Thursday, November 29, 2007

Tentang Keith, Jane, Rudd, Howard, demokrasi, samak dan mamak bendahara (2).

DSC00043 - Photo Hosted at Buzznet




Keith dan Jane jiran baru kami. Malam itu, saya sibuk menelaah pelajaran waktu pintu rumah diketuk bertubi-tubi. Dia memperkenalkan dirinya, Keith katanya. Waktu itu dia kelihatan resah, masakan tidak, rumahnya dipecah masuk pencuri. Selang beberapa hari, waktu saya tiba di rumah dari hospital, Jane memperkenalkan diri dan menjemput saya ke rumah, ada sesuatu yang mahu diberikannya. Daging kambing lebih daripada 2 kilo, sayang, saya tak dapat memanfaatkannya.

Keith waktu itu masih belum mampu mengingati nama saya. Lagi pula, pasangan itu sudah berumur sekitar 80-an. Dia bertanyakan nama saya buat sekian kalinya, Hafez, kata saya. Mudah, katanya. Half and piece. Dia yakin yang kali ini dia mampu mengingati nama saya.

Dia mengajak saya untuk nantinya meluangkan masa minum-minum dengannya. Minum dalam konteks dia bererti alkohol. “Saya tak minum,” kata saya. “Are you religious?” soalnya. ‘Religious’ dalam konteks mereka pun berbeza. Ada yang menganggap seorang yang berpuasa sebulan penuh walau pun seumur hidup tak pernah bersolat sebagai ‘religious’. Ada yang menganggap cerewet tentang makanan halal atau haram sebagai ‘religious’ walau pun tak pernah berpuasa atau bersolat seumur hidup. Kalau begitu neracanya, saya adalah ekstremis! “I don’t take alcohol,” beritahu saya. Terus, dia mengajak minum-minum teh di rumahnya suatu hari nanti. Saya bersetuju.

Saling mengenali adalah rahmat Tuhan. Malang, manusia hari ini lebih suka permusuhan daripada perdamaian. Saya kagum dengan kesungguhan manusia bermusuh. Kadang-kadang, bermusuhan itu datang lebih dahulu daripada saling mengenali. Saya pasti, permusuhan bukan rahmat Tuhan di dunia, barangkali, itu azab dunia…
*Gambar: Rumah di Frankston

Wednesday, November 28, 2007

Anekdot Panda dan Puisi Prosaik (Ulasan)

panda01 - Photo Hosted at Buzznet




Ulasan Puisi ‘Membujuk Hati’ dan ‘Apologi’ oleh penyair GKLN.
*Kredit untuk Sdr Emzek dan Sdr Sarah
Oleh: Hafez Iftiqar Termizi

Suatu ketika dahulu, saya pernah terbaca anekdot panda khusus menggambarkan betapa penggunaan tanda baca boleh menjadi isu yang tak boleh dipandang remeh. Saya sertakan anekdot panda untuk bacaan kalian serta memudahkan saya menyampaikan maksud saya.

Seekor panda masuk restoran dan telah memesan makanan. Setelah selesai makan, panda mengeluarkan pistol, menembaki pelayan lalu melangkah keluar.

“Kenapa kau lakukan itu?” tanya seorang pelayan yang terselamat.

Sang panda mengeluarkan sebuah panduan mergastua dan melontarkan kepada pelayan.

“Kerana aku seekor panda,” katanya. “Bacalah.”

Pelayan membuka halaman ‘P’ dan bertemu definisi panda, “ Panda. A rare bearlike mammal (Ailuropoda melanoleuca) of the mountains of China and Tibet, having woolly fur with distinctive black and white markings. Eats, shoots and leaves.”

Eats, shoots and leaves – makan, tembak dan pergi. Padahal perlu ditulis Eats shoots and leaves – makan rebung dan daunan. Tanda koma (,) telah menyebabkan sang panda salah faham lalu dia hadir di restoran; makan, tembak dan kemudian pergi!

