Tuesday, January 30, 2007

BENGKEL PENULISAN ISLAMI GKLN-ADABUNA

BENGKEL PENULISAN ISLAMI GKLN-ADABUNA

Assalamualaikum

Pihak group Karyawan Luar Negara (GKLN) dan Adabuna (group penulis dari Timur Tengah) buat julung kalinya telah mengadakan kerjasama menganjurkan bengkel penulisan Islami GKLN-ADABUNA secara maya (online).Bengkel ini bakal dilangsungkan secara online menggunakan aplikasi Yahoo Mesenger, dan tiga sesi (bagi setiap fasilitator) akan dijalankan serentak. Seramai 12 orang peserta dari kedua-dua kumpulan (yang terdiri daripada penulis-penulis muda dari Mesir, US, Dublin, United Kingdom, Australia, New Zealand, dan lain-lain) telah dipilih dan karya-karya mereka bakal dibedah oleh 3 orang fasilitator yang terdiri daripada penulis-penulis mapan iaitu saudara Faisal Tehrani, saudara Zaid Akhtar, dan Puan Nisah Haron.

Kepada semua yang berminat, anda dijemput untuk turut sama mengikuti bengkel tersebut sebagai PEMERHATI dan PENDENGAR sama ada melalui radio MISG ( http://www.radiomisg.com/ ) atau mengikutinya secara langsung secara jemputan dari moderator setiap bengkel.

Tarikh: 3 Februari 2007
Masa:
KL -Sat 9:00 PM
CAIRO -Sat 3:00 PM
NASHVILLE-Sat 7:00 AM
DUBLIN -Sat 1:00 PM
MELBOURNE - Sat 12:00 PM
WELLINGTON - Sun 2:00 AM

Sekiranya mahu mengikuti siaran secara langsung melalui online conference, sila pastikan komputer anda mempunyai kelengkapan voice teleconference dan sila minta moderator menjemput anda dalam conference masing-masing. ID moderator adalah seperti berikut:1) ise_sekoda 2) hafeziftiqar 3) tecolpet (P/S: untuk siaran melalui radio, hanya satu sesi akan disiarkan dalam satu masa. 2 sesi yang lain akan ditunda siarannya pada waktu yang bakal ditetapkan kemudian) maklumat lanjut boleh hubungi : fieza_nur@yahoo.com atau layari http://gkln.blogspot.com

Thursday, January 18, 2007

SIOMAY (Jiwa-jiwa Yang Terapung)

Photo Hosted at Buzznet




SIOMAY
(Jiwa-jiwa Yang Terapung)
Aku sebetulnya sudah lama perasan akan kelibat dia di situ. Di sana, betul-betul di bawah perdu fir tempat aku menghimpunkan jiwa dan semangatku. Di situ, perlahan tapi pasti telah dia curi sedikit demi sedikit jiwa dan semangatku. Semalam, tepat jam 12 malam telahku cuba bunuh dia. Dan kemudian aku mengerti, ura-ura yang mengatakan dia tidak mungkin akan mati itu sebetulnya bukanlah dongeng. Sungguh, dia masih hidup usai aku membenamkan belati satu ruas panjang ke dada bidang miliknya. Dia dengan muka yang mampu berubah itu masih hidup selepas belati satu ruas panjang itu terpasak kejap antara dua bilah rusuk kirinya. Aku pasti bahawa itu adalah lokasi ventrikel kiri. Logiknya, dia perlu mati. Logiknya, sekarang, sewaktu aku menulis untuk tatapan kalian, dia perlu gelisah di kuburan mendepani soalan munkar dan nakir. Logiknya.... Tapi dia itu makhluk yang tidak logik. Sewaktu awal musim panas dahulu, dia berwajah kucing. Comel amat. Kemudian dia berwajah singa, semalam waktuku cuba membunuh dia, dia berwajah baghal. Tersenyum dia waktu aku terlopong dengan belati yang masih ku gengam dengan tangan kanan. Senyuman itu buat aku menggigil dengan bersangatan, berpeluh hingga ke kaki. (bersambung)
catatan:
-Tadi saya ke Blok M di Chapel Street, tempat kegemaran sahabat saya untuk menikmati masakan Indonesia. Katanya, malam ini dia belanja kerana esok merupakan hari lahirnya. Antara lain, hidangan yang kami nikmati ialah siomay (meatball) yang terapung di dalam bakso. Terima kasih teman, selamat hari lahir...
-Pak M yang aneh itu sepatutnya menaja makanan saya secara percuma kerana menyebut tentang warongnya di blog ini yang dikunjungi tidak kurang 3 pengunjung Indonesia setiap hari (kamu tahu, ini hanya gurauan serius saya)
-Gambar tasik itu, sempat saya ambil sewaktu kami berhenti di Lake Tekapo, New Zealand dua minggu yang lalu. Saya merindui biru sungai dan tasik Aoteoroa.
-Cerpen ini akan saya sambung bila lapang sedikit. Perlu isi borang pengesahan polis dan working with children yang dikehendaki hospital.
- Kamu telah tonton filem Idi Amin? Saya sempat menonton filem tersebut dalam penerbangan Auckland-Melbourne. Orang seperti Idi Amin akan sentiasa wujud dalam sejarah umat yang terluka. Dia biografi yang mengujakan tapi menggerunkan.

