Aku Ini Penulis Renta
Aku Ini Penulis Renta
(Dengan apologi untuk segala bakat yang perluku benamkan sementara memburu cita)
Dalam kelam hari yang diperam lencun hujan
Terjeda aku mengira degup malam yang kian luput
Dipuput keluh tangis angin yang menggugah
Menangisi bakat yang larut lemas disentap
Musim redam yang aku sendiri tidak pasti
Mana hujungnya.
Malam yang membusung derita ini
Mesti lekas mengumpul sisa-sisa nyawa
Untuk segera membebaskan kemenangan
Yang mahu berdiri di atas astaka.
Pagi tadi, ketika membidani hari baru
Yang payah merangkak dari gelap rahim semalam
Sempat aku kepilkan nota-nota syukur
Pada desir ceria yang berhambatan
Bertolakan berlumba menuju Arasy
Kerana untuk senggang yang belum alpa ini
Aku mahu berterima kasih, untuk butir-butir embun,
Yang sedia menyapa capal hitamku.
Hafeziftiqar,
31 Julai 2006, 1.40 am,
Normanby Road, Clayton, Australia.
*ditulis selepas menerima sms pelawaan Prof Dr Ir Wan Abu Bakar untuk menyumbang di majalah esastera cetak yang akan berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Dapatkan segera edisi pertama yang akan berada di pasaran nanti. (tak tahulah di kedai-kedai buku utama sahaja ada atau kat kedai mamak jual gula-gula Hacks pun ada, akan maklum nanti, insyaAllah.)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home