Sunday, October 28, 2007

Ahmed Kurdish, Gadis Melayu dan Erdogan

turkey flag - Photo Hosted at Buzznet


Saya mengenali beliau waktu mengikuti kelas Bulugh Al-Maram di markas Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Daftar nama dalam telefon bimbit saya, Ahmed Kurdish merujuk kepada beliau. Beliau bercerita tentang seksanya hidup di Iraq yang memaksanya lari ke Australia. Sebelum sampai ke Australia, beliau berkelana secara tidak sah di Malaysia. Ada sebuah keluarga yang simpati menumpangkan beliau di rumah buat beberapa bulan. Kata beliau, dia suka sopan santun masyarakat Melayu. Katanya, dia tidak pernah bertemu gadis sesopan gadis-gadis Melayu. Dengan nada berseloroh, dia berharap, Tuhan menjodohkannya dengan gadis Melayu.

Saya tak tahu apa perasaan beliau bila mendapat berita yang Turki sudah siap menyerang puak Kurdish yang memberontak di sempadan Turki-Iraq. Menjadi seorang Kurdish barangkali suatu ujian buat beliau. Beliau menunjukkan parut yang merentangi dahi beliau, katanya, diseksa polis Parti Baath Saddam Hussein. Barangkali akan ada ahli keluarganya yang akan menjadi korban peluru tentera Turki. Tayyip Erdogan yang menurut ramai orang sinar harapan Islam di sebalik pekat sekular Turki sudah bertegas mengambil tindakan ketenteraan terhadap pemberontak Kurdish. Saya tak pasti, Erdogan berbangga atau tidak dengan keperwiraan Salahuddin Al-Ayubi, seorang Kurdish yang terkenal merebut kembali Al-Aqsa dari tangan tentera salib. Itu sebab saya sangat curiga dengan politikus. Kebanyakan politikus adalah sekelompok manusia yang sanggup memperkudakan apa sahaja demi politik. Di negara saya sebagai contoh, bukan lagi rahsia yang Parti Islam adalah sarang tempat membiaknya Syiah. Logik di sebalik ini, politikus mesti memperkudakan apa sahaja peluang untuk kepentingan politik. Erdogan juga seorang politikus. Saya memang berharap, Erdogan bukan seperti politikus-politikus lain. Dalam apa-apa peperangan, yang menderita selalunya orang awam. Dan saya pasti, teman saya, Ahmed Kurdish akan bersedih…

Thursday, October 25, 2007

Katakan Kamu Seekor Katak

frog - Photo Hosted at Buzznet

Kamu seekor katak. Kamu selesa sendirian di bawah tempurung. Seekor katak seperti kamu tidak pernah tahu tentang adanya ungkapan ignorance is a bliss. Tak tahu apa-apa adalah rahmat buat kamu dan memang itu pun tabiat kamu. Selesa dengan dunia sendiri. Dan bagaimana dengan Tuhan yang berjanji mengangkat martabat orang berilmu? Maaf, katak seperti kamu tak memahami. Barangkali kamu ingin melihat ke luar tempurung kamu sekarang? Sudah pasti kamu enggan. Untuk pengetahuan kamu, tempurung kamu letak di tengah laluan artileri tentera Turki yang sedang menabrak sempadan Iraq memburu pejuang pemisah Kurdis. Nanti, bila kamu sudah mati dihenyak kenderaan tentera yang ratusan itu, sampaikan salam saya kepada Salahuddin Al-Ayubi. Katakan kepada beliau, bangsanya sedang diburu oleh saudara seagama. Katakan juga, Palestin, sejak 1948 sudah hampir semuanya dijajah Zionis. Maaf kerana membebankan kamu, seekor katak, dengan maklumat-maklumat berat ini.

Memoir Budak Kampung 2 - 8 (Catatan Santai)

me kecik - Photo Hosted at Buzznet

Memoir Budak Kampung 2: Kampung Gerik - Lembu Berak dan Lembu Beranak.

“Lembu berak, lembu berak!” Gelanggang tempat kami bermain tuju tin jadi kelam kabut dengan kerenah kawan saya yang teruja dengan lembu yang sedang berak. Saya jadi hairan, apa yang pelik dengan lembu yang sedang berak? Sepanjang jalan masuk menuju ke Kampong Gerik penuh dengan tompokan tahi lembu segar juga kering. Saya tidak hairan dengan berak lembu atau lembu yang sedang berak. Tetapi teman-teman saya sudah berpusu-pusu meninggalkan gelanggang tuju tin dan berkumpul di sekeliling seekor lembu yang tampak mahu menangis di bawah pohon keranji.