Secara umum, tanda baca bertujuan supaya penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca. Ambil contoh anekdot yang saya sertakan dalam ulasan ini, tanda pengikat kata (“...”) guna untuk memberitahu pembaca bahawa itu adalah dialog. Bolehkah tanda baca diabaikan? Ya, boleh. Anda adalah penulis, jadi anda punya licentia poetica (poetic license) untuk melanggar aturan tatabahasa. Tapi perlanggaran ini tak harus terjadi kecuali anda pasti yang anda mampu berkomunikasi dengan pembaca secara berkesan.

Terkurang tanda baca adalah masalah, terlebih tanda baca juga masalah. Kedua-duanya membuatkan pembaca anda keliru. Oleh itu, jangan lakukan dua kesilapan ini. Pokoknya, dalam membuat keputusan untuk menggunakan tanda baca, fikirkan pembaca anda.

Penggunaan tanda koma bertindih (;) secara umum punya tiga tujuan. Pertama, memisahkan bahagian ayat yang setara dengan keadaannya. Berikut adalah contoh penggunaan: Hafez Iftiqar seorang kacak; ramai gadis sawan selepas melihat beliau. Contoh dua dari puisi ‘Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu’ oleh Fadhrazy: ‘masih tak terbaca tafakur ketinggian rahsia itu; tabir ruhi yang tak terjangkau...’ Untuk memudahkan kita, saya mencadangkan, dalam cubaan menggunakan tanda (;), cuba gantikan terlebih dahulu dengan kata yang memainkan fungsi sama seperti ‘iaitu’ atau ‘oleh itu’. Ingat, tanda (;) guna untuk menghubungkan ayat!

Tujuan kedua tanda (;) ialah memisahkan bahagian-bahagian ayat yang menggunakan kata hubung. Seperti contoh yang saya gariskan dalam anekdot panda, seharusnya bahagian itu ditulis begini: Dia hadir di restoran; dia makan, dia tembak dan kemudian dia pergi. Perhatikan ayat ‘dia makan’ dan ‘dia tembak’ yang kemudiannya disusuli kata hubung ‘dan’. Kerana saya punya poetic license, saya membuat keputusan untuk tidak menggunakan ayat penuh sebaliknya memadai kata ‘makan’, ‘tembak’ dan ‘pergi’. Pokoknya, kita harus tahu, penggunaan tanda (;) adalah untuk memisahkan bahagian-bahagian ayat yang menggunakan kata hubung. Tahu, sesudah itu kita boleh menggunakan poetic license.

Penggunaan ketiga adalah untuk memisahkan pembayang dan maksud. Tidak hanya pantun, malah sajak yang punya pembayang dan maksud juga terangkum dalam perbincangan ini. Ambil contoh pantun dua kerat berikut:

Pecah kaca pecah gelas;
Lepas baca harap balas.

Untuk contoh pantun empat kerat:

Memakan longan sambil bersembang,
Buah berlubang dimakan jangan;
Kalau cik adik masih seorang
Bolehkah abang hantar rombongan?

Kalau kamu suka, apa sahaja tulisan yang punya maksud dan pembayang boleh menggunakan teknik ini. Fadhrazy dalam puisi ‘Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu’ telah menggunakan tanda koma bertindih ini dengan sangat cemerlang. Perhatikan bait-bait berikut:

Seketika aku menjentik maujud gunung-Mu;
yang bergetar itulah kerdil insaniku.

Seketika aku menghembus gejolak mentari-Mu;
Yang terpadam itulah ketakburan batiniku.

Seketika aku menghambat keliaran angin-Mu;
Yang rebah itulah gelojoh peribadiku.

Seketika aku membakar pesona bulan-Mu;
Yang garing itulah ghairah duniawiku.

Seketika aku meneroka tegar belantara-Mu;
Yang terkoyak itulah nafsu manusiawiku.

