Friday, August 31, 2007

Merdeka Adalah Nasi

Photo Hosted at Buzznet


Kemerdekaan adalah nasi
Dimakan jadi tahi

Wiji Thukul (1963 - hilang 1998)
Puisi "Kemerdekaan"
Agustus 1982.
Wiji Thukul adalah susuk yang tidak letih mengkritik korupsi kerajaan. Kegigihannya sampai dia dihalalkan pemerintah buat dijadikan mangsa pembantaian di bawah Orde Baru, ya Orde Baru yang berdiri di atas jutaan nyawa rakyat. Rakyat-rakyat yang layak mati kerana menentang kediktatoran Suharto. Wiji Thukul itu bukanlah tokoh yang menentang dengan keganasan. Puisi adalah buluh runcing buat dia melawan ketidakadilan. Di bawah pemerintahan Suharto, ratusan oposisi yang enggan menjadi anjing hilang tanpa dapat dikesan. Kebanyakannya diculik dan kemudian dibunuh lalu dikuburkan entah di mana-mana. Di awal 80-an, dalam usaha Suharto menguatkan cengkaman kuku besi, kasus ‘petrus’ (penembak misterius) jadi berleluasa. Memaksakan rakyat menjadi pak turut adalah rukun iman buat seorang diktator. Tiga puluh tahun lamanya, akhirnya kerusi kekuasaan Suharto berantakan pada tahun 1998 ditabrak kebangkitan mahasiswa.
Suharto tidak sendirian dalam senarai pemimpin jahat Asia Tenggara. Marcos di Filipina tidak kurang jahatnya dibandingkan dengan Suharto. ‘Martial Law 1972’ adalah undang-undang neraka buat menghalalkan pembantaian golongan aktivis di Filipina. Ratusan orang diculik, diseksa dan dihantar ke alam barzakh. Kebangkitan mahasiswa berlaku lebih awal di Manila. Puluhan ribu mahasiswa bangkit membikin Marcos panasaran di awal 1970 dan sejak itu Marcos tidak pernah lagi lena di Istana Malacanang. ‘People Power Movement 1986’ telah menyaksikan Marcos diusir ke Hawaii dan akhirnya mati di sana.
Memaksa rakyat menjadi anjing adalah rukun iman seorang diktator. Rakyat dipaksa senyap, sesiapa yang enggan akan diugut dengan segala macam seksaan. Kebebasan bersuara adalah slogan di atas tisu tandas yang sekejap-sekejap digunakan buat mengesat punggung.
suara-suara itu tak bisa dipenjarakan
di sana bersemayam kemerdekaan
apabila engkau memaksa diam
aku siapkan untukmu: pemberontakan!
-Wiji Thukul-
Di Malaysia, dua susuk yang dikenali hatta oleh penoreh getah di kampung-kampung ialah Mahathir dan Anwar Ibrahim. Mahathir, ketika masih seorang pelajar telah mula menyertai gerakan Anti-Malayan Union sekitar tahun 1945-1946. Dia malah menjadi penulis yang tekun menulis tentang Melayu di bawah nama samaran C.H.E Det buat dihantar ke Sunday Times. Malay Dilemma yang merupakan kompilasi pemikiran Mahathir adalah buku yang diharamkan di Malaysia untuk sekian lama.Lucu, AUKU itu digubal Mahathir selepas Anwar si aktivis pelajar dan rakan-rakan berkampung di Baling membela nasib petani-petani miskin. Mahathir waktu itu adalah ketam yang mengajar Anwar berjalan betul! Menurut dongeng, AUKU digubal supaya pelajar khusyuk belajar dan berjaya dengan cemerlangnya di alam universiti. Lalu apa buktinya? Pasca AUKU, cemerlangkah? Malah kedudukan UM jatuh dalam senarai universiti terbaik dunia. Mahasiswa sepatutnya kritis bukan penakut kerana mereka bakal menjadi raksasa di masa hadapan. Sekarang, mahasiswa bodoh isu semasa tetapi kreatif dalam soal remeh seperti berkasih-kasihan. Terima kasih kepada semua sarana yang telah memperbodohkan mahasiswa termasuk AUKU. Kini mengkritik untuk kebaikan kerajaan secara ilmiah dan sopan adalah dosa yang layak dihukum. Kebebasan bersuara, di banyak negara bukanlah termasuk dalam definisi merdeka sedangkan kritikan membina itu wajib buat sesiapa yang mahu maju. Lalu, apakah yang kita belajar daripada sejarah menuntut kemerdekaan? Satu hakikat tentang sejarah; manusia tidak pernah belajar daripada sejarah.

