Wednesday, March 08, 2006

Trilogi Puisi Reaksi Penghinaan Ke Atas Rasulullah

Alhamdulillah, selesai trilogi puisi reaksi penghinaan kuffar terhadap baginda Rasulullah SAW. Trilogi ini untuk tujuan penerbitan, sila maklumkan kepada saya jika mahu diguna di luar blog ini. Wallahualam dan terima kasih.
I
Photo Hosted at Buzznet.com
Ke Mari Ababil
(Suatu Retrospektif Marah yang Lemah)

Berantakan buku kami ditabrak ruas mereka
Pada polos puing yang bercerakahan
Ada sendu yang berlari
Tanpa rima sekata
Arahnya satu
Mencari Tuhan

Tuhan,
Sendu yang memanjat Arasy-Mu
Adalah swadaya anak yang terburai
Daripada kanvas yang meludah
Wajah kekasih kami.

Pada tegar kusam yang melatar
Kami amati jerugi langit
Yang digugah harap kami
Terbukakah?

Ababil, lekas ke mari
Ada majnun yang mengharap
Dihunjam bedil neraka.
~Hafeziftiqar~
Melbourne, Australia.
dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun yang dimakan (ulat)(AlFiil,3-2)
II
Photo Hosted at Buzznet.com
Hipoksia Sendiri

Kata kita, hari yang datang
Tidak berhati perut
Menghadiahkan kita
Derita demi derita.

Provokasi ini buat kita melatah
Yang salah adalah mereka
Yang betul adalah kita
Khilaf kita dalam muhasabah
Mencari hamis pekung di dada.

Merekalah, bukan kita,
Sedang kitalah yang memintal serat
Menjerut kuduk sendiri...

Tatkala tampang biru dijarah hipoksia
Kata kita, biar dahulu
Izrail masih jauh.

~Hafeziftiqar~
Melbourne, Australia.

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan mereka peringatan tetapi mereka berpaling (AlMu’minun, 71)

*Hipoksia: Istilah perubatan untuk kekurangan oksigen.
III
Photo Hosted at Buzznet.com
Wisata Semusim

Kurik gerimis hulu musim
Rupanya lebat membebat di muara
Mati anak-anak kita
Sewaktu meranduk bah
Yang merempuh tanpa ihsan.

Kataku, Tuhan tak mengubah nasib kita
Andai kita mahu begitu sahaja
Menjadi lembu yang merempuh
Dan mati di tangan matador.

Iqra’, itu azimat agung
Janji Tuhan memuliakan ilmuan

Kita, masih begitu-begitu
Marah, maknawinya redha
Setuju kita, walang ini adalah pusaka
Piat-piut kita, darmawisata semusim depan.

~Hafeziftiqar~
Melbourne
Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat. (AlMujadilah, 11)

3 Comments:

Blogger lyn said...

hmm..banyak la words yang lin X faham..tapi i think i got the messages.1,harapan kita dengan pertolongan Allah.(pembelaan terhadap umat Islam..) 2.sikap kita yang selalu menyalahkan org lain(dan mencari kesalahan orang)daripada melihat kelemahan sendiri. 3, kita seharusnya membuat persediaan yang lebih mantap (terutamanya mempunyai ilmu yang cukup)utk menghadapi cabaran masa hadapan.. itu kesimpulan yang lin dapat dari trilogi puisi fez..harap tak tersalah faham..tlg betulkan ye kalau salah..

2:15 PM  
Blogger lyn said...

umat Islam terlalu ramai,malangnya terlalu sedikit yang bersatu hati dan sensitif dalam menjaga maruah Islam..mana tidaknya,kenal pun tidak,inikan mahu mempertahankan?minggu lepas kat bali ada satu tunjuk perasaan..untuk protes hinaan terhadap nabi muhammad?BUKAN! ianya satu tunjuk perasaan yang dilakukan kerana kerajaan menetapkan undang2 baru mengenai penapisan filem2 lucah di media serta compound yg dikenakan bg couple yg kissing kt public place.maka ramaila org2 yang hitam hatinya keluar memprotes..rosak2..hmmm..kan bagus kalau kerajaan MALAYSIA BUAT MCM TU GAK..ni tdk,br je nak letak sukarelawan utk pantau maksiat kat putrajaya,dah kecoh menteri2 bantah..maklumlah,hak asasi kononnya..habis ape guna undang2?kalau macam tu lin tak nak ikutlah semua undang2 Malaysia,hak asasi lin la kalau nak rompak bank pun..duit kan hak asasi?hih.ape pulak dengan kes rogol?kalau ikut hak asasi biar la dia nak rogol pun?hak asasinya utk memenuhi nafsu keji?begitu?tp masakan org yang punyai pegangan agama akan berbuat demikian kan?

2:38 PM  
Blogger Hafez Iftiqar said...

Betul apa yg lina tulis. Saya letakkan glosari ringkas di sini berdasarkan kepala saya, untuk maksud yg lebih tepat, rujuk kamus dewan. =)
1. ditabrak= dilanggar/ diceroboh
2. puing= runtuhan
3. rima= irama
4. swadaya= usaha
5. tegar= tetap/teguh
6. kusam= suram/sedih
7. melatar= memenuhi
8. jerugi= kisi-kisi pada sisi tingkap
9. gugah= goncang
10. majnun= orang gila
11. khilaf= bertelagah
12. pekung= penyakit kulit
13. serat= sabut utk buat tali
14. kuduk= tengkuk
15. kurik= rintik-rintik
16. membebat= membalut
17. meranduk= merempuh
18. bah= banjir
19. tampang= wajah
20. dijarah= ditawan
21. darmawisata= lawatan/pelawat/melawat
22. walang= kesedihan.

4:21 PM  

Post a Comment

<< Home