Sedikit mengenai pandangan saya tentang penggunaan tanda (;) yang digunakan oleh Sdr Emzek dalam puisi ‘Membujuk Hati’. Tanda ini boleh sahaja digantikan dengan tanda koma (,) atau tanda sempang (-), atau tak perlu menggunakan apa-apa tanda atau kalau saudara suka, gunakan teknik penulisan lain, enjambemen misalnya. Teknik enjambemen mudahnya adalah teknik mematah-matahkan baris. Untuk panduan:

Menyalah
bukan pilihan. Redha
atas ketentuan. Muhasabah
segala laku.

Puisi yang baik adalah puisi yang indah makna dan bentuknya. Puisi yang lemah digambarkan dengan sifat prosaik, imej bercampur, klise dan penggunaan kata bombastik yang sampai menghalang pembaca menggali makna puisi.

Pengarang yang hebat, menurut pandangan saya mampu menukarkan kata yang biasa-biasa menjadi indah. Ini boleh dilakukan dengan memanipulasi gaya bahasa yang tertentu. Harus juga diingatkan, dalam usaha memanipulasi gaya bahasa, klise sedaya upaya mesti dielakkan. Klise adalah dosa yang kerap dilakukan oleh penulis-penulis baru. Metafora ‘pelita hidup’ dan ‘keladak jiwa’ sebagai contoh, adalah klise. Metafora seumpama itu kerap benar digunakan oleh pengarang dan tidak lagi memberi kesan yang mengagumkan. Fikirkan sesuatu yang segar dalam puisi anda. Pemilihan diksi juga harus logik supaya baris yang terhasil sesuai. Sebagai contoh pemilihan kata ‘menggoncang’ dalam simile ‘Ia datang bak harimau menggoncang’ adalah kurang sesuai untuk menggambarkan harimau yang datang berlari mahu pun berjalan.

Fenomena puisi lewah juga biasa terjadi di kalangan pengarang baru. Melalui pengamatan saya, puisi yang lewah kebiasaannya juga merupakan puisi yang prosaik. Untuk tujuan kritikan dan ulasan supaya kita sama-sama boleh belajar, saya ambil contoh daripada puisi ‘Apologi’.

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan
Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan

Bait pertama ini adalah bentuk prosaik yang saya maksudkan. Bait ini tak ada beza kalau ditulis dalam bentuk prosa: ‘Terbit matahari pagi tadi aku buka almari, terlihat baju kurung putih (putih sekali) yang punya manik-manik kecil’. Bait-bait puisi ini juga mempunyai makna selapis dan terlampau peribadi.

Maksud terlampau peribadi, puisi ini hanya mahu bercerita kepada pembaca tentang diri penulis atau kisah dalam puisi itu hanya boleh diaplikasikan kepada penulis. Dalam puisi ‘Apologi’ sebagai contoh, tentang penulis yang terkenangkan ibunya apabila penulis terpandang baju putih miliknya di suatu pagi dan tentang penulis yang mahu meminta maaf kerana dia seorang doktor banyak kekurangannya dan lain-lain. Menurut Rahman Saari, sajak yang terlampau peribadi tidak sesuai untuk khalayak dan baik disimpan sahaja dalam fail peribadi.

Umumnya, ketaksaan atau ambiguiti adalah suatu kemahiran yang disanjung tinggi dalam kepenyairan. Ketaksaan ini boleh dicapai dengan menggunakan gaya bahasa dan diksi yang berlapis makna. Ketaksaan adalah kemahiran menyampaikan maksud tanpa perlu menyebut secara terus sekali gus mampu memerdekakan puisi anda daripada sifat prosaik.

Matahari pagi
sering tak mahu bersahabat
sering menghambat kawanan memori
berbalam, rawak-rawak cahaya silam
adalah kesibukan
adalah kelalaian
adalah keputusasaan
seorang aku,
yang menghulurkan salam persahabatan
pada matahari yang sombong.