Kemerdekaan
mengajarkan aku berbahasa
membangun kata-kata
dan mengucapkan kepentingan
kemerdekaan
mengajar aku menuntut
dan menulis surat selebaran
kemerdekaanlah
yang membongkar kuburan ketakutan
dan menunjukkan jalan
kemerdekaan
adalah gerakan
yang tak terpatahkan
kemerdekaan
selalu di garis depan
-Wiji Thukul-

Ah! Sekarang, di banyak negara yang mengaku merdeka, berleluasa pemimpin-pemimpin gila dengan Orde Baru!

sebelum malam mengucap selamat malam
sebelum tidur mengucapkan selamat datang
aku mengucap kepada hidup yang jelata
m e r d e k a !
-Wiji Thukul-

Salam merdeka ke 50. Dan masihkah kita bernafas sebagai manusia merdeka di bumi tercinta? Kecintaan kita mewajibkan kita mempersoalkan apa saja yang bisa merosakkan agama, bangsa dan negara ini. Kenapa saya perlu menulis? Tulis Goenawan Mohamad; menulis berita yang benar adalah sebuah ikhtiar menjaga agar manusia tetap jadi manusia, bukan anjing. Saya akhiri catatan eceran ini dengan petikan puisi ‘Negeri Ini, Anak’ yang ditulis oleh Marsli NO.
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.
Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.
Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
-Marsli NO-
Wallahualam, salam hormat daripada saya;
3.10 AM. 31 Agustus 2007,
Frankston, VIC, Australia.

Saturday, August 25, 2007

Cinta Seperti Mengorek...

Photo Hosted at Buzznet

Cinta seperti mengorek punggung. Maaf untuk kata yang provokatif. Ini kisah seorang anak di sebuah sekolah elit. Di kalangan teman-teman, sudah membumi usikan ‘korek-korek cium’ untuk susuk yang aneh itu. Anak aneh itu punya tabiat yang luar biasa jijik. Begini, baik di hadapan khalayak atau tanpa orang yang mengelilinginya, dia sekejap-sekejap akan mengorek punggung dan seusai puas melakukan perbuatan itu, segera pula dia menghidu tangannya yang berbau tahi. Saya tak pasti yang dihidu itu aroma tahi atau aroma punggung kerana tak pernah pula saya menghulurkan hidung saya buat mencium tangannya itu. Malah kalau diberi makan percuma atas kesanggupan mencium aroma itu pun saya bersumpah tidak akan menciumnya. “Korek-korek, cium! Jijik! Korek-korek, cium.” Perli kawan-kawan, tapi apa peduli, anak itu mesti melampiaskan giannya terhadap bau punggung.

Cinta seperti mengorek punggung. Pokoknya, biar pun perbuatan itu jijik, tapi anak itu sudah ketagihan. Cinta kebanyakan anak-anak remaja kini begitulah. Ibarat susuk aneh itu dengan ketagihan mengorek punggung; kejijikan yang kaya dengan keasyikan.

Terlalu!

Photo Hosted at Buzznet

'… menulis berita yang benar adalah sebuah ikhtiar menjaga agar manusia tetap jadi manusia, bukan anjing …'

'… salah satu doktrin birokrasi ialah berusahalah tak berpikir …'

'… orang ingin merdeka karena ia tahu apa artinya tidak merdeka …'

'… di negeri yang malang, seseorang yang memilih menjadi manusia akan tampak seperti malaikat …'

**Kata-kata di atas ditulis oleh penulis Indonesia, Bapak Goenawan Mohamad. Telah saya susun buat menggambarkan pandangan saya tentang sebuah peristiwa di sebuah negara.

Thursday, August 23, 2007

Menjadi Bohemian

Photo Hosted at Buzznet

Menjadi Bohemian

Dia mengirai kusut rambut, laung;
Malam, sekarang kita bermusuh!
Saat syukur dia tebarkan pada segar pagi,
kawanan syaitan teresak kecewa,
weehu... weehu... weehu...

