Saturday, February 24, 2007

Mahu Jadi Al-Banna

Photo Hosted at Buzznet




Tadi pagi dia punya tempat berteduh dan rembang siang ini dia di sini, di Flagstaff Garden yang tepu dengan manusia. Penuh dengan Melbournians yang melimpah ruah dari seantero kota raya yang digelar orang the most liveable city in the world. Rutin, dalam cuaca panas sedang begini, dalam senggang hujung minggu begini, mereka akan bertebaran seperti ketumbukan semut menghurung gula memenuhi taman-taman awam atas satu alasan iaitu berlibur bersama keluarga atau orang yang tersayang. Dia sendirian di bangku paling sisi Flagstaff Garden, betul-betul bertentangan dengan terowong pejalan kaki dan Latrobe Street yang padat dengan kenderaan. Selang suku jam, tram yang dia kira sebagai pengangkutan utama bagi warga Melbourne akan berlumba-lumba maju di celahan kenderaan lain di dada Latrobe Street yang sesak itu. Betul, pagi tadi dia punya rumah dan sekarang dia sudah seperti lelaki Koori yang meniup didgeridoo di tepi Victoria Market mengharap wang dari ihsan orang dan menjelang malam nanti tidak punya tempat berlindung lalu tidur di atas hamparan kotak-kotak di balik pencakar langit yang sombong.

Semua ini kerana dia menegur teman serumahnya yang lupa daratan. Subuh tadi sewaktu dia mahu menunaikan solat, sewaktu dia melintasi ruang tamu rumah dia jadi panasaran waktu mendapati teman serumahnya sudah bertelanjang bulat dengan seorang perempuan yang entah siapa di atas sofa. Di atas lantai berteraburan botol yang masih digenangi wine yang hitam seperti darah. Lalu kesabarannya jadi tercabar. “Oi! Ko tak tahu malu ker?”disepaknya betis temannya sekuat hati. Kerana itu, dia lalu dihalau keluar dari rumah. “Get off! This is my house. Aku punya suka nak buat apa!” Jerkah temannya sambil kelam kabut mencari seluar untuk menutup anunya itu.

Sebetulnya dia masih baru di sini, di kota Melbourne yang padat. Kerana masih baru, dia menumpang sementara waktu di rumah temannya itu sebelum mendapatkan rumah sewa yang tetap. Teman yang suatu ketika dahulu merupakan rakan karibnya di sekolah menengah. Masa berubah, macam kata orang tua, sekali air bah, sekali pantai berubah. Ada yang menjadi lebih syaitan dan ada yang menjadi lebih malaikat. Dia sendiri sudah memalaikatkan dirinya. Dia senyum sendirian waktu lawak itu merajai fikirannya.

Tiba-tiba dia menjadi pilu. Dia memandang sayu beg di sisinya. “Ini baru cabaran kecil.” Dipujuknya hati yang diruntun pilu. Sebelum ini dia sudah meladeni puluhan kisah pejuang-pejuang yang menyerahkan segala yang mereka punyai demi tuntutan perjuangan. Dia juga telah meladeni kisah-kisah yang lebih menyayat hati daripada dihalau keluar oleh teman serumah.

