Thursday, March 11, 2010

Catatan Eceran: Organofosfat



Keadilan seolah-olah tak mungkin ditemui di dunia. Bosan dengan tekanan hidup, mati seolah-olah penyelesaian yang terbaik. Disebabkan terlampau ramai yang memilih jalan menamatkan hidup dengan meminum racun serangga organosfosfat – saya jadi hafal dengan kaedah perawatan dan kesan-kesan organofosfat. Keracunan organosfosfat akrab dengan hospital tempat saya praktikal sekarang.

Saya melihat penderitaan yang amat sangat di mata seorang lelaki awal 20-an yang sentiasa mengerang kesakitan. Tangan dan kaki ditambat pada katil. Gelisah. Bibir merekah kesan atropine yang diberi guna merawat keracunan organofosfat. Kecewa. Kerana masih belum menemui noktah hidup.

Hidup dan dugaan adalah lumrah – kata Tuhan: ‘Dan Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (Al-Baqarah, 155).’ Oleh itu organofosfat dan bunuh diri bukan alternatif dalam usaha menemukan berita gembira yang dijanjikan Tuhan. Sabar.

Saturday, March 06, 2010

Menulis Sejarah


Tulis Gie, “Apa lebih puitis selain bicara tentang kebenaran.” Kehidupan Gie yang sederhana itu, kerana sering dicatat oleh beliau telah jadi suatu khazanah yang akhirnya difilemkan. Kisahnya ringkas, tentang mahasiswa yang sensitif dengan persekitaran yang sering mempersoalkan apa peranan yang harus dimainkan beliau supaya boleh menyumbang kepada arah tuju sebuah bangsa. Gie yang kecil akhirnya punya impak yang berkesan kerana kerajinannya menulis, menulis dan menulis tentang apa yang dirasakan benar menurut tanggapan beliau.

Gie taksub dengan kegilaan mendaki gunung. Gie maut terhidu gas beracun sewaktu mendaki gunung berapi Semeru tetapi catatan-catatan peribadi Gie tak pernah menemui ajal.

Barangkali di langit, Gie telah menemui kebenaran yang sering dicari beliau. Tulis Gie, ‘Kebenaran hanya ada di langit dan dunia hanyalah palsu.’