Mentari saat itu adalah racik-racik cahaya
menyatu berkudeta di ufuk timur,
diranduk titis embun yang tidur,
terang tanah ini, dia harus segera
memberi salam pada gerombolan malaikat.

Saat jidat menyatu dengan renta madrasah,
damai pagi adalah kebisingan dunia, taat,
puji-puji terbang sebagai kawanan burung
menjuju laju ke Arasy Tuhan,
pada penjuru yang tak terkirakan
bongkak syaitan berserpih, teresak,
weehu... weehu... weehu...

Subuh itu,
dia bohemian yang ralit mengecat kanvas pagi
buat dihadiahkan kepada Tuhan,
dan para syaitan yang iri, tersedu,
weehu... weehu... weehu...

Waktu mentari menampakkan kemenangan,
dia bohemian yang berdiri
berani menjerkah mentari.

Hafeziftiqar, Frankston, 12.12 am.
Selasa, 21 Ogos 2007.

Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh, lalu para malaikat pada malam hari naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat’” (Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra.)

Sunday, August 19, 2007

That Morning

Photo Hosted at Buzznet


She was a young and lovely woman, so young to be suspected of having a deadly disease. She was waiting for her test results anxiously on that morning. On the previous day, she had gone through various tests to investigate the cause of her unresolved fever. “I’ve had it since a few months ago. It’s on and off, doesn’t seem that it’s going to go away,” she said when I asked her about the fever.

The medical team had already surrounded her. She looked from face to face. Then she gave us a warm smile when the consultant started to open her file. “I’m sorry to tell you this, you have Acute Myeloid Leukaemia. It’s already in the end stage and nothing much that we can do.” She stopped smiling. There was silence and nobody moved. Not even a single word came from her mouth. We all waited. Suddenly she burst into tears. “Am I going to die?” she asked. “I’m sorry there is nothing much that we can do,” the consultant replied.

We stood around her while she cried. It took about five minutes before she was able to calm herself a bit. She brushed away the remaining tears at the corners of her eyes and looked at us again. “It’s alright, I’ll use my remaining life to the fullest.” She tried to smile at us from her sadness. We moved to the next patient, leaving her there. Sometimes, there is nothing much that we can do and we have to leave things to God. Wallahua’lam.

Friday, August 17, 2007

Puisi Sains

Photo Hosted at Buzznet

Myeloid Leukemia Akut (Acute Myeloid Leukemia)
Puisi ini ditulis untuk komunitas sastera sains esastera.com.


Sumsum menjadi enggan tunduk pada aturan
dan seorang Adam umat darah,
yang diasuh sumsum yang enggan
mahu segera menjelmakan Qabil dan Habil,
beribu, berjuta; dan bukankah sejarah adalah roda?
lalu Qabil mengkhianati Habil
anarki dari hujung ke hujung.

Kusut tak akan mahu dibiarkan musuh
mereka adalah bakteria, virus dan kroni
yang ghairah mengintai peluang.

Habil tak mahu lagi belajar dari gagak
Qabil yang mati di mana-mana:
- kekurangan darah merah
- infeksi Gram negatif
- pendarahan
- darah beku tak bertempat
- tulang yang ngilu
- sistem saraf yang derita
- hati yang membengkak
- limpa yang membesar
- demam yang kerap
- penat yang menyekat
Habil lantas menjadi panasaran.
Ah! Ini adalah kiamat.
Nah, Habil! Di ubun-ubun,
berdiri seorang maut.

Hafeziftiqar, Frankston,
15 Ogos 07, 9.55 PM.

Rujukan: Oxford Handbook Of Clinical Medicine (6th edition)
Nota kaki: Seksanya nak terjemah ke Bahasa Melayu.

Wednesday, August 15, 2007

Bung! Kita Senyawa

Photo Hosted at Buzznet

Bung! Kita Senyawa
Sempena Proklamasi Merdeka Indonesia (17 Agustus 1945) dan Merdeka Malaysia (31 Ogos 1957)


Dapatku lihat mentari yang ketawa
katanya: Ayuh! Berkicau… kamukan burung.
Dan aku mulai meniti awan gemawan
mengumpul piuh-piuh sinar mentari
sambil berzikir dengan kicau paling galak.