Imam Ahmad Ibnu Hanbal yang tegas mempertahankan aqidah Ahlu Sunnah sewaktu berdepan dengan kekuatan bidaah yang disokong oleh Khalifah Mu’tasim dan segenap jenteranya. Badan Ahmad dipukul sehingga luluh. Kakinya dibelenggu dengan rantai besi yang berat. Dihadapkan di hadapan algojo, dia masih begitu, masih tegas dengan pengakuannya. Al-Quran bukan makhluk! Ia adalah kata-kata Tuhan. Lalu dia diseksa lagi supaya mengakui Al-Quran adalah makhluk sejajar dengan fahaman Mu’tazilah, dia enggan dan dia masih teguh dengan fahaman Ahlu Sunnah wal Jamaah. Al-Quran bukan makhluk, ia kata-kata Tuhan! Dan langsung diseksa lagi. Maka dipujuk orang, dibawakan hadith bahawa syariat membenarkan dia mengakui fahaman anutan algojonya demi menyelamatkan nyawa. Tidak! Dia enggan dan dia masih begitu, teguh dengan pegangannya. Lalu dia bertanya dengan gagah, “Apa pendapat kamu tentang hadith riwayat Khabbab yang menyatakan bahawa terdapat orang-orang terdahulu yang digergaji badannya menjadi dua sedang mereka teguh dengan keyakinan mereka?” Dan janji Tuhan pasti, sampai sekarang dikata orang, “Apabila kamu dapati seseorang menyanjungi Ahmad Ibnu Hanbal, ketahuilah kamu bahawa orang itu pengikut Sunnah.” Dan janji Tuhan pasti, sewaktu wafatnya Imam Ahmad, kota Baghdad seluruhnya berduka sehingga dikata orang hampir 800 000 orang lelaki mengiringi jenazahnya. Dan algojo bermuka bengis, tersisih dari catatan sejarah. Meremang romanya waktu mengingati Imam Ahmad Ibnu Hambal.

Dia menjadi minat dengan agama sewaktu membaca kesungguhan Imam Shahid Hassan Al-Banna. Minat sungguh-sungguh. Kesungguhan Al-Banna dalam dakwah malah cemerlang dalam kehidupan seharian menguasai segenap fikirannya. Sebelum memesrai kisah perjuangan Al-Banna, dia adalah hantu. Dia segalanya, dari rempit sampai skodeng. Sembahyang lima waktu jarang-jarang penuh. Atas ihsan Tuhan, dia jadi teruja usai membaca kisah hidup Al-Banna. Betapa Al-Banna walau pun tekun memenuhi tuntutan fardhu kifayah, yang terawal hadir bekerja adalah Al-Banna juga. Betapa Al-Banna sibuk mendakwahi isi-isi Mesir ketika itu, yang cemerlang dalam pelajaran adalah Al-Banna juga. Ketabahan Al-Banna lalu menguasai segenap jiwanya. Seorang pemuda yang dibunuh mati kerana memperjuangkan agama. Menurut catatan orang, Al-Banna dibiarkan mati di hospital tanpa rawatan atas arahan pemerintah selepas ditembak penembak curi. Dan seorang pendakwah sehebat itu, jenazahnya hanya dikebumikan oleh seorang bapa yang tua kerana pemerintah mengharamkan orang lain daripada terlibat dalam pengebumian beliau. Usai pembacaan itu, jiwanya menjerit, “Aku ingin jadi Al-Banna!”

Begitu juga dengan Shahid Syed Qutb yang dihukum gantung itu. Beliau dihukum penjara dengan penyeksaan yang menggunung seperti dimaki oleh polis, digigit dan diseret di sekeliling sel tahanannya oleh anjing-anjing belaan polis, dicurahkan ais dan air panas di atas kepalanya, ditampar, ditendang dan ditumbuk. Dia masih begitu. Masih tegas dengan pegangannya malah memilih tali gantung. Syed Qutb menukilkan bait puisi ini:

Sahabat...
Andai kematianku kau tangisi
Pusaraku kau sirami dengan air matamu
Maka di atas belulangku yang luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan.

Sahabat...
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang rindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan bahagialah hidupku di sana.

Sahabat...
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyinsing
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Relakanlah rohku terbang menjengah rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Mentari sudah tinggi tegak di kepala. Dia masih sibuk melayan perasaannya. Tentang Imam Ahmad, tentang Imam Al-Banna dan tentang Syed Qutb. Juga sajak yang ditulis Syed Qutb pada tahun 1966 itu. Mencari semula semangatnya yang hilang setelah dihalau keluar dari rumah oleh sahabat karibnya sendiri di bumi asing ini. Ah! Bukankah Allamah Iqbal pernah berkata, “Tunduk dan berserah diri terhadap keadaan yang memaksa, menyerah kepada qada dan qadar adalah karekter orang-orang yang lemah dan bangkai. Ada pun seorang mukmin yang kuat imannya, dirinya sendirilah qada Allah yang harus menang dan dia sendirilah qadar Allah yang tidak dapat ditolak itu.” Dia mahu setabah Imam Ahmad. Dia mahu sekuat Al-Banna. Dia mahu seteguh Syeq Qutb. Dan dia betul mengerti, mereka itu menjadi setabah, sekuat dan seteguh itu kerana mereka beriman kepada Allah dan mencontohi Rasulullah serta para sahabatnya. Pokoknya kembali kepada Quran dan Sunnah dan jalan para salafussoleh dan bersabar di atas jalan yang diyakini.

