Sunday, March 30, 2008

Catatan Eceran: Kosciuszko, kembara dan guru

DSC06794 - Photo Hosted at Buzznet

Sekitar banjaran Alps Taman Negara Kosciuszko

Sesuatu yang hebat dan dikagumi sentiasa dikaitkan dengan tuhan. Saya jadi tak hairan dengan la escoba de Dios – Penyapu Tuhan, istilah penduduk tempatan untuk angin kencang yang kadang-kadang mengancam nyawa para pendaki dalam usaha menawan puncak Cerro Torre di Amerika Selatan. Masyarakat Tibet pula menamakan Gunung Everest sebagai Jomolungma yang ditafsir sebagai ‘dewi yang menjadi ibu kepada dunia’ sementara Sagarmatha ialah gelaran Everest di kalangan penduduk Nepal yang bererti ‘dewi langit.’Kehebatan itulah yang menyuguh semangat manusia untuk terus meneroka dan kadang-kadang menemukan apa yang mereka cari.

Tak siapa boleh menafikan, penerokaan jiwa paling agung juga berlaku di suatu tempat yang tinggi, di gua Hira’, yang letak di Jabal Nur (Bukit Cahaya) yang setinggi 550 meter itu. Pendakian dan pengembaraan seorang manusia yang merasakan dia adalah seorang yang asing di tengah-tengah syirik dan khurafat yang membening di Kota Mekah pada tahun 610 masihi yang langsung menemukan baginda SAW dengan Jibril, Iqra’ dan semestinya Allah SWT. Dan tak melampau kalau saya kaitkan diaspora Muslim seluruh dunia pada hari ini beroleh momentum dari seruan baginda SAW yang juga dari puncak yang tinggi, di Bukit Safa yang menjadi petanda permulaan dakwah secara terang-terangan. Dan mesti jangan dilupakan,perit kembara Rasulullah bersama sahabat baginda, Abu Bakar RA, dari Mekah ke Madinah memungkinkan kita menikmati status Muslim pada hari ini. Harus, populasi Muslim yang sejumlah dua bilion sekarang harus berterima kasih kepada kesanggupan generasi awal mengembara ribuan batu bagi menyebar luas kalimah Tauhid. Alhamdulillah atas kesanggupan mereka.


DSC06882 - Photo Hosted at Buzznet

DSC06865 - Photo Hosted at Buzznet

DSC06830 - Photo Hosted at Buzznet

Sekitar banjaran Alps Taman Negara Kosciuszko


“Buat apalah korang bersusah-payah buat benda macam tu, sejuk nak mati atas tu, baik duduk rumah ja.” Saya sentiasa menerima kata-kata sedemikian dalam beberapa usaha kembara saya sebelum ini. Bagaimana harus saya menerangkan tentang nikmat bersolat fardhu berbumbungkan langit di puncak yang tinggi? Atau memerhatikan hamparan gunung-ganang sambil mengagumi kebesaran Tuhan? Atau bersyukur dengan apa yang ada dalam keadaan serba kekurangan? Atau keakraban yang terbina bersama teman lewat susah-payah yang ditempuh? Tak mungkin. Hanya dengan melalui sendiri kita mampu merasai semua ini. Begitulah sedikit sebanyak yang saya rasai sewaktu menawan Kosciuszko, puncak yang tertinggi di Tanah Besar Australia. Apa pun tak boleh menjadi galang ganti pengalaman menggigil menunaikan solat jamak di tengah banjaran Alps Australia itu. Di atas bumbung Australia, saya menginsafi kekerdilan saya seorang hamba.


Pengalaman dari kembara kehidupan adalah guru yang terbaik. Al-Quran menggalakkan manusia mengembara ke seluruh pelusuk dunia buat memerhatikan kebenaran Allah SWT. Tanya Allah di dalam surah Ar-Rum ayat sembilan, “Tidakkah mereka mengembara di bumi lalu melihat kesudahan orang-orang sebelum mereka?” Seruan saya, teruskan kembara dengan tabah buat semua. Seperti Kosciuszko mengajarkan saya erti kesyukuran, saya mendoakan kalian menemukan sesuatu dalam setiap kembara kalian. Dari kembara-kembara generasi awal, hari ini, Islam sinonim dengan kita.