Dari piuh-piuh sinar pagi
aku anyam sebidang negara.
Timur dan baratnya
adalah aku yang bebas.
Utara dan selatannya
adalah aku yang merdeka.

Dan berlarilah aku dari hujung ke hujung.
Rupanya, landai sebuah negara
adalah jajaran marhaen yang dihenyak.
Mereka ketumbukan yang enggan rebah
di atas ketar kaki, mereka berdiri sebagai harapan.

Di puncak gunung sebidang negara
ketika mentari sudah tidak mahu ketawa
berdiri seorang dia, dan marhaen pun berteriak;
Bung! Kita senyawa!

Waktu malam mulai sombong
di atas sejadah yang akrab dengan lantai hitam
aku bukan lagi seekor burung;
aku, seorang marhaen yang menangis.

Hafeziftiqar, Frankston, VIC,
15 Agustus 2007, 8:23 PM.

Sunday, August 12, 2007

Vonis

Photo Hosted at Buzznet
Vonis
(Selamat tinggal makcik dengan Acute Myeloid Leukemia)


Emak…
Kata doktor tadi vonis maha berat
Mengusung keranda ke laman bahagia kita
Waktu itu juga kita menjadi kecoak,
berlari ke seantero bucu
menjenguk sisi bahagia
yang kita batasi dalam taman hati
yang kita pagari dalam dusun jiwa.

Kita, dua kecoak yang berlari kudung
Menyusuri lorong paling gelap episod kita
hangat pelukanmu pun masih berbekas
jernih air matamu pun masih basah
menitis dari lelangit silam
daerah yang kita lewati berpimpinan tangan.

Emak...
Kita wajib menangis
air mata ini buat memberitahu dunia
kasih kita tugu yang tegar
tegak walau diusik kiamat.

Emak...
Kita wajib menangis
barangkali dengan titis air mata ini
kita bisa memujuk Tuhan....


Hafeziftiqar,
Frankston Hospital,
Ahad, 12 Ogos 2007, 1:58 PM,
Australia.

Glosari
Vonis: hukuman
Kecoak: lipas

Saturday, August 11, 2007

Gerabak Sejarah

Photo Hosted at Buzznet

Gerabak Sejarah

Darah datuk yang kering tercagar membeli merdeka
Juga himpunan tulang ayah yang membukit membangunkan nusa
Adalah derita yang tak dihargai anak-anak
Adalah bahagia yang tak disyukuri cucu
Adalah ketabahan yang tak disanjung cicit.

Anak, cucu, cicit itu si buta yang meraba dalam gelap gerabak sejarah
Yang tidak tahu lagi mencari letak rasionaliti
Dalam gerabak yang gelap itu
Mereka segera melupakan identiti sendiri.

Gelap itu tak langsung menghalang mereka
Melolong dan memekik dalam keramahan yang jelek
Berlumba menjadikan jasa datuk dan ayah
Takaran buat hedonisme.

Sejarah adalah gerabak,
Rodanya sering digugah masa,
Tuhan, kalau Kau hanya mahu mendengar satu rintihku
Gerabak itu Kau selamatkan segera,
Kerana ia melaju menghantar kami ke daerah syaitan.


Leeds-Frankston
11 Augustus 07,
9 P.M. (Melbourne).

*Sahabat, semoga perjalanan dipermudahkan Allah.

Simptom

Simptom yang saya alami sekarang; makan tak kenyang, mandi tak basah. Sebab? Bukan sebab cinta! Mengarut! Habis? Sebab semakin banyak saya tahu, semakin banyak saya tak tahu. Semoga Allah terus-terusan memberikan ilmu yang bermanfaat untuk kita.

Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW, sabdanya:

"Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya) ... (Syarah hadith: Dr Abdullah Yasin)

Email Kakak.

