Sunday, May 14, 2006

Syirik, Kufur dan Nifaq (2)

Syirik, Kufur dan Nifaq
Evolusi Syirik Di Masa Nuh dan Selepasnya

Selepas berlakunya syirik di kalangan umat Nuh a.s, Allah SWT telah menghantar Nuh a.s sebagai Rasul pertama yang mengajak mereka kepada mengesakan Allah dan melarang menyekutukan Allah (berbuat syirik). Dalil Nuh a.s sebagai Rasul pertama ada dalam sahih Bukhari dan Muslim (rujuk sebelum ini). “Sesungguhnya manusia telah pergi selepas Adam kepada Nuh pula seraya berkata kepadanya: Ya Nuh, sesungguhnya kamu adalah Rasul pertama kepada penduduk dunia (anta awwali-l rusul ila ahli-l ardh) dan Allah telah memanggilkan kamu sebagai hamba yang bersyukur...”

Bentuk dakwah nabi Nuh adalah tauhid: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: “Hai kaumku, berabdilah (sembahlah) oleh kamu kepada Allah, (kerana) tiada tuhan bagimu selain Dia. Maka mengapakah kamu tidak bertakwa (kepadaNya)?” (AlMukminun, 23).

Golongan yang mengikut Nuh a.s adalah golongan lemah sementara pembesar-pembesar merasa bijak dan pintar lalu sombong dan takabbur serta tidak dapat menerima mengenai Rasul yang diutus itu hanya manusia biasa seperti mereka. “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: Kami tidak melihat kamu melainkan sebagai manusia biasa seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu melainkan orang-orang yang hina di antara kami yang lekas percaya (kepada kamu)” (Huud, 27).

Allah memberi peluang kepada kaum Nuh dengan masa yang panjang untuk menilai dakwah Nuh a.s: “Maka ia tinggal (hidup) di antara mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun.” (AlAnkabut, 14).

Nuh a.s kemudiannya mendoakan kehancuran kepada mereka: “Nuh berkata: Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan anak kecuali yang membuat maksiat lagi sangat kafir.” (AnNuh 26-27)

Allah hancurkan kaum Nuh dengan banjir besar: “Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh tatkala mereka mendustakan Rasul-rasul. Kami telah menenggelamkan mereka (iaitu dengan air bah yang amat besar).” (AlFurqan, 37)

Dunia bersih daripada golongan yang ingkar. Yang terselamat hanyalah Nuh dan pengikut-pengikutnya yang mentauhidkan Allah: “Maka kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami jadikan mereka itu pengganti-pengganti (yang tinggal menghuni bumi).” (Yunus, 73).

Berlaku penyelewengan aqidah kepada umat selepasnya sehingga Allah mengutuskan lagi Rasul: “Kemudian kami jadikan sesudah mereka umat yang lain. Lalu kami utuskan kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri.” (AlMukminun, 31-32)

Begitulah yang terjadi sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad bin Abdullah: “Kemudian Kami utuskan (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut. Setiap kali rasul itu mendatangi kaumnya, maka mereka telah mendustakannya. Maka kami datangkan kaum yang lain satu demi satu berturut-turut . Dan kami jadikan kisah mereka sebagai cerita-cerita (yang memberi pengajaran). Maka binasalah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.” (AlMukminun, 44).

Dakwah para Rasul adalah satu iaitu kepada aqidah tauhid walau pun berbeza dari segi syariat. Dan jelas urusan berkaitan tauhid perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum yang lain-lain dan inilah yang sepatutnya menjadi paksi seruan para pendakwah.

Kategori Syirik

Syirik besar.

Menjadikan, menyekutu, menyembah, atau mengabdikan kepada tuhan yang lain disamping Allah. Tidak disyaratkan yang menjadi sekutu itu sama taraf dalam semua perkara, jika menyamakan Allah dengan satu kualiti yang ada pada makhluk, maka syirik telah berlaku. “Demi Allah sesungguhnya kita dahulu (di dunia) dalam kesesatan yang nyata kerana kita mempersamakan kamu (sembahan-sembahan mereka) dengan Tuhan semesta alam.” (AsSyua’rak, 97-98). Persamaan dalam ayat bermaksud dari segi kasih, takut, pengharapan, taat, patuh bukan dari segi menciptakan makhluk-makhluk kerana mereka juga percaya keesaan Allah dalam mencipta makhluk.

Syirik besar adalah dosa paling besar. Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah mengenai dosa yang paling besar. Jawab Rasulullah: “Iaitu menjadikan bagi Allah sekutu atau tandingan yang lain padahal Dialah yang mencipta kamu.” (dalam Sahih AlBukhari). “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Luqman, 13).

Syirik ini menyebabkan segala amalan tertolak. “Sekiranya mereka menyekutukan Allah nescaya hapuslah dari mereka segala amalan yang mereka kerjakan.” (AlAn’am, 88)

Kekal dalam neraka dan tidak diampunkan oleh Allah. “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa sesiapa yang syirik terhadapNya dan Dia mengampuni dosa selain dari (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.” (AnNisa’, 48)

Diharamkan syurga baginya. “Barang siapa yang mensyirikkan Allah maka pasti Allah mengharamkan baginya syurga dan tempatnya ialah dalam neraka.” (AlMaidah, 72).

Syirik oleh itu sama sahaja balasannya dengan orang yang kafir dan murtad. Allah hanya mengampuni dosa orang yang berbuat syirik dengan mereka bertaubat di dunia dan mengikhlaskan diri mereka dengan taubat tersebut.

Amalan-amalan yang Membawa Kepada Syirik.

Berlebih-lebihan memuja orang-orang salih termasuk nabi-nabi. Ini juga merupakan permulaan syirik sebagaimana umat Nabi Nuh a.s. Contoh lain Yahudi dan Nasrani yang meninggikan taraf nabi mereka sampai ke tahap uluhiyyah. “Berkata golongan Yahudi bahawa Uzair adalah anak lelaki Allah dan berkata golongan Nasrani bahawa AlMasih adalah anak lelaki Allah.” (AtTaubah, 30)

Melampaui batas dalam memuji para rasul dan orang-orang yang soleh merupakan penyebab syirik. “Janganlah kamu meninggikan aku sebagaimana Nasrani meninggikan Ibnu Maryam (Isa)...Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah maka katakanlah olehmu: Abdullahu wa Rasuluh (hamba Allah dan RasulNya).” (Bukhari dan Muslim). Oleh itu kita tidak bersama dengan sebahagian golongan sufi yang sampai mengatakan Rasulullah mengetahui perkara-perkara ghaib. “Dan aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa): Di sisiku perbendaharaan Allah, aku tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat.” (Hud, 31)
*akan tambah daripada sini sahaja untuk yang akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home