Friday, April 20, 2007

Mentari Hati Huda

Photo Hosted at Buzznet




Karya ini padat dengan mesej. Ditulis oleh seorang penulis muda berbakat, Sdr Hani Hamsyari. Oleh itu, jangan bawa keluar karya ini dari blog saya kecuali dengan izin beliau. Terima kasih dan selamat membaca.
MENTARI HATI HUDA
Oleh Hani Hamsyari


”Kau buat apa ni?” Dia diam sambil terbongkok-bongkok di sudut dapur mengupas sebutir nanas muda bersaiz sederhana. Di sisi kiri, di tepi sinki, botol Coca-cola 1.5 liter yang sudah luak hampir separuh. Juga berpuluh-puluh pil putih yang kamu yakini paracetamol. ”Kau buat apa ni?” Kamu mendekat setelah dia tidak mengendahkan pertanyaan kamu tadi.

”Jangan sibuk!” Dia berpaling sekilas dengan pisau pemotong nanas hampir-hampir merobek perut kamu. Astaghfirullah. Kamu urut dada. Dia tertegun seketika, sebelum gopoh menelan kepingan nanas yang dipotongnya tadi. Kamu kaku. Dia capai pula butir-butir paracetamol. Ditelan sekaligus dengan Coca-cola yang diteguk terus dari botolnya. Kamu pasti, amat-amat pasti ada sesuatu yang tidak kena di sini. Kamu segera merampas lantas mencampak baki pil-pil putih itu melalui tingkap ke belakang rumah. Dia berpaling dengan dada berombak, juga wajah serta mata yang menyala marak.

”Kau gila? Kau buang semua tu buat apa?” Dia mendekat. Kamu sedikit kaget. Rambut panjang beralun yang tidak terurus dan mata sembab kemerahan itu bukan kepunyaan Huda yang kamu kenal selama ini. ”Kau pun sama macam semua yang lain! Jahat, pentingkan diri!” Kamu mengucap panjang ditengking-tengking tanpa hujung pangkal.

”Yang kau telan semua tu buat apa? Kau nak mati?” Kamu pula tinggi suara. Demi Tuhan, ini pertama kali suara kamu setinggi ini apatah lagi terhadap Huda, gadis manja lemah-lembut, yang sangat akrab dengan kamu sejak tahun pertama mengikuti kuliah perakaunan di sini, di IPT di timur semenanjung ini. Kamu pandang ke sinki. Paracetamol, pisau, Coca-cola, akhbar lama, nanas, cawan, durian, alat penguji kehamilan. Segalanya bersepahan. Alat penguji kehamilan? Kamu toleh sekali lagi. Paracetamol, nanas dan Coca-cola? Darah berebutan menyerbu wajah.

”Kau memang hilang akal la Huda! Ni apa ni? Hei, kalau tak mahu mati sorang-sorang, kau heret la jantan keparat tu sekali. Nak bunuh budak dalam perut tu buat apa? Dah la buat kerja gila, berzina. Dah tak sabar-sabar nak masuk neraka?” Marah kamu menggila dengan butir kata yang laju bagai peluru. Penampar terasa ringan mahu melayang ke wajah redup itu. ”Kalau kau baik sangat, pergi la masuk syurga sorang-sorang!” Dia meluru ke bilik menghempas daun pintu yang getarnya mahu mencabut jantung kamu.

***

Kamu bersimpuh di sejadah menatap al-Quran di pangkuan. Sunyi. Hanya ada suara putar kipas yang ligat, seligat kecamuk fikiran kamu. Huda masih berkurung sejak pertengkaran kalian lewat petang semalam. Sejak itu juga, sehingga dinihari ini, kamu tidak dapat tidur lena. Memang kamu sangat marah, atau sebetulnya amat kecewa dengan tindakan Huda. Mustahil Huda tidak tahu bahawa zina itu adalah dosa besar. Dosa zina boleh menutup gerbang keberkatan usia. Menghilangkan seri wajah orang beriman. Malah menyempitkan pintu rezeki. Jika menurut hukum Tuhan, Huda boleh disebat seratus kali. Lelaki itu juga. Seratus kali. Sudah digariskan Tuhan seawal ayat kedua surah an-Nuur. Jelas dan nyata. Tapi ah, umat sekarang sudah tidak sama dengan para sahabat yang sangat patuh nasihat Nabi dan taat ajaran al-Quran. Kamu mengeluh sesal.

Bacaan kamu terhenti pada ayat ke-33. Ayat yang menganjur disegerakan perkahwinan bagi yang mampu dan pesanan supaya menjaga kesucian diri bagi yang belum mampu berkahwin. Betapa al-Quran adalah sebenar-benar pedoman yang sempurna bagi yang mahu mengerti. Huda, apakah kamu sudah lupa? Bukankah kita sama-sama tekun mendengar kuliah tafsir Ustaz Husaini di surau al-Hidayah saban minggu? Malah kita tak pernah sekalipun terlepas perbincangan ayat-ayat Surah an-Nuur ini. Oh, Tuhan.

