan. Kata saya kepada ramai teman - saat ini dua orang yang mampu mengawal orang Melayu dengan suara ialah Anwar dan Mahathir. Peningkatan kemenangan PKR di kerusi parlimen sangat menakjubkan. Tiga menteri kalah di tangan calon PKR – Samy Vellu (Bapa Tol Malaysia), Shahrizat Jalil Tudung Terapung dan Zam Mamak (Bapa Propaganda) begitu juga dengan enam timbalan menteri; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin. Dan, saya tak sabar menanti Anwar kembali ke parlimen setelah memenangi pilihanraya kecil nanti!
Kekalahan Zam Mamak di Sungai Petani cukup saya rasai. Berita propaganda sudah amat kurang memenuhi laman sesawang media arus perdana. Saya terkejut bila mendapati berita paling atas Utusan Online 9 Mac 2008, jam 9.54 malam adalah berkenaan Atwal Si Bintang India memenangi kejohanan golf bukannya PRU 12! Zam Mamak tak seberuntung Atwal, kata Atwal si bintang Bollywood yang dipetik Utusan: “Menang tetap menang dan ia menyusul lima tahun selepas kemenangan terakhir, saya sangat gembira.” Lebih lucu, kedua-dua Zam Mamak dan timbalannya, Datuk Seri Chia Kwang Chye bungkus. Barangkali selepas ini Zam Mamak boleh berkeliling dari satu kampung ke kampung yang lain memandu lori dengan pembesar suara menjual tilam atau memborong surat khabar lama. Ternyata, orang sudah muak dengan propaganda.
Dua parti komponen BN seperti cicak berak kapur. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Gerakan sementara MIC mendapat pukulan ‘knock-out’ dengan presiden dan naib presiden tumbang serentak.
Lalu ramailah yang menjerit. Ini semua Khairy punya fasal! Kalaulah Pak Lah berani membawa Khairy lebih tinggi, ertinya Pak Lah tak belajar dari kesilapan. Harapan Khairy menjadi PM termuda hampir berkecai. Mahathir tanpa berlengah mendesak Pak Lah meletak jawatan. Barangkali Pak Lah harus belajar daripada Koh Tsu Koon. Pak Lah tak pedulilah. Kata Pak Lah, dia takkan meletak jawatan. Kalau begitu, saya berdoa semoga Pak Lah belajar dari kesilapan. Akibat kuat tidur, kampung tergadai. Seperti Pak Kadok, Pak Lah silap menilik kekuatan ayam sendiri dan lawan. Apa boleh buat Pak Lah... Kalau masih berdegil mahu di puncak kuasa, buktikan kepada rakyat yang anda Imam Hadhari yang relevan! Nah, lima tahun lagi kembali menyabong! Barangkali, jika Pak Lah bersungguh memperbetulkan apa yang silap dalam pemerintahan beliau, tak mustahil suatu hari nanti BN akan mendapat mandat yang besar. Ya, lima tahun yang mesti digunakan oleh BA dan BN untuk menambat hati rakyat sebelum kembali ke gelanggang sabong. Saya teringat lagu yang saya nyanyikan semasa saya anak-anak:
lenggang...lenggang kangkong,
kangkong tepi telaga,
lengang... lenggang kangkong
balik dari menyabong, makanlah nasi sahaja,
lengang...lenggang kangkong
balik dari menyabong, Pak Lah menunglah sahaja...
Ah! Mengantuklah. Tidur dulu. Semoga kerajaan-kerajaan baru melaksanakan semua manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat. Sweet dreams!
p/s: sebarang bentuk konflik antara kaum dan parti saat ini harus kita sedari boleh menjadi marak menjadi rusuhan berdarah. Oleh itu, kawal diri kita - semoga negara tercinta terus aman dan selamat untuk semua bangsa. Salam rindu dari saya untuk Malaysia.
1 Comments:
post yg hebat...
smga mlysia terus trebela...
Post a Comment
<< Home