Aku adalah lopak air
rembang siang nanti, aku kering
bertebaran sebagai zarah-zarah.

Sebagai contoh, dua bait di atas boleh sahaja membawa maksud keseluruhan puisi ‘Apologi’ tulisan Sdr Sarah. Bait-bait tersebut juga lebih taksa dengan menggunakan teknik puisi tertentu dan puisi itu pun sudah tidak peribadi lagi. Cukup buat menggambarkan keputusasaan atau menyerah kalah (rasanya, tema yang kurang bagus). Seorang doktor, akan menafsirkan keputusasaan itu berlaku bila dia gagal menyelamatkan nyawa pesakitnya, bila dimarahi jururawat sebab tulisan buruk sampai tak boleh baca (sayalah tu) dan lain-lain.

Dalam tulisan sebelum ini, saya telah menyentuh bahawa konsistensi adalah penting. Ayat mudah, kalau Sdr Sarah mahu menggunakan matahari, sdr boleh memperalatkan matahari dan sahabat-sahabatnya (awan, langit, pokok dan lain-lain) sepanjang puisi sdr. Metaforakan, personafikasikan, inversikan, ironikan mereka (atau lain-lain). Gunakan segala macam gaya bahasa yang sdr mahu dalam upaya memperalatkan matahari dan kawan-kawannya bagi menghasilkan puisi yang baik.

Pemilihan diksi yang melompat-lompat adalah kelalaian yang perlu dielakkan. Kelalaian ini menyebabkan puisi anda dipandang sebagai pendosa. Dalam puisi ‘Apologi’, tiba-tiba sahaja penulis menulis tentang kerusi beroda yang tak pernah pun disebut dalam bait-bait terdahulu. Berikut adalah bait tersebut:

Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan
Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan

Lihat juga baris ‘Perlahan kupangku ia atas ribaan’, memadai kalau penulis hanya menulis kupangku atau kuriba, ini sudah mewakili maksud yang diingini. Elakkan pemilihan kata yang lewah.

Apapun, saya harus memberikan pujian kepada kalian kerana minat yang mendalam dalam kesusasteraan Melayu. Tepukan untuk Sdr Emzek dan Sdr Sarah. Untuk kita semua, nasihat saya, penulis yang baik juga merupakan pembaca yang tegar. Baca sebanyak mungkin buku-buku merangkumi segala bentuk penulisan, rentas bidang, belajar daripada tulisan-tulisan penulis mapan setempat atau internasional. Penulis luar negara terutama dari GKLN, sebagaimana yang sering diperkatakan Fahdrazy, harus punya kelainan untuk dipersembahkan kepada khalayak sastera Malaysia. Wallahualam.

Salam hormat dan maaf kalau ada sebarang khilaf.

Hafeziftiqar,
Frankston, VIC, Australia,
28 November 2007.

--------

Puisi-puisi yang diulas:

(1) Membujuk Hati
Malang bukan permintaan,
bukan impian.
Ia datang bak harimau menggoncang
Aum, amuk tanpa sempadan
Menggertak menggetar,
akal dan iman
Sendirian ia datang, terkadang segerombolan
Menyerang tidak, menghalang bukan.
Malang bukan sial yang mampir
Memburuk menggugat ganggu
Memutus memberai rahmat
Menghakim segala silap.
Malang itu rahmat
Membersih keladak daki jiwa
Yang semakin mendak,
menghitam terlegam.
Menyalah; bukan pilihan,
Redha; atas ketentuan,
Muhasabah;segala laku.
Emzek
Yamaguchi, Jepun


