Friday, May 15, 2009

An-Nakba (Bencana)

 - Photo Hosted at Buzznet


Hari ini An-Nakba untuk Palestin, juga untuk kebanyakan Muslim yang tinggal di sekitar Monash University yang letak di Clayton. Selama 12 tahun solat Jumaat tak pernah diganggu, hari ini dan untuk tempoh yang masih samar, solat Jumaat dilarang di masjid yang kami panggil Beddoe. Alasan pihak berkuasa, mengganggu ketenteraman awam. Saya bersedih – untuk Palestin; untuk Beddoe.


Untuk segala masalah yang saya tak punya pengetahuan tentang kesudahannya - kepada Allah saya berserah.

Sunday, May 03, 2009

Selesema Babi , Santa Muerte dan An-Naqba



Suara dari gerombolan itu menyatu: ‘Ala bio! Ala bao! Ala bim bom ba! Oh Dewa! Oh Dewa! Rah rah rah!’ Dilabel sesat oleh gereja Katolik, para penyembah Dewa Kematian (Santa Muerte) di Mexico sebaliknya bertambah dari hari ke hari. Pada Dewa Kematian yang tak punya prejudis seperti yang mereka lihat ada pada gereja Katolik, gerombolan itu memohon perlindungan dan hajat. ‘Tuhan untuk para penjahat’, kata seorang paderi. Dan para penjahat itu menjadi hamba yang taat kepada Santa Muerte setelah disisih Gereja Katolik. Perlahan-lahan, kepercayaan pra-Hispanik menyusup di dunia gelap Mexico menggantikan kepercayaan terhadap Kristian yang dianggap agama yang prejudis.

Pernah seorang pendosa yang membunuh 99 nyawa bertemu seorang rahib untuk bertanya apakah mungkin dosa membunuh 99 orang itu diampun Allah? ‘Tidak!’ kata rahib lalu rahib itu menjadi mangsa ke seratus. Dia kemudian bertemu seorang alim bertanya apakah pembunuhan yang seratus itu terampunkan? ‘Ya,’ jawab alim itu. Dalam perjalanan mencari keampunan Allah, kematian lebih dahulu menemui dia dan kematian itu dipandang dengan pandangan belas oleh Allah sehingga dia layak dibawa pulang oleh malaikat rahmat [1]. Di dalam Islam, tak satu pun dosa tidak diampun Allah sehingga anda harus mencari Tuhan selain Allah.

Santa Muerte, tuhan selain tuhan konvensional di Mexico itu barangkali dianggap sibuk saat ini di negara yang melahirkan selesema babi tahun 2009 itu. Di Mesir, ribuan babi yang menjadi makanan Kristian Koptik dibunuh. Babi boleh jadi perkataan paling sensitif di negara majoriti Islam. Di Malaysia, malah menjadi senjata politik yang ampuh – projek penternakan babi mega oleh Kerajaan Selangor pernah menjadi polemik sampai ada yang berpendapat kerajaan baru itu harus disamak. Ya, babi boleh digunakan untuk mencalarkan imej sesiapa sahaja di negara majoriti Islam. Pernah seorang politikus menjerit-jerit memarahi politikus lawan di Parlimen Malaysia, ‘siapa babi negara?!’ selepas pakatannya dipanggil ‘babi’.

Watak Napolean dalam satira Animal Farm, karya George Orwell ialah babi yang menganut fahaman Machiavellisme – apa sahaja halal dalam politik dalam usaha mengekalkan kuasa. Saya mengikuti dengan takut kelahiran Napolean dalam politik Israel yang bertopengkan Avigdor Lieberman - Politikus ultra-kanan, anti-Arab yang mendapat tempat di Knesset Israel (Parlimen Israel). Sepanjang kempen pilihanraya, Lieberman akrab dengan slogan anti-arab. Knesset jarang meraikan politikus yang mahu berbaik-baik dengan dunia arab. Yitzhak Rabin, perdana menteri ke 5 Israel, yang dilihat bersahabat dengan Arab melalui Perjanjian Oslo ditembak mati oleh ultra-kanan. Lebih parah, Napolean seperti Avigdor Lieberman diangkat pula menjadi Menteri Luar di Knesset.

Mei 14 ini ialah An-Nakba, bermaksud malapetaka. Diingati Israel sebagai hari kemerdekaan, diingati oleh Palestin sebagai penjajahan. Di Melbourne, akan ada rapat umum besar-besaran untuk mengingati An-Nakba. An-Nakba tahun ini, menyaksikan seorang lagi Santa Muerte lahir di Knesset Israel. Dan kita wajar bertanya, berapa ramai lagi yang mesti mati untuk sebuah Palestin merdeka?

------

[1] Mutafaqun A’laih. Hadith riwayat Abu Sa'id ibn Sa'd ibn Malik ibn Sinan al-Khudri. Rujuk Bab Taubat, Hadith 20, Riyadh As-Solihin