Ramai lagi yang lebih menderita diseksa berbanding dia yang dihalau keluar rumah. Ibnu Taimiyah yang gigih walau pun jasadnya dipenjara. Hassan Hudaibi dan Umar Tilmisani yang dipenjara puluhan tahun. Imam Abdulla Haron, pemimpin Melayu-Islam di Afrika Selatan yang diseksa dan dibunuh lalu punca kematiannya direka musuh dengan mengatakan beliau mati akibat jatuh dari tangga. Mungkin juga Malika Outfir yang menjadi tahanan politik di Maghribi, sayang... Malika murtad selepas tempoh penderitaan yang panjang itu. Mereka lebih malang, sedang dia hanya dihalau keluar dari rumah.

Angin bertiup mesra. Di bahu jalan, daun yang luruh berkejaran galak antara satu sama lain. Dan dia mula berdiri setelah bermuhasabah panjang, ditariknya beg pakaian yang barang kali lebih daripada 20 kilogram berat. Arahnya, menuju ke masjid yang letak di Jeffcot Street tidak jauh dari situ. Malam ini, mahu tidur di mana? Dia sendiri tidak punya jawapan untuk itu. Mungkin boleh minta kebenaran tidur di masjid buat semalam dua daripada tok siak. Dia tak punya rumah, sekurang-kurangnya dia tidak semalang mereka yang sebetul-betulnya malang. Dia berjalan perlahan dan hilang.

Thursday, February 08, 2007

Cupid Bogel

Photo Hosted at Buzznet
Cupid Bogel

Mangu dalam pijar mentari
Yang enggan mengalah
Tika siang sedia berpapasan
Dengan malam. Semilir yang tidak tekal
Yang terkadang mahu menderu deras
Dan kadang kala mahu tenang menyapa
Manusia, pantai dan aku
Yang dicuri senja.


Di batas laut yang mengheret siang
Angin tak semena menjadi raksasa
Amuk. Menghambat ke pantai
Menghambat jauh mimpi. Jauh
Tentang cinta
Tentang rindu
Tentang sayang
Yang telah bertunas dan mahu membesar
Ditugal Cupid bogel
Yang sebetulnya
Adalah syaitan.

Kata Tuhan, mudahnya
Baik untuk baik
Jelik untuk jelik
Tenang. Ini zaman muda
Yang bergelora seperti laut
Tuhan Maha Adil!
Tempikku ke dada malam

Sewaktu anak cilik bermain cinta
Aku bilang sama bintang
Esok atau lusa, aku pasti
Menggalah mentari.

Hafeziftiqar,
1 Feb 07, Frankston.

P/s: Kalau kamu yang bujangan (i.e. tidak bertunang atau berkahwin) mahu berfikir, kamu mungkin akan lebih senang kalau kamu merdeka. Jodoh di tangan Tuhan. Sempena ‘Valentine Day’ (yang sepatutnya tidak kamu sambut), ucapan saya untuk kamu; Jangan ditipu Cupid bogel! Kata seorang teman tidak wujud saya; Daripada kamu bermain cinta lebih baik kamu bermain kite surfing! Kalau kamu pernah, katakan seperti ini; Saya enggan lagi! Kalau kamu masih atau kalau kamu perlu, saya harap kamu faham akan batasan yang melingkari kamu, jangan sampai lepas daripada batasan yang ada (kerana saya bukan anti-cinta :p). Kata Hassan Al Banna; Tanggungjawab lebih banyak daripada masa. Wah! Alangkah rugi kalau menambah tanggungjawab yang tidak perlu! Salam daripada saya dalam kedamaian pantai Frankston.