(2) Apologi

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil
Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan
Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan
Aku ke hilir mengejar nyawa
Aku ke hulu membantu manusia
Bilang saja di mana
Aku pasti bisa
Janjikan tempat dan masa
Pasti aku tiba jua
Darahku mengalir semangat
Nadiku berdegup penuh minat
Mengusung nyawa selagi daya
Sungguhpun ada teriak tempik ke langit
Katakan aku bukan yang terbaik
Terkadang waktu itu aku jauh hati
Patah hati jua datang iri
Kerana aku bukan si baju putih terhebat
Yang bisa mengusir pergi si malaikat
Kerana aku bukan dukun handal
Yang bisa mengubat hidup-hidup yang sundal
Tapi aku punya kudrat
Yang akan bekerja selagi aku daya
Tapi aku punya tangan
Yang akan memberi selagi aku memiliki
Tapi aku punya hati
Yang akan berdoa selagi aku ada
Terkadang aku rasa mahu melolong
Berkata pada dunia bahawa aku kini kosong
Aku tidak lagi punya kudrat
Kerana aku sendiri melarat
Aku tidak punya tangan
Kerana aku kini buangan
Yang setia cuma hati
Tak pergi, masih mahu menemani
Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan
Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan
Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua
Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai
Dunia
Apologi terdalam dari hatiku yang bersih
Dalam pembaringan
Berbaju kurung putih
Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF

Tentang Sutardji dan ‘Tuna Lautan Manusia’ (Ulasan Puisi)

Oleh: Hafez Iftiqar Termizi
Untuk: Grup Karyawan Luar Negara (GKLN)
* Kredit untuk Sdr Amar Amir Omar atas puisi unik ‘Tuna Lautan Manusia’.


Salam puisi,

Saya pernah membaca dan mengkaji beberapa tulisan susuk yang dikenali sebagai Presiden Penyair Indonesia, Sutardji Calzoum Bachri. Sutardji barangkali terkenal dengan Kredo Puisinya. Antara lain Sutardji menulis, 'Ketika menulis sajak, penyair harus dengan sunguh-sungguh mencari agar menemukan bahasanya sendiri.' Sutardji tak asing dengan puisi-puisi yang menurut beliau, kata yang dipilih, terpulang kepada pembaca mahu ditafsirkan apa. Tulis Sutardji dalam Kredo Puisinya, ‘Kata-kata bukanlah alat mengantarkan pengertian. Dia bukan seperti paip yang menyalurkan air. Kata adalah pengertian itu sendiri. Dia bebas.' Perhatikan pemilihan diksi Sutardji dalam puisi ‘Tapi’ yang berikut.

TAPI

aku bawakan bunga padamu
tapi kau bilang masih

aku bawakan resahku padamu
tapi kau bilang hanya

aku bawakan darahku padamu
tapi kau bilang cuma

aku bawakan mimpiku padamu
tapi kau bilang meski

aku bawakan dukaku padamu
tapi kau bilang tapi

aku bawakan mayatku padamu
tapi kau bilang hampir

aku bawakan arwahku padamu
tapi kau bilang kalau

tanpa apa aku datang padamu
wah!

Perhatikan kata-kata berikut; masih, hanya, cuma, meski, tapi, hampir dan kalau di hujung setiap bait. Kata-kata itu, pengertiannya dalam konteks puisi ini tidak terbelenggu dengan makna konvensional yang boleh didapati di dalam kamus, pengertiannya terpulang kepada anda, pembaca. Menurut Sutardji, dia mahu memerdekakan makna kata-kata tersebut. ‘Masih’ dalam bait satu boleh sahaja difahami sebagai; jangan, celaka, pergi dan lain-lain. Tulis Sutardji lagi, ‘Dalam (penciptaan) puisi saya, kata-kata, saya biarkan bebas. Dalam ghairah kata-kata yang telah menemukan kebebasan, kata-kata itu meloncat-loncat dan menari di atas kertas, mabuk dan menelanjangi dirinya sendiri, mundar-mandir dan berkali-kali menunjukkan muka dan belakangnya yang mungkin sama atau tak sama, membelah dirinya dengan bebas, menyatukan dirinya sendiri dengan yang lain untuk memperkuat dirinya, membalik atau menyongsangkan dirinya dengan bebas...’