Masih ingatkah kita akan sumpah Musa Ibnu Nusair [1] sewaktu menghadapkan muka beliau ke lautan Atlantik bilamana gerombolan tentera Islam tiba ke Maghrib di pantai barat Afrika selepas kembara yang jauh? “Andaiku tahu ada tanah di seberang sana, nescaya aku akan pergi untuk menyebarkan kalimah tauhid!” Paradoks, hari ini kita lebih senang bersenang-senang di bawah selimut dari menghadapi sejuk cuaca. Masih ingatkah kita sumpah Musa Ibnu Nusair melalui suratnya kepada khalifah Walid Bin Abdul Malik [2] seusai menawan timur Sepanyol selepas kembara yang panjang? “Kami telah menawan Sepanyol. Dan sekarang izinkan aku maju ke Constantinople dengan menawan seluruh tanah Eropah sepanjang perjalananku ke sana dan hanya selepas itu aku akan melawat kamu!” Paradoks, hari ini kita lebih senang bersenang-senang di hadapan televisyen daripada berguru dari pengalaman menerusi kembara.

Nota kaki:

1. Gabenor Kerajaan Bani Umayyah bahagian barat sewaktu pemerintahan Khalifah Walid Bin Abdul Malik.

2. Khalifah Bani Umayyah yang menggantikan bapanya, Abdul Malik Bin Marwan, yang meninggal pada tahun 705 masehi.

Saturday, March 22, 2008

Anekdot Seorang Kuli (Sebuah Cerpendek)

old-man - Photo Hosted at Buzznet


Kuli mengorek hidung, dahi berkerut, mata disepetkan seolah-olah memikirkan soal hidup mati. Kuli tahu, sebagai seorang kuli, dia harus setia kepada isi rumah. ‘Lawan kuli lawan!’ Dia masih ingat laungan pada tahun 1987, sewaktu dia mahu melawan tuan rumah. Dia berani, dia lawan, malangnya dia tewas langsung dihalau dari rumah. Sehelai sepinggang, berbogel dia keluar dari rumah.Tahun 1989, malah rumah lama dijual dan digantikan dengan rumah baru. ‘Rebranding’ kata tuan rumah. Kuli yang dihalau bogel diterima baik di tempat sendiri. Malah membuktikan tuan rumah silap menghalaunya. Sehebat-hebat kuli, kuli sayang seisi rumah lama. Dia kembali berkhidmat menjadi kuli buat seisi rumah lama.


Tuan rumah lama sudah tak ada. Ada tuan rumah baru - tak sebagus dan setegas tuan rumah lama. Yang ini asyik terperap di dalam bilik. Rumah hampir dilelong. Kuli sayang seisi rumah. Rumah mesti dipertahankan. Kalau dilelong, macam mana dengan buah nenas sebesar kepala budak di belakang rumah? Macam mana dengan buah tembikai sebesar perut ibu mengandung sembilan bulan? Macam mana dengan itik serati yang sudah pandai bilang satu sampai sepuluh? Macam mana dengan budak hitam yang bijak baca ABC? Macam mana dengan anak-anak dara yang sudah pandai ‘catwalk’? Atau ibu-ibu yang sudah putus haid? Atau dia sendiri yang sudah berusia lanjut?

Kuli sudah tidak boleh tahan. Dia anak lelaki! Sekadar hunus-hunus parang macam pondan dia tak main. ‘Lawan kuli lawan,’kembali bergenderang suara itu dalam kotak kepalanya. Kuli berhenti mengorek hidung. Digentel-gentelkan tahi hidung antara ibu jari dan jari telunjuk. Piungg... Dijentiknya bebola tahi hidung entah ke mana-mana. Dia bangun. Dia mesti lawan. Rumah mesti dipertahankan. Kuli mengengkang menuju kearah pintu bilik tuan rumah yang barangkali sedang nyenyak tidur. Bam! Diterjangnya pintu bilik. Tuan rumah laki bini masih lena di bawah selimut.

“Oit,keluar kau dari bawah selimut!” jerkah kuli.