Saya menyelit di antara teman-teman yang asyik menyaksikan lembu berak. Jelas di bahagian belakang lembu itu terjulur kaki kecil yang mahu keluar dari tubuh lembu besar itu. Saya berjalan perlahan ke arah teman yang terkocoh-kocoh tadi. “Itu bukan beraklah! Itu beranak!” Kata saya menyekeh dia yang melopong menyaksikan ‘lembu berak’.

Memoir Budak Kampung 3: Kampung Gerik – Lubuk Biawak dan Nampak Punggung

Saya suka Lubuk Biawak. Airnya jernih dan dalam, tempat kami berenang dan menyelam. Main police and thief menambahkan keterujaan saya terhadap Lubuk Biawak. Polis sentri menurut panggilan kami dahulu. “Polis sentri, one two jaga, polis mati pencuri jaga,” begitu yang akan kami nyanyikan bersama bagi menentukan siapa yang akan menjadi pencuri dan siapa yang akan menjadi polis. Pokok rumbia yang tumbang merentasi Lubuk Biawak adalah pangkalan polis tempat pencuri ‘dipenjara’.

Ada satu lagi yang mengujakan bila berbicara tentang Lubuk Biawak. Kami gemar menyelam dan melondehkan seluar kawan-kawan. Itu hiburan yang tiada tolok bandingnya buat kami. Kawan yang dilondehkan seluar terpaksa merayu supaya seluar dikembalikan. Untung saya tidak pernah dilondehkan seluar kerana saya tidak pernah lupa mengikat ketat seluar mandi sebelum terjun ke dalam Lubuk Biawak. Kadang-kadang seluar itu kami letak saja di daratan buat memaksa teman yang menjadi mangsa naik sendiri mengambil seluarnya. “Eeeee.... Tak malu! Tak malu! Nampak punggung! Nampak punggung!” Kata kami bersama-sama bila teman itu terkedek-kedek berlari menutup anunya yang di depan untuk mendapatkan kembali seluarnya. Sekarang Lubuk Biawak sudah tiada, ia hanya ada dalam memori kami.

Memoir Budak Kampung 4: Kampung Gerik – Lubuk Labi-labi dan Rakit

Lubuk Labi-labi adalah lubuk kedua yang terkenal di kalangan kami. Airnya lebih tenang daripada Lubuk Biawak. Sering saya nampak labi-labi dan lintah berenang-renang dalam tenang air lubuk itu. “Mu tak takut labi-labi?” Tanya kawan saya. “Kenapa?” Tanya saya. “Mak aku cakap, kalau dia gigit mu, bunyi guruh baru dia lepas!” Katanya bersemangat. “Tak apa, nanti kita pukul tin minyak cap ikan gurami dekat telinga labi-labi, nanti dia ingat guruh, labi-labi otak kecik,” kata saya.

Saya dan teman yang itu ada membina rakit di Lubuk Labi-labi. Rakit itu dibina kami dari batang pisang liar di pinggiran sungai. Seronok betul saya berakit di lubuk itu. Suatu hari, hujan lebat betul. Beberapa hari berikutnya, selepas air sungai kembali jernih, kami dapati rakit kami sudah hilang dibawa arus. “Habis rakit kita, dah belayar ke laut....” Lubuk Labi-labi menerima nasib yang sama seperti Lubuk Biawak. Airnya sudah cetek, saya sudah tidak nampak lagi labi-labi yang berenang. Tapi lintah masih ada. Masih ingatkah lintah akan rasa darah saya? Mungkin juga itu cucu cicit lintah yang pernah menghisap darah saya dulu.

Memoir Budak Kampung 5: Kampung Gerik – Cakpelong dan Babi Hutan.

Sewaktu di asrama penuh, kawan-kawan sering mengusik saya, “Budak hulu, balik kampong naik gajah!” Di kampong saya, ada banyak haiwan liar. Saya sering berbasikal ke Kem Tentera 304 yang pada masa itu mempunyai kandang kecil yang dihuni oleh seekor anak beruang matahari. Saya gemar melihat anak beruang itu bergerak aktif di dalam sangkar.

Kampong saya penuh dengan babi hutan. Ada antara teman saya yang pecaya bahawa makanan kegemaran babi hutan adalah anak-anak kecil seperti kami. Entah siapa yang menipu dia supaya takut untuk bermain di hutan. Kami gemar ‘berperang’ di hutan. Senjata kami ialah ‘cakplong’, batang buluh kecil yang kami gergaji buang bukunya. Kami ketuk masuk buah ceremai ke dalam ruas buluh yang kosong. Buah ceremai itu kami tujah sekuat hati dengan buluh yang diraut supaya boleh meluru keluar seperti peluru. “Cakplong!” Bunyi buah ceremai meluru keluar meninggalkan senjata buluh kami. Kalau terkena, sakitnya boleh membuatkan kamu menggeliat.