Berikut adalah puisi Sdr. Amar Amir Omar berjudul ‘Tuna Lautan Manusia’.

Lemas di lautan manusia
taman berhibur jutaan tuna.

Ada baju tuna busana,
Ada mata tuna netra,
Ada akal tuna indra,
Ada adat tuna susila.

Alangkah mulia sandwich tuna,
berbanding manusia bertuhan dunia,
yang kenal Rabb tunakan Ilahnya.

Sebagai rujukan, saya sertakan maksud kata tuna yang boleh didapati dalam Kamus Dewan.

1.
tuna
sl luka, cacat, rosak; ~ anggota cacat anggota; ~ kerna pekak, tuli; ~ karya tidak bekerja, penganggur; ~ netra buta: ~ pidana penjara; ~ susila rosak akhlaknya (pelacur dll); ~ tertib pengacau;

2.
tuna
tertuna 1. kena luka, mendapat luka: ia berasa tertikam dan ~; 2. ki mendapat sesuatu kecelaan (kecacatan dll), menderita (kerana sesuatu yg tidak menyenangkan): banyak antara mereka yg ~ rindu dan renjana, kerana perwira yg muda belia ini


Ada dua pilihan dalam usaha memahami puisi ini, satu membiarkan diri terbelenggu dengan makna yang boleh didapati dalam kamus yang menyebabkan pembaca keliru. Kekeliruan ini timbul kerana makna kata ‘tuna’ dalam bait satu dan dua tidak konsisten dengan makna dalam bait tiga. Harus diingatkan juga, maksud ‘tuna’ yang difahami umum adalah lain dari yang tertulis di dalam kamus dan ‘tuna’ di dalam kamus itu terlalu asing untuk digunakan khalayak umum. Kedua, ikut cara Sutardji.

Kalau mengikut teori Sutardji, dalam puisi 'Tuna Lautan Manusia', kata 'Tuna' boleh jadi apa sahaja. Mungkin seluas, agungkan, pelbagai, bukan dan lain-lain, terpulang kepada pembaca mahu menafsirkan apa kerana kata ‘Tuna’ itu tidak terbelenggu sebatas makna yang boleh didapati dalam Kamus Dewan.

Puisi, apa pun masih memerlukan keindahan bentuk dan makna. Konsistensi mesti untuk memelihara keindahan ini. Dalam ‘Tuna Lautan Manusia’, secara peribadi, saya menganggap yang berikut sebagai lewah; kata manusia dalam bait pertama, kata sandwich dalam bait ketiga dan baris ‘berbanding manusia bertuhankan dunia.’ Saya lebih suka kata ‘Tuna’ yang bebas meloncat-loncat, menari, mabuk dan menelanjangi dirinya sendiri, mundar-mandir dan berkali-kali menunjukkan muka dan belakangnya seperti puisi yang telah saya rekonstruksi seperti berikut;

Lemas di lautan,
taman berhibur jutaan tuna.

Ada baju tuna busana,
Ada mata tuna netra,
Ada akal tuna indra,
Ada adat tuna susila.

Alangkah mulianya tuna,
yang kenal Rabb tunakan Ilahnya.

Saya barangkali harus mengingatkan, aliran puisi yang diangkat Sutardji ini tidak popular di kalangan khalayak sastera di Malaysia. Kepelbagaian puisi di Malaysia masih miskin jika mahu dibandingkan mewahnya puisi-puisi Indonesia. Dan yang lebih utama, Sutardji masuk dalam penyair yang memperjuangkan aliran mantera, kata Sutardji dalam Kredo Puisinya, “Menulis puisi bagi saya adalah membebaskan kata-kata, yang berarti mengembalikan kata pada awal mulanya. Pada mulanya adalah Kata. Dan kata pertama adalah mantera. Maka menulis puisi bagi saya adalah mengembalikan kata kepada mantera.”