Sebentar tadi, kamu tenggelam dalam sujud yang panjang. Kamu mohon sungguh-sungguh dari Tuhan dalam sujud terakhir itu, moga lembut hati Huda untuk kembali ke jalan-Nya. Bersungguhnya kamu kali ini, tidak ubah seperti kesungguhan kamu sepanjang Ramadan lalu, tatkala merayu-rintih pada Tuhan mohon dipertemukan malam al-Qadar-Nya. Kamu tahu, doa tulus sahabat tanpa pengetahuan sahabatnya mudah dimakbul Tuhan. Seperti juga doa anak yang soleh, atau doa pahlawan tatkala berkecamuknya perang, para musafir dan juga doa ibubapa kepada anaknya. Tambahan pula kamu kini di sepertiga terakhir malam, waktu mustajabnya doa. Kamu tidak akan siakan kesempatan ini.

”Maafkan aku, Huda”. Sebak memenuhi dada. Saat ini, ingin kamu memeluknya erat lantas membisikkan kata-kata itu. Sebetulnya kamu diselimuti rasa bersalah. Sesal teramat atas keterlanjuran kata-kata juga sikap baran kamu petang semalam. Kamu seharusnya lebih rasional saat Huda diheret emosional. Ah, hakikatnya apa yang dilakukan Huda benar-benar melumpuhkan waras kamu. Sehingga apabila dibakar api amarah, kamu lupa untuk menyiramnya dengan menyebut nama Allah.

Huda sahabat yang hebat. Ringan tulang membantu teman-teman. Pintar dalam pelajaran. Akrab dengan al-Quran. Juga teman munajat di sepertiga malam. Kamu masih ingat janji kalian untuk sentiasa jadi manusia beruntung. ”Rugi sangat kan siapa yang tak merasa indahnya nikmat tahajjud”. Begitu tutur Huda kepadamu usai kuliah Ustaz Husaini yang membicarakan ayat 15-18 dari Surah az-Zariyat, tentang kebaikan dan rahmat Allah bagi mereka yang menghidupkan ibadah di sepertiga terakhir malam. Kata Ustaz Husaini lagi, manusia biasanya cepat tersedar apabila hilang nikmat kekayaan, kesihatan atau kecantikan. Tapi tak ramai yang sedar apabila ditarik Allah nikmat untuk merasai manisnya iman dan indahnya bermunajat kepada Tuhan. ”Memang pun kan? Macam kita”. Ulah Huda buat kamu tertawa.

***

”Kau berubah benar sejak kenal Hilal”. Huda sekadar senyum. ”Hati-hati berhubung dengan lelaki ajnabi. Bimbang kau terperangkap mainan perasaan”. Itu bukan pesanan pertama seingat kamu. Dan Huda seperti biasa tiada reaksi melainkan tersenyum. Atau paling tidak akan berkata ”Jangan risau, aku tahu jaga diri”. Hanya mahu menyedap hati kamu barangkali.

Kamu cukup kenal Hilal. Lelaki bermulut manis yang mengumpan gadis bermodal kata-kata dan rupa. Bukan tak pernah kamu digoda. Hanya kamu yang tak mahu. Malas bercinta tidak tentu hala. Kamu arif perasaan sendiri. Kalau sudah dijangkiti wabak angau, mulalah tidak keruan sepanjang hari. Ujian Tuhan datang dalam pelbagai bentuk termasuklah melibatkan hati dan perasaan. Sebelum terjebak, kamu memilih memagar diri. ”Tak rajin nak menambah tanggungjawab yang tak perlu” kata kamu. Tak sangka pula Hilal beralih kepada Huda. Kamu malas membuka cerita. Manalah tahu, Hilal serius mahu merancang hidup bersamanya.

”Aku nak pergi Genting weekend ni. Dengan Hilal. Sepupu dia ikut. Dua orang, perempuan”. Huda sudah sampai tahap itu. Kamu ulang kali katakan padanya, usah mula memberi ruang kepada kemungkaran. ”Aku sayang dia. Kau tak di tempat aku, kau tak faham.” Jawabnya mudah. Dan Huda, perlahan-lahan mula berubah. Mulanya sekadar tidak bersarung kaki. Kemudian belajar menyarung jeans. Dari tunic separas lutut, beransur-ansur hinggalah blouse singkat. Tudung yang dulunya menabir dada, mula digubah pelbagai gaya hingga jelas kelihatan bentuk-bentuk yang tidak wajar tertera.