Thursday, August 09, 2007

Antologi Cerpen Jalan Jauh ke Ramallah

Photo Hosted at Buzznet

Sudah terbit! Untuk maklumat lanjut sila ke laman GKLN (Grup Karyawan Luar Negara)

Tuesday, August 07, 2007

Cinta Adalah Sekelompok Tahi

Photo Hosted at Buzznet

Cinta Adalah Sekelompok Tahi

Dia terbongkok-bongkok di hadapan saya. Asyik dan khusyuk. Dalam keadaan begitu, saya pasti dia tidak mahu diganggu. Saya menjadi hairan melihat dia mengutip setompok demi setompok tahi kering yang berjajaran di tepi jalan raya. Tidak seberapa jauh dari tempat kami berada, ada satu papan tanda besar tertulis di atasnya, ‘Jalan Menuju Kejayaan.’ Saya sepatutnya ke sana, menelusuri jalan menuju kejayaan, kata orang, saya perlu mengutip seberapa banyak ilmu dan pengalaman untuk ke sana. Tapi sekarang saya terhenti disebabkan hairan melihat dia yang saya kira umurnya sekitar hujung belasan tahun atau awal dua puluhan. Tangan kanannya mengelek raga berbentuk hati. Tangan kirinya digunakan khusus mengutip tahi yang berbaris di sisi bahu jalan.

“Oi! Apsal ko kutip tahi?” Tanya saya penuh minat.
“Tengok betul-betul! Ini bukan tahi! Ini cinta!” Katanya separuh memekik, ada menyampah di hujung nada.

Masakan! Saya sudah berumur 23 tahun. Tidak mungkin saya tidak mengenali mana satu tahi dan mana satu bukan. Matahari sudah meninggi. Saya semakin jijik melihat tahi yang sudah pepak dalam bakul berbentuk hati. Pagi itu, saya mengetahui bahawa cinta adalah sekelompok tahi.

“Oi! Aku nak gerak dulu!” Jerit saya.

“Pergilah! Jangan kacau aku, aku tengah kutip cinta!” Dia membalas.

“Oi! Selamat kutip tahi!” Tempik saya.

“Ini bukan tahi! Ini cinta!” Dia bertempik dengan nada marah. Kali ini dia geram betul lalu dibalingnya setompok cinta, bukan, setompok tahi. Saya mengelak.
Saya terus berlari menyusuri jalan yang panjang itu meninggalkan dia yang khusyuk mengutip setompok demi setompok deretan tahi buat memenuhi bakul berbentuk hati. Pun begitu, saya masih percaya dia salah mendefinisikan cinta. Cinta sepatutnya putih dan bersih. Cinta bukanlah kawanan tahi yang busuk lagi membusukkan. Apa-apalah.... 'Selamat mengutip tahi,' bisik saya, lirih.

Maaf dan Pembetulan

RALAT


Hadith : "Pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma‘azif (alat bunyi-bunyian)" (dari riwayat Al-Bukhari) adalah muallaq(tergantung sanadnya). Hadis ini tidak diterima oleh Ibn Hazm dan Dr alQardhawi (Fiqh alGhinaa' wal Musiqii) sebagai hujah kerana kecacatan dalam jalur periwayatannya iaitu terdapatnya perawi bernama Hisyam bin Amar, perawi Syria yang bermasalah. Pendapat Dr. alQardhawi dan Ibn Hazm ini tertolak menurut kebanyakan pendapat ulama hadith. Hadith ini bermartabat SAHIH dan telah disahihkan oleh ramai ulama hadith seperti Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari dan Syeikh Al-Albani dalam Al-Shahih kerana terdapatnya jalur periwayat yang lain yang menyokong hadith ini. Al-Albani mengatakan ini hadith maushul, shahih al-isnad dan tidak seperti yang didakwakan oleh Ibnu Hazm. Ulama seperti Imam Ibnu Al-Qayyim, al-Hafiz dan lain-lain telahpun menolak pendapat yang melemahkan hadith ini. Wallahualam.

Berikut adalah link email sahabat saya kepada saya: Email. Saya lanjutkan lagi diskusi mengenai muzik menerusi link ini: Permasalahan Mengenai Muzik dan Hukum Mendengar Muzik serta Nyanyian (Mutlak atau Bersebab). Tulisan tersebut juga telah ditulis oleh seorang sahabat saya. Akhir kata, nasihat sahabat saya ini yang diambil daripada gurunya Syaikh Abu Eid, adalah sangat baik buat renungan: " Hendaklah kamu berligar di sekeliling dalil bukan di sekeliling orang."

Maaf atas kesilapan yang berlaku akibat daripada sikap lewah saya tidak menyemak martabat hadith di bawah dengan teliti. Wallahualam.