Kadang kala ada kawan-kawan yang terserempak dengan babi hutan. “Babi! Babi! Lari!” Kami kelam kabut lari meredah hutan getah meninggalkan kubu perang kami. Saya takut disondol babi hutan. Ada kawan-kawan yang takut dimakan babi hutan.

Memoir Budak Kampung 6: Kampung Gerik – Ciak Padi dan Ubi Kayu

Saya gemar duduk di pondok di tengah sawah padi. Musim padi masak adalah musim yang paling saya suka. Kami anak-anak kampong akan merentang pukat memerangkap burung ciak padi yang akan terbang berkumpulan bila terkejut dijerkah petani. Burung-burung itu ada yang disembelih makan, sementara saya gemar membela ciak padi di dalam sangkar besar yang dibuat ayah saya. Sekarang sawah padi sudah tiada lagi, sawah telah mati bersama pemiliknya yang telah lama meninggal dunia.

Pagi sungguh indah di Kampung Gerik. Waktu saya kecil, masih boleh didengari pekikan ungka. Selain ungka, kata orang, harimau pun turut menghuni hutan kampung kami. Tapi saya tak pernah dengar orang dibaham harimau, yang pernah saya lihat ialah seekor ular sawa yang kekenyangan selepas membaham kambing. Itu menjadi buah mulut kami berminggu-minggu.

Makanan kegemaran saya ialah laksa utara. Kata orang, makanan kegemaran harimau adalah babi hutan. Saya sering melihat pemburu cina masuk ke kampung kami dengan senapang patah kemudian keluar dengan babi hutan yang telah arwah. Saya benci babi hutan sebab mereka sering membantai ubi kayu di kebun keluarga saya. Pernah saya dan teman saya terserempak dengan ubi kayu yang sungguh besar lalu bercita-cita untuk merebus ubi kayu itu buat dinikmati dengan gula merah. Beberapa hari selepas itu, kami dapati ubi kayu itu sudah rompong dimakan babi hutan. “Kurang ajar punya babi hutan!” marah teman saya....

Memoir Budak Kampung 7: kampung Gerik - Sunat dan Yaakob Debong.

“Dah khatan dah?” Tanya orang-orang tua bila saya cuba menyelit masuk ke saf paling depan surau Kampong Gerik. “Khatan tu apa?” Tanya saya. “Kerat pelir!” Jawab orang tua itu lalu menyuruh saya duduk di saf belakang bila saya menjawab yang saya belum bersunat. Orang kampung memang begitu, walau pun tidak ada nas sahih yang melarang kanak-kanak duduk satu saf dengan orang dewasa.

Saya selalu melihat kawan-kawan saya direndamkan di dalam sungai sebelum dikerat anunya oleh tok mudim. Ada juga yang dimandikan dengan paip bomba. Bila mereka sudah menggeletar, mereka akan diangkat oleh Yaakob Debong yang memang kami kaitkan dengan upacara mengerat anu. Yaakob Debong akan mengangkat mereka lalu diletakkan di atas batang pisang di hadapan tok mudim. Yaakob Debong berbadan sasa, berjambang putih. Tangannya berbulu putih lebat. Itu sebab ada kawan-kawan saya yang memanggilnya gorila.

Yaakob Debong itu seperti hantu bagi kami anak-anak Kampong Gerik. “Pergilah main di sawah tu, nanti Yaakob Debong datang!” Begitu antara amaran yang sering kami terima dari ibu bapa.

“Lari, lari, Yaakob Debong! Yaakob Debong!” Kami menjerit bila Yaakob Debong bermotosikal di jalan kampong. Ada antara kami yang menyorok dalam relung terusan sawah, ada yang memanjat pokok jambu dan ada yang lari masuk ke dalam rumah. “Mu buat gapo tu?” Jerit Yaakob Debong kepada kami yang tidak sempat lari. Kami diam enggan menjawab. “Main lecah! Kerat pelir!” Jerkah Yaakob Debong. Ada yang menangis. Ada yang berlari seperti terserempak gorila. Saya tak pasti Yaakob Debong masih hidup atau tidak, kalau dia telah kembali ke rahmatullah, saya doakan rohnya berbahagia di alam lain.