Saya mesti juga mengingatkan, pemilihan kata yang ruwet, rumit dan menghalang pembaca mengorek makna puisi tak banyak membantu untuk menarik khalayak pembaca. Menyukarkan khalayak untuk memahami puisi adalah ‘dosa’ yang perlu dielakkan.

Barangkali saya juga harus mengingatkan, Sutardji pernah berkata, “Menulis puisi itu gampang! (Mudah).” Teruskan menulis, sedaya upaya jangan abaikan keindahan bentuk dan makna disamping terus meneroka kreativiti anda, InsyaAllah. Tulis Chairil Anwar, ‘Sekali berarti/ Sudah itu mati...’ Wallahualam.

Hafeziftiqar,
Frankston, VIC, Australia,
27 November 2007.

Tuesday, November 27, 2007

Izrail Tak Pernah Lewat

coffin - Photo Hosted at Buzznet

Ingatkah engkau, akan putih salju
yang merintik atas renik peluh
yang merenik setelah jenuh
berlari
dari Raqib dan Atid?

Kawan, ini bumi asing
yang katamu, pohon-pohon pun
tak mungkin pernah bersyahadah.

Pagi hening, engkau adalah setitik hitam
yang enggan berzikir, waktu ditegur Izrail.
Di setiap penjuru hamparan salji
barisan roh bermuka hitam
membentak
menengking
mengherdik
tersenyap,
waktu kau dipaksa
menyebut nama Tuhan.

Kawan, rupanya,
kita tak mampu berlari.

-------------
Hafeziftiqar,
High St, Frankston,
27 November 2007,

Tentang Keith, Jane, Rudd, Howard, demokrasi, samak dan mamak bendahara (1).

11%20Mud - Photo Hosted at Buzznet


Saya telah beberapa kali membiarkan anjing menjilat kaki dan pakaian saya. Setiap kali itu juga, saya terpaksa menyamak bahagian yang dijilati tersebut. Bukan kerana saya suka anjing, saya terpaksa dan enggan berkasar dengan makhluk Tuhan tersebut. Saya masih ingat, seorang Kaukasia yang berkecil hati waktu kami menghalau anjing kesayangannya. Anjing itu adalah anaknya yang ditatang bagai minyak yang penuh. Di Australia ini begitulah, anjing dianggap satu daripada ahli keluarga. Dan tak dinafikan, kebiasaannya saya akan mengelak daripada terpaksa melayan kerenah anjing.

Saya, semasa bulan-bulan awal di Australia, sangat tegas dalam soal samak menyamak. Kamu boleh kata, tegas tak kena tempat. Kemana sahaja saya pergi, tak kira bersih apatah lagi kotor, alat-alat masak, pinggan mangkuk mesti melalui proses ‘penyahbabian,’ istilah kami untuk samak. Kemudian, daripada kelas-kelas fiqh yang saya hadiri, saya mengetahui, tak perlu alatan-alatan itu disamak kecuali jelas ada kesan kotoran. Pokoknya, kalau tak punya kesan kotoran, kalau kamu suka; bau, rasa, warna, tak usah susah-susah menjalankan proses penyahbabian. Saya masih ingat reaksi orang putih yang ternganga melihat kami membilas puluhan pinggan mangkuk dengan air tanah. Islam sangat praktikal. Malang, selalunya praktikaliti itu tersembunyi di balik kejahilan kita. Begitulah...

Wednesday, November 14, 2007

Singgah

DSC00077 - Photo Hosted at Buzznet

Ada banyak perkara yang mahu saya tulis, tapi masa tak mengizinkan. Saya lemas dalam timbunan teks-teks perubatan. Kali ini, sekadar singgah untuk menitipkan kata-kata Allama Dr Muhammad Iqbal di bawah. Kata-kata yang sangat kuat. Gambar di atas, adalah ketenangan di sebuah teluk sepanjang Mornington Peninsula.
'Tunduk dan berserah diri terhadap keadaaan yang memaksa dan menggagahi, menyerah kepada qada dan qadar adalah karekter orang-orang lemah dan bangkai. Seorang mukmin yang kuat imannya, dirinya sendiri itulah qada Allah yang harus menang dan ia sendirilah qadar Allah yang tidak dapat ditolak itu.' (Dr Muhammad Iqbal)