Kamu tak terkata. Malu juga pada Nabi, tak mampu mencontohi baginda menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar. Kamu hanya mampu berdoa mohon Huda normal semula. Disampuk angau cinta buta payah juga jadinya. Huda punyai asas agama yang baik. Dengan izin Tuhan, kamu yakin dia akan kembali ke pangkal jalan.

Kamu ambil peluang untuk memperingat diri. Mana tahu jika Huda kembali berubah, dia akan jadi jauh lebih baik dari kamu hari ini. Seperti Umar yang menguburkan anak perempuannya hidup-hidup di padang pasir kala zaman jahiliyah, namun tergolong sepuluh sahabat yang dijamin syurga bila disapa hidayah. Juga mengambil iktibar kisah ketua penyamun bernama Fudhail bin Iyadh. Setelah disinari cahaya hidayah, beliau tersenarai di kalangan wali Allah.

***

Muhasabah dinihari itu menemukan hikmah atas apa yang berlaku. Usai solat Subuh dan wirid ma’thurat ringkas, kamu bingkas menuju ke bilik Huda. Kamu berjanji pada diri, mahu jadi temannya kala susah dan senang. Juga menuntunnya kembali menyusur denai Ilahi. Kamu mahu jadi sahabat yang meneguh, bukan meruntuh. Semoga Huda belajar dari sejarah hitam hidupnya. Seterusnya menjadi lebih baik dari Huda yang dulu.

Dalam derap langkah berbekal bismillah, kamu mewiridkan ayat-ayat terawal surah Thaha. Semoga dengan izin Tuhan, kalimah itu mampu melembut hati Huda sebagaimana ia mampu melentur kerasnya hati Umar al-Khattab, sehingga akhirnya terdorong memilih Islam dan menjunjung kebenaran.

Pagi ini kamu mahu mengajak Huda menyusur putih pasir pantai, berbual hati ke hati, sambil menyaksikan matahari menyibak tirai hari dan menghangat dingin pagi. Semoga biasan indah warna mentari di dada Laut Cina Selatan bisa mencerah kembali kelam hati seorang teman. Huda, ayuh berlari ke dalam diri, kita raih kasih dan ampunan Ilahi.


© Hani Hamsyari. Kuala Terengganu. March 2007.

Wednesday, April 18, 2007

Alhamdulillah

Photo Hosted at Buzznet


Alhamdulillah. Karya ‘Antidot Untuk Umat Manusia Serigala’ ini merupakan karya ke tiga saya yang diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya kategorikan ia sebagai fiksyen dakwah. Klik di sini untuk keputusan penuh sayembara. Terdahulu, cerpen ‘Gengsi Tanih Hitam’ dan ‘Anak Pungut’ diiktiraf DBP. Satu lagi cerpen dengan tajuk ‘Artikulasi Psikosis’ telah diiktiraf oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia. Seperti biasa, kerana karya-karya ini bersifat mainstream, saya tidak akan siarkan di sini. Kalau ada rezeki, insyaAllah kamu mungkin boleh membacanya dalam terbitan bercetak DBP. Atau email kepada saya jika sangat teringin untuk membaca. Terima kasih atas doa dan sokongan kalian, semoga Allah membalasnya dengan berlipat ganda. Wallahualam.

-Hafez Iftiqar Termizi-

Tuesday, April 10, 2007

Rindu

Photo Hosted at Buzznet

Malam
Malam sejuk menusuk sum-sum, angin Mistral,
(angin itu tak mahu reda).
Pada tingkap gemerlap kilauan
Saujana gunung-ganang yang bogel.
Cahaya emas yang tegun
Menjangkau tempat tidurku.
Sunyi, tanpa sesiapa
Kecuali aku dan Tuhan.
Hanya Dia tahu kerinduanku,
Rindu hatiku yang separuh mati,
Rindu yang kusembunyikan dari ramai.
Kesejukan, kilauan, angin Mistral.

Ivan Bunin, 1952.

-saya sangat merindui emak, ayah dan adik-adik saya =(

Friday, April 06, 2007

Sendirian

Photo Hosted at Buzznet




Gambar ini saya judulkan sebagai ‘alone’. Diambil waktu saya di Sydney. Dalam kehidupan ini, berseorangan punya fungsi tertentu, bergantung pada cara dan tujuan. Sebagai contoh Dr Ramadhan Al-Buthy yang terkenal dengan Fiqh Sirah menghuraikan ikhtila’ Rasulullah di Gua Hira’ seperti berikut: manusia mewah dengan penyakit yang tidak dapat dibersihkan kecuali dengan ubat uzlah dan bermuhasabah dalam suasana hening jauh daripada keramaian dunia.

Saya gemar bersendirian di tepi pantai untuk merasa kerdil di samping kehebatan Tuhan. Waktu itu, saya adalah semut di sisi laut luas.
p/s: Saya rasa bersalah tiap kali menulis satira keras. Maafkan saya andai ada mengguris perasaan sesiapa. Wallahualam.