Senyap, tak ada balasan. Kuli mengengkang menuju ke kaki katil. Ingin diselaknya selimut tuan rumah. Dia sudah tak peduli, berbogel atau berbaju si tuan rumah. Dia cuma mahu lawan. Zapp... Disentapnya selimut merah putih dengan tompok-tompok kuning hijau air liur basi. Kuli anak jantan. Rumah mesti diselamatkan.

(TAMAT)

Wednesday, March 19, 2008

Hysteria, propaganda, Chlamydia dan penipuan

discharge - Photo Hosted at Buzznet


Cerita 1 (Hysteria dan propaganda)

Hysteria datang daripada perkataan hysterus, hysterus daripada bahasa Greek bermaksud rahim (uterus). Lama sebelum perubatan moden dan perubatan berasaskan agama, ilmu-ilmu perubatan lahir daripada pemerhatian. Seperti istilah diabetes mellitus (kencing manis) dan diabetes insipidus (kencing tawar) yang lahir daripada merasa air kencing pesakit (dengan lidah). Pemerhatian orang Greek kuno, perempuan menjadi tak tentu arah sebelum haid. Simptom tak tentu arah tersebut dikaitkan dengan hysterus (rahim) - otak perempuan yang tidak harmoni sebelum berdarah. Pada mereka, otak perempuan letaknya di bawah! Begitu cerita tutor saya.

Pemerhatian zahir tak semestinya betul. Kajian sentiasa diperlukan. Barangkali, mempercayai propaganda adalah sama dengan mempercayai otak perempuan berada di bawah dan berdarah setiap 28 hari! (purata kitar haid normal) - kepercayaan tanpa kajian mendalam.

Cerita 2 (Chlamydia dan penipuan)

Seorang perempuan yang hanya beberapa minggu akan berkahwin hadir dengan bakal suaminya ke hospital. Simptom – nanah berlendir yang keluar dari faraj. Soalan rutin untuk simptom sedemikian adalah berkenaan hubungan kelamin. Kata bakal suaminya, mereka tak pernah berhubungan kelamin dan bakal isterinya masih dara. Ujian sampel dari kawasan faraj positif Chlamydia. Chlamydia organisma yang berjangkit melalui hubungan seks. Di hari yang lain, tanpa bakal suaminya dalam bilik konsultasi, dia mengaku telah berhubungan kelamin dengan bosnya di pejabat.

Penipuan selalunya akan terungkap. Terutama oleh orang yang mahu berfikir dan ahli. Barangkali, menipu orang yang mahu berfikir adalah sama dengan menipu doktor tentang nanah berlendir yang keluar daripada faraj tak mungkin disebabkan oleh Chlamydia.

Monday, March 10, 2008

Tentang PRU 12 - Akibat Kuat Tidur


"Saya fikir orang Jepun akan melakukan harakiri. Tetapi saya rasa orang Melayu tidak sampai ke tahap itu lagi. Saya fikir beliau patut menimbangkan untuk mengundurkan diri."
(Mahathir Mohamad)



Homer-Sleep1 - Photo Hosted at Buzznet

Malam itu saya menulis dengan sarkastik - Zam Mamak boleh bertusyen ‘English’ mulai esok dan Samy Vellu boleh jadi cikgu Bahasa Melayu di ‘estate’. Beberapa teman ketawa. Saya menyangka pembangkang akan memperolehi majoriti 2/3 di Kelantan dan majoriti mudah di Pulau Pinang dan Kedah. Rupanya pembangkang (baca: kerajaan baru) membolot 5 negeri sekali gus – Perak dan Selangor yang lagi dua. Saya tertawa kecil bila melihat muka Khir Toyo yang berkilat dek Botox di beberapa laman web – kempen pembangkang sifar Khir Toyo sudah jadi poyo, sekarang Khir Toyo jadi ketua pembangkang. Saya tak pernah memandang idea pembangkang sifar Khir Toyo idea bijak, bagi saya sebuah negara demokrasi harus mempunyai pembangkang dan kerajaan yang kuat. Saya agak kalut bila DAP memenangi majoriti kerusi DUN di Perak mengatasi PAS dan PKR untuk membentuk kerajaan negeri. Ada teman yang menyuguh saya, “Tiqar… Aku tak sanggup cina jadi MB Perak!”