Monday, November 05, 2007

Maaf, Saya Tak Mahu Jadi Kamu

RUDD FRONT wideweb  470x433,0 - Photo Hosted at Buzznet


Saya cemburu melihat telusnya demokrasi di Australia. Menjelang pertembungan Kevin Rudd dan John Howard tak lama lagi, ketelusan amalan demokrasi ini lebih dirasai. Saya bukan partisan, saya tak peduli siapa pun menang dalam pilihanraya asalkan dasar perjuangan sang pemenang sejajar dengan aspirasi saya. Saya teringat beberapa sesi tutorial bila tutor saya bercerita tentang dasar-dasar John Howard yang tak menguntungkan. “Enough is enough,” kata mereka. John Howard tak lagi boleh dibiarkan berkuasa. Di mana-mana orang bercerita tentang pro serta kontra John Howard dan Kevin Rudd. Kalau di Malaysia, kalau kamu bercerita tentang seseorang dari parti pembangkang sebagai contoh, secara automatik kamu akan dilabel sebagai anjing parti pembangkang. Kamu akan jadi sangat takut, kalau nasib kamu tak baik, kamu mungkin dikenakan ISA atau kamu mungkin ditukar kerja ke kawasan pedalaman. Kalau kamu bercerita tentang keburukan parti pembangkang pula, kamu akan dianggap anjing kerajaan. Kamu juga akan jadi sangat takut, berhadapan dengan ahli taksub parti lawan, kamu mungkin dipanggil kafir atau munafik. Kamu hanya boleh jadi satu antara dua; anjing kerajaan, kamu bercakap tentang keburukan parti lawan dan sentiasa bercakap tentang kebaikan kerajaan atau anjing pembangkang, kamu bercakap tentang jeleknya kerajaan dan betapa bagusnya parti pembangkang. Kedua-duanya pun, kamu masih anjing!

Di Malaysia, menjadi seorang taksub adalah amalan biasa. Seorang taksub tak peduli apa jadi dalam tubuh partinya. Biar partinya busuk membangkai, dia tak langsung peduli untuk membersihkan partinya. Pokoknya, bangkai itu adalah sebahagian daripada partinya. Katakan ada dua parti, Parti Melayu Segak Bergaya (PMSB) dan Parti Islam Bukan Syiah (PIBS). Sekali kamu menyokong PMSB, sampai mati kamu menyokong PMSB. Kamu tak peduli tentang korupsi atau apa, persetankan, kalau kamu tahu pun, kamu tak akan bangkit menegur. Begitu juga kalau kamu penyokong PIBS, sekali PIBS, sampai ke kubur PIBS. Kamu tak peduli kalau ada penyelewengan prinsip dalam parti kamu, kamu tak sanggup bangun menentang pun. Berdiam diri, kamu berharap, kejelekan itu tak diketahui parti lawan.

Saya pernah melihat ketaksuban ini pada tahun 1990. Di sebuah kampong, pertembungan pembangkang dan kerajaan tak terelakkan lagi. Saya masih ingat, sewaktu pemuda-pemuda Semangat 46 dan pembangkang yang lain menebang pintu gerbang yang dibina pemuda UMNO. Orang Melayu berparang sesama sendiri. Ketaksuban rupanya boleh menukar keamanan menjadi perang saudara. Hari ini, Semangat 46 sudah jadi sejarah, tapi ketaksuban masih ada dalam diri kamu. Saya bukanlah aktivis demokrasi. Maaf, saya cuma tak mahu menjadi kamu, seorang taksub yang tak boleh berfikir lantaran ketaksuban yang kukuh menguasai.