Thursday, January 18, 2007

SIOMAY (Jiwa-jiwa Yang Terapung)

Photo Hosted at Buzznet




SIOMAY
(Jiwa-jiwa Yang Terapung)
Aku sebetulnya sudah lama perasan akan kelibat dia di situ. Di sana, betul-betul di bawah perdu fir tempat aku menghimpunkan jiwa dan semangatku. Di situ, perlahan tapi pasti telah dia curi sedikit demi sedikit jiwa dan semangatku. Semalam, tepat jam 12 malam telahku cuba bunuh dia. Dan kemudian aku mengerti, ura-ura yang mengatakan dia tidak mungkin akan mati itu sebetulnya bukanlah dongeng. Sungguh, dia masih hidup usai aku membenamkan belati satu ruas panjang ke dada bidang miliknya. Dia dengan muka yang mampu berubah itu masih hidup selepas belati satu ruas panjang itu terpasak kejap antara dua bilah rusuk kirinya. Aku pasti bahawa itu adalah lokasi ventrikel kiri. Logiknya, dia perlu mati. Logiknya, sekarang, sewaktu aku menulis untuk tatapan kalian, dia perlu gelisah di kuburan mendepani soalan munkar dan nakir. Logiknya.... Tapi dia itu makhluk yang tidak logik. Sewaktu awal musim panas dahulu, dia berwajah kucing. Comel amat. Kemudian dia berwajah singa, semalam waktuku cuba membunuh dia, dia berwajah baghal. Tersenyum dia waktu aku terlopong dengan belati yang masih ku gengam dengan tangan kanan. Senyuman itu buat aku menggigil dengan bersangatan, berpeluh hingga ke kaki. (bersambung)
catatan:
-Tadi saya ke Blok M di Chapel Street, tempat kegemaran sahabat saya untuk menikmati masakan Indonesia. Katanya, malam ini dia belanja kerana esok merupakan hari lahirnya. Antara lain, hidangan yang kami nikmati ialah siomay (meatball) yang terapung di dalam bakso. Terima kasih teman, selamat hari lahir...
-Pak M yang aneh itu sepatutnya menaja makanan saya secara percuma kerana menyebut tentang warongnya di blog ini yang dikunjungi tidak kurang 3 pengunjung Indonesia setiap hari (kamu tahu, ini hanya gurauan serius saya)
-Gambar tasik itu, sempat saya ambil sewaktu kami berhenti di Lake Tekapo, New Zealand dua minggu yang lalu. Saya merindui biru sungai dan tasik Aoteoroa.
-Cerpen ini akan saya sambung bila lapang sedikit. Perlu isi borang pengesahan polis dan working with children yang dikehendaki hospital.
- Kamu telah tonton filem Idi Amin? Saya sempat menonton filem tersebut dalam penerbangan Auckland-Melbourne. Orang seperti Idi Amin akan sentiasa wujud dalam sejarah umat yang terluka. Dia biografi yang mengujakan tapi menggerunkan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home