Catatan Eceran: Organofosfat
Keadilan seolah-olah tak mungkin ditemui di dunia. Bosan dengan tekanan hidup, mati seolah-olah penyelesaian yang terbaik. Disebabkan terlampau ramai yang memilih jalan menamatkan hidup dengan meminum racun serangga organosfosfat – saya jadi hafal dengan kaedah perawatan dan kesan-kesan organofosfat. Keracunan organosfosfat akrab dengan hospital tempat saya praktikal sekarang.
Saya melihat penderitaan yang amat sangat di mata seorang lelaki awal 20-an yang sentiasa mengerang kesakitan. Tangan dan kaki ditambat pada katil. Gelisah. Bibir merekah kesan atropine yang diberi guna merawat keracunan organofosfat. Kecewa. Kerana masih belum menemui noktah hidup.
Hidup dan dugaan adalah lumrah – kata Tuhan: ‘Dan Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (Al-Baqarah, 155).’ Oleh itu organofosfat dan bunuh diri bukan alternatif dalam usaha menemukan berita gembira yang dijanjikan Tuhan. Sabar.