Anekdot Seorang Kuli (Sebuah Cerpendek)
Kuli mengorek hidung, dahi berkerut, mata disepetkan seolah-olah memikirkan soal hidup mati. Kuli tahu, sebagai seorang kuli, dia harus setia kepada isi rumah. ‘Lawan kuli lawan!’ Dia masih ingat laungan pada tahun 1987, sewaktu dia mahu melawan tuan rumah. Dia berani, dia lawan, malangnya dia tewas langsung dihalau dari rumah. Sehelai sepinggang, berbogel dia keluar dari rumah.Tahun 1989, malah rumah lama dijual dan digantikan dengan rumah baru. ‘Rebranding’ kata tuan rumah. Kuli yang dihalau bogel diterima baik di tempat sendiri. Malah membuktikan tuan rumah silap menghalaunya. Sehebat-hebat kuli, kuli sayang seisi rumah lama. Dia kembali berkhidmat menjadi kuli buat seisi rumah lama.
Tuan rumah lama sudah tak ada. Ada tuan rumah baru - tak sebagus dan setegas tuan rumah lama. Yang ini asyik terperap di dalam bilik. Rumah hampir dilelong. Kuli sayang seisi rumah. Rumah mesti dipertahankan. Kalau dilelong, macam mana dengan buah nenas sebesar kepala budak di belakang rumah? Macam mana dengan buah tembikai sebesar perut ibu mengandung sembilan bulan? Macam mana dengan itik serati yang sudah pandai bilang satu sampai sepuluh? Macam mana dengan budak hitam yang bijak baca ABC? Macam mana dengan anak-anak dara yang sudah pandai ‘catwalk’? Atau ibu-ibu yang sudah putus haid? Atau dia sendiri yang sudah berusia lanjut?
Kuli sudah tidak boleh tahan. Dia anak lelaki! Sekadar hunus-hunus parang macam pondan dia tak main. ‘Lawan kuli lawan,’kembali bergenderang suara itu dalam kotak kepalanya. Kuli berhenti mengorek hidung. Digentel-gentelkan tahi hidung antara ibu jari dan jari telunjuk. Piungg... Dijentiknya bebola tahi hidung entah ke mana-mana. Dia bangun. Dia mesti lawan. Rumah mesti dipertahankan. Kuli mengengkang menuju kearah pintu bilik tuan rumah yang barangkali sedang nyenyak tidur. Bam! Diterjangnya pintu bilik. Tuan rumah laki bini masih lena di bawah selimut.
“Oit,keluar kau dari bawah selimut!” jerkah kuli.
Senyap, tak ada balasan. Kuli mengengkang menuju ke kaki katil. Ingin diselaknya selimut tuan rumah. Dia sudah tak peduli, berbogel atau berbaju si tuan rumah. Dia cuma mahu lawan. Zapp... Disentapnya selimut merah putih dengan tompok-tompok kuning hijau air liur basi. Kuli anak jantan. Rumah mesti diselamatkan.
(TAMAT)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home