Saya bukan cauvinis, saya pernah bertemu beberapa teman Cina yang Islamnya lebih hebat daripada saya. Cina atau Melayu yang mentadbir, tak jadi masalah kalau perlembagaan dijunjung. Dan menurut ramai, kalau pun Cina mentadbir, ketua negeri dan Islam masih lagi sultan Melayu Islam. Kalau pun hendak marah, marahkan Mahathir sebab mengurangkan kuasa raja-raja Melayu. Pun, Mahathir tak juga boleh dimarahi (sekurang-kurangnya untuk seminggu ini), kerana faktor marahnya Mahathir kepada Dolah dan kawan-kawan membolehkan Kedah jatuh ke tangan pembangkang.

Kata teman lain yang menghantar mesej kepada saya, “Habislah Perak, lepas ni kandang babi merata-rata.” Benar, saya memang kalut dengan keadaan di Perak, kalutnya saya bukan kerana Perak bakal menjadi pengeksport babi terbesar (seperti lelucon itu), saya bimbang kemungkinan meletusnya rusuhan kaum seperti tanggal Mei 1969. Sebelum hari mengundi, media arus perdana gigih memainkan kata-kata Lim Guan Eng (baca: KM baru Pulau Pinang) yang berbau perkauman. Kalaulah saya Melayu, atau seorang Cina yang berada di mana-mana kampong atau pekan di Perak sekarang, sumpah, saya akan jadi sangat takut! Takut sampai siap mengasah parang sedia menghadapi kemungkinan. Jika sedikit sahaja api terpercik, 1969 boleh berlaku dan itu akan jadi hujah kukuh untuk BN mengalahkan alternatif sampai kiamat. Lalu saya menyeru kepada kalian, sebarang bentuk konflik antara kaum atau antara penyokong parti wajib dielakkan - bukan kerana bimbang BA atau BN takkan lagi mengulangi kejayaan besar, tapi demi negara tercinta! Sunguh, konflik sedungu itu akan mengheret Malaysia berpuluh tahun kebelakang. Ya, demi negara tercinta, kita semua tak harus menjadi galak tak tentu fasal.



Saya memerhati dengan minat dan debar. Yang paling menggembirakan saya ialah pengumuman Guan Eng untuk berkongsi kuasa dengan PKR di Pulau Pinang. Ada cahaya di situ. Terkesan oleh saya, BA yang dikutuk BN sebagai pakatan tak logik itu sudah semakin matang. Harapan saya waktu itu, Melayu PKR dipersetujui sebagai MB baru Perak supaya kedua-dua Melayu dan Cina tak terlampau kalut seperti hamster yang terjaga dari tidur (saya sangat benci dengan hamster peliharaan, hancing kencingnya, Tuhan sahaja yang tahu!) . Lebih saya bersyukur, BA yang saya sangka matang itu rupanya sangat matang – Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, PAS Pasir Panjang dinamakan sebagai MB. Terbukti DAP yang terkenal di media perdana sebagai pejuang sekularis itu mampu bekerjasama dengan PAS dan PKR. Lalu, ramai Melayu mampu menarik nafas lega termasuk teman yang bimbang Perak dipenuhi babi, dan saya katakan kepada teman-teman Cina dan India, kalian harus berbangga dengan DAP!

DSC06765 - Photo Hosted at Buzznet

DSC06764 - Photo Hosted at Buzznet

Berita tentang PRU 12 di muka hadapan 'The Australian' antara akhbar utama di Australia.



Seruan Anwar Ibrahim meminta penyokong pembangkang bertenang harus dipuji. Beberapa hari ini sangat kritikal, semua pun sangat teruja. Terbukti Anwar sangat relevan. Kata saya kepada ramai teman - saat ini dua orang yang mampu mengawal orang Melayu dengan suara ialah Anwar dan Mahathir. Peningkatan kemenangan PKR di kerusi parlimen sangat menakjubkan. Tiga menteri kalah di tangan calon PKR – Samy Vellu (Bapa Tol Malaysia), Shahrizat Jalil Tudung Terapung dan Zam Mamak (Bapa Propaganda) begitu juga dengan enam timbalan menteri; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin. Dan, saya tak sabar menanti Anwar kembali ke parlimen setelah memenangi pilihanraya kecil nanti!