Memoir Budak Kampung 8: Kampung Gerik - Ikan Kareng, Maafkan Aku

Sewaktu saya kecil dahulu, saya kerap kali menangkap ikan laga di sawah yang kami gelar ikan kareng. Caranya mudah, letakkan tin kosong di dalam petak sawah yang berair, esok atau lusa saya akan periksa sama ada ikan kareng sudah berumah di dalam tin itu atau tidak. Ikan kareng yang berkilat sisiknya menjadi kegemaran saya untuk diusung ke gelanggang sabung yang sering kali meyaksikan pertembungan antara ikan kareng saya dan ikan kareng milik rakan-rakan sekampung. Kebiasaannya, ikan itu akan kami lagakan sampai salah seekor meninggal dunia atau cedera parah seperti tercabut sisik, buta mata sehingga tidak lagi mampu melihat jalan di dunia buat mencari rezeki untuk anak bini, atau lain-lain trauma seperti mengalami buasir (berak berdarah), keguguran (bagi ikan kareng betina yang kadang-kadang diusung juga ke gelanggang sabung) dan pelbagai lagi yang usahlah saya sebut bagi mengelakkan saudara saudari yang budiman tidak lalu makan.

Kalau diberi peluang, saya ingin berpatah balik antara tahun 1990 dan 1994 supaya saya boleh meminta maaf kepada ikan-ikan yang telah saya ambil kebahagiaan hidupnya itu. Ikan kareng, maafkanlah segala salah silapku.....

Monday, October 22, 2007

Memoir Budak Kampung 1 - 8 (Catatan Santai 1: Terowong dan Hantu)

DSC03413 - Photo Hosted at Buzznet

Saya jadi teruja mencatat pengalaman-pengalaman masa kecil yang masih diingati saya setelah mula membaca dua buah autobiografi Sasterawan Negara Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad. Kalaulah saya punya masa depan dalam sastera tanah air, tak lain tak bukan, saya mahu seberani beliau. Memoir saya ini merupakan catatan santai. Ada sesetengah pengalaman ini malah mempengaruhi penulisan saya sehingga jalan cerita kelihatan natural tanpa dipaksa-paksa. Karya cuba-cuba saya yang pertama, Anak Pungut dan beberapa karya lain jelas dipengaruhi masa silam saya. Maaf, kalau ada yang kurang senang dengan memoir ini atau menganggapnya catatan lewah kerana saya harus menyalin masa lepas ke sini tanpa tapis-tapis buat rekod saya sendiri. InsyaAllah, bila saya senang sedikit saya akan menulis resensi dua autobiografi ini.
Memoir Budak Kampung 1: Kampung Gerik [1984-1994] – Terowong dan Hantu.
Umur saya masih sekitar enam tahun. Waktu itu saya punya cita-cita untuk menggali terowong dari Gerik ke Ipoh. Seperti tikus mondok, saya menggali lubang di lereng bukit yang memisahkan dusun keluarga saya dengan kawasan tanaman getah komersial. Kawasan itu gelap betul. Saya takut, jadi saya terpaksa merekrut beberapa teman untuk turut serta dalam projek gila saya. “Mak aku kata, belakang tu ada hantu,” kata seorang teman saya. “Hang ni penakut! Tak ada telur ke?” Gertak saya. Teman saya lekas-lekas melondehkan seluar hingga ke paras lutut. “Ada,” katanya sambil menunjukkan anunya yang dua itu kepada saya. “Ok, ok,” kata saya. Dia dan beberapa teman lagi akhirnya bersetuju menggali terowong bersama saya.

“Nanti dah siap, siapa nak guna kena bayar tol, kaya oooo,” waktu itu saya berideologi seperti Samy Veloo. Terowong yang saya dan teman-teman gali dengan parang itu panjangnya tak sampai satu meter. Kami berhenti separuh jalan, oh, tak sampai separuh pun. Banyak sebab, antara lain kerana teman-teman saya menjadi sangat takut melihat kelawar berterbangan di kawasan itu menjelang senja. “Nanti depa jadi pontianak, sedut darah hang, padan muka hang,” Kata teman saya. “Sedut darah hang laaaa, hang montel, banyak darah,” balas saya. “Aku gerenti selamat, aku hitam, kelawar tak nampak,” balas teman yang satu lagi. Sekarang ini, kalau saya ke dusun itu, melihat lekuk di muka tebing, saya tersenyum sendiri. Itu projek terowong terbengkalai!

Tuesday, October 09, 2007

Hari Kemenangan

Di Malaysia, raya dan mati seperti isi dan kuku. Kepada sesiapa yang akan meninggal dunia dalam masa terdekat, saya doakan semoga roh kalian menemui Allah dalam keadaan baik. Selamat memulakan hidup baru di alam barzakh. Kadang-kadang saya terfikir, berapa ramai yang akan menziarahi jenazah saya dan mendoakan saya bila saya mati kelak. Besar harapan saya, semoga Allah mengasihani dan memelihara roh saya. Maaf zahir batin, kalau tidak ketemu lagi, terima kasih saya ucapkan kerana sudi membaca tulisan-tulisan saya.