Wednesday, August 06, 2008

Rajawali, Yang Aneh-aneh dan Kita Bertanya

*Deklamasi oleh WS Rendra.



Hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana

Demikian satu rangkap dari puisi WS Rendra didedikasi beliau untuk Anwar Ibrahim sewaktu krisis kepimpinan tahun 1998. Saya secara peribadi, di awal tuduhan liwat terbaru, saya beranggapan adalah bodoh mengulangi tuduhan yang sama dua kali dan anggapan saya – kalau tiada angin masa pohon bisa bergoyang? Ditambah dengan reaksi Anwar yang agak reaktif berlindung di Kedutaan Turki dan saranan mufti Perlis, bermubahalah (sumpah laknat) yang disambut hambar Anwar, saya hampir percaya tulisan Mahathir yang berikut mungkin ada benarnya – ‘There are certain habits which are not easy to be rid off. Habitual smokers will tell you that. So will drug addicts.’

Kemudian yang aneh-aneh berlaku. Kerajaan tak harus mempersalahkan rakyat kerana tidak mempercayai tiada konspirasi politik dalam tuduhan liwat terbaru. Yang harus dipersalahkan, barang kali diri sendiri atas tindak-tanduk yang menimbulkan keraguan demi keraguan; kenapa laporan polis masih belum diserahkan kepada Anwar? Kenapa Anwar ditahan dramatik sebelum tamat waktu? Kenapa bersungguh meminta DNA Anwar sedang sepatutnya DNA itu sudah dalam simpanan?

Komen-komen PM Abdullah bikin orang makin pusing. Kata Datuk Seri, DNA lalu sudah lama, harus diambil baru. Kita bertanya – mungkinkah? Hatta DNA orang yang mati di zaman Kesultanan Melaka pun masih boleh digunakan! Lapor Anwar, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara terlibat dengan pemalsuan bukti pada tahun 1998. Kita tidak mahu percaya, lalu PM Abdullah membuat kita mahu percaya; kata Abdullah, kedua mereka tidak akan terlibat dengan kes liwat terbaru. Kita bertanya dengan ragu, bagaimana memastikan ketua kedua jabatan yang masih memegang kuasa tidak berperanan langsung dalam siasatan dan apakah tuduhan Anwar terhadap mereka berasas dengan pengecualian kedua mereka dalam siasatan kes liwat terbaru? Ya, kita pusing dengan kenyataan-kenyataan Abdullah yang tampak seolah-olah tikus membaiki labu.

Syed Hamid Albar menghilangkan lagi kepercayaan kita kepada teori tiada konspirasi. Kita bertanya, kenapa harus bersungguh mengejar DNA segar Anwar sehingga perlu suatu akta baru diluluskan?

Kita punya sebab untuk sangsi dengan aparat kepolisian. Kita bertanya, mengapa laporan polis oleh Balasubramaniam berkait penglibatan TPM Najib dengan pembunuhan Altantuya ditarik tidak sampai 24 jam? Kita juga hairan mengapa kes bekas menteri meraba seorang wanita juga berkesudahan dengan penarikan laporan polis? Kita mahu bertanya – mengapa melapor kalau kemudian ditarik penuh misteri? Persoalan-persoalan yang tidak terjawab ini menemukan kita pada suatu kesimpulan – pembohongan sedang berlaku.

Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
Bercakap bohong,
Lama-lama mencuri.

Dan yang paling kita enggan, apabila yang dicuri adalah milik rakyat. Barang kali kita sudah semakin mengerti, perubahan kepimpinan mesti. UMNO masih punya jalan untuk selamat, benarkan jawatan presiden parti ditandingi dan lihat apakah ahli-ahli UMNO redha dengan huru-hara yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin yang sekarang? Memberikan jalan kepada pemimpin seperti Razaleigh Hamzah untuk bertanding memberi isyarat bahawa politik UMNO bukan politik mengampu. Juga isyarat, seluruh akar umbi UMNO mendambakan perubahan dan UMNO masih mampu mengepalai negara. Jika tidak, barang kali benar kata WS Rendra – ‘tanpa kemantapan hati rajawali, mata kita hanya melihat matamorgana’ – ketabahan Anwar melancar kudeta ala demokrasi adalah alternatif untuk tidak terus tertipu dengan fatamorgana.

Wiji Thukul menulis dalam satu puisinya berjudul ‘Peringatan’:

Dan bila rakyat tidak berani mengeluh
itu artinya sudah gawat
bila rakyat patuh-patuh
penguasa harus mencari sebabnya
bila omongan penguasa tak ada yang membantah
kebenaran pasti terancam

apabila usul ditolak tanpa ditimbang
suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
dituduh subversif dan mengganggu keamanan
maka hanya ada satu kata: lawan!



Kadang kala penguasa lupa, yang sebenarnya berkuasa adalah rakyat. Membuatkan rakyat tidak tenteram dan merasa susah, adalah permulaan kehancuran sebuah kekuasaan. Merasa tertindas dan dipaksa patuh membuatkan siapa pun memberontak. Autokrasi yang dipaksakan umpama ‘tirani’ (penguasa zalim) yang harus tumbang.

Jika kami bunga
Engkau adalah tembok itu
Tapi di tubuh tembok itu
Telah kami sebar biji-biji
Suatu saat kami akan tumbuh bersama
Dengan keyakinan: engkau harus hancur!

Dalam keyakinan kami
Di manapun – tirani harus tumbang!

Wiji Thukul, 1987.