Kekalahan Zam Mamak di Sungai Petani cukup saya rasai. Berita propaganda sudah amat kurang memenuhi laman sesawang media arus perdana. Saya terkejut bila mendapati berita paling atas Utusan Online 9 Mac 2008, jam 9.54 malam adalah berkenaan Atwal Si Bintang India memenangi kejohanan golf bukannya PRU 12! Zam Mamak tak seberuntung Atwal, kata Atwal si bintang Bollywood yang dipetik Utusan: “Menang tetap menang dan ia menyusul lima tahun selepas kemenangan terakhir, saya sangat gembira.” Lebih lucu, kedua-dua Zam Mamak dan timbalannya, Datuk Seri Chia Kwang Chye bungkus. Barangkali selepas ini Zam Mamak boleh berkeliling dari satu kampung ke kampung yang lain memandu lori dengan pembesar suara menjual tilam atau memborong surat khabar lama. Ternyata, orang sudah muak dengan propaganda.

Dua parti komponen BN seperti cicak berak kapur. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Gerakan sementara MIC mendapat pukulan ‘knock-out’ dengan presiden dan naib presiden tumbang serentak.

Lalu ramailah yang menjerit. Ini semua Khairy punya fasal! Kalaulah Pak Lah berani membawa Khairy lebih tinggi, ertinya Pak Lah tak belajar dari kesilapan. Harapan Khairy menjadi PM termuda hampir berkecai. Mahathir tanpa berlengah mendesak Pak Lah meletak jawatan. Barangkali Pak Lah harus belajar daripada Koh Tsu Koon. Pak Lah tak pedulilah. Kata Pak Lah, dia takkan meletak jawatan. Kalau begitu, saya berdoa semoga Pak Lah belajar dari kesilapan. Akibat kuat tidur, kampung tergadai. Seperti Pak Kadok, Pak Lah silap menilik kekuatan ayam sendiri dan lawan. Apa boleh buat Pak Lah... Kalau masih berdegil mahu di puncak kuasa, buktikan kepada rakyat yang anda Imam Hadhari yang relevan! Nah, lima tahun lagi kembali menyabong! Barangkali, jika Pak Lah bersungguh memperbetulkan apa yang silap dalam pemerintahan beliau, tak mustahil suatu hari nanti BN akan mendapat mandat yang besar. Ya, lima tahun yang mesti digunakan oleh BA dan BN untuk menambat hati rakyat sebelum kembali ke gelanggang sabong. Saya teringat lagu yang saya nyanyikan semasa saya anak-anak:

lenggang...lenggang kangkong,
kangkong tepi telaga,
lengang... lenggang kangkong
balik dari menyabong, makanlah nasi sahaja,
lengang...lenggang kangkong
balik dari menyabong, Pak Lah menunglah sahaja...

Ah! Mengantuklah. Tidur dulu. Semoga kerajaan-kerajaan baru melaksanakan semua manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat. Sweet dreams!

p/s: sebarang bentuk konflik antara kaum dan parti saat ini harus kita sedari boleh menjadi marak menjadi rusuhan berdarah. Oleh itu, kawal diri kita - semoga negara tercinta terus aman dan selamat untuk semua bangsa. Salam rindu dari saya untuk Malaysia.

Saturday, March 01, 2008

Demokrasi

moon crescent - Photo Hosted at Buzznet full moon 02 2000 - Photo Hosted at Buzznet



Saya percaya yang bilangan denyut jantung manusia telah ditentukan. Saya enggan membazirkan setiap denyut yang saya miliki.
(Neil Armstrong)
'… di Italia, seorang ahli ilmu sosial, Maria Palmieri, menulis dengan keras : demokrasi adalah sebuah bentuk organisasi sosial dan politik yang haram jadah. Orang banyak diciptakan untuk dipimpin, dan bukan untuk memimpin, dan akhirnya diciptakan untuk jadi budak, dan bukan jadi tuan …'
(Goenawan Mohamad)
p/s: saya sibuk menjadi bidan di hospital.