Wednesday, January 17, 2007

1428

Photo Hosted at Buzznet

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah

Embrace the past

Prepare now to shape the future.

Monday, January 15, 2007

Haka Dalam Kemuruk Udara Taupo (Bahagian i & ii)

Photo Hosted at Buzznet

Waiotapu; pertengahan jalan antara Taupo dan Rotorua.

Haka Dalam Kemuruk Udara Taupo

(i)


Di lapangan terbang antarabangsa Auckland, kalau kamu peka dan mahu melihat ke sekitar, kamu pasti perasan akan tulisan yang disusun melengkung dipetik daripada autobiografi Jean Gardner Batten, Alone In The Sky. Kata Batten, setiap seorang yang terbang melewati lautan ke bumi jauh merupakan penjelajah; di dalam jiwanya membara api yang suatu ketika membakar semangat penjelajah terdahulu yang telah mendorong mereka menyongsong kapal layar meredah lautan demi sebuah tanah yang baru. Sewaktu saya menyusun jadual perjalanan tiga minggu dalam usaha meredah keluk dan lekuk bumi New Zealand, saya rasakan api yang membakar itu ada di sana, di sana, jauh di dalam jiwa saya. Kia Ora! Dua patah kata dalam bahasa Maori yang menyambut ketibaan saya di Aoteoroa, bumi dengan awan putih yang panjang. Kia Ora! Ya, selamat datang ke Aoteoroa atau New Zealand.

Taupo paling merungsingkan. Dari Auckland menuju ke selatan, sebaik sahaja memasuki Rotorua dan sepanjang-panjang jalan dari Rotorua ke Taupo, bau telur kemuruk cukup kejap membaluti udara yang saya hirup, bau yang terhasil daripada sulfur lewat aktiviti geotermal. Pertengahan jalan antara dua tempat tersebut, di Reporoa yang masih di daerah Taupo itu, ada kebetulan yang menggundahkan.

Ka mate, ka mate! Ka ora, ka ora!
Ka mate, ka mate! Ka ora, ka ora!
Tenei te tangata puhurupuhuru!
Nana nei i tikai mai whakawhiti te ra!
A upa... ne! Ka upa... ne!
A upane ka upane whiti te ra!

Ini kematian, ini kematian! Ini kehidupan, ini kehidupan!
Ini kematian, ini kematian! Ini kehidupan, ini kehidupan!
Ini lelaki yang sedia berdiri di sini!
Yang telah membawa matahari dan menyebabkannya bersinar!
Selangkah mara! Selangkah mara!
Selangkah mara lagi dan matahari bersinar!

Haka di Reporoa itu adalah Haka yang tidak mungkin mahu meninggalkan ingatan saya. Haka itu judulnya Ka mate yang saya pasti dikenali seluruh dunia selepas ratusan kali dipopularkan oleh pasukan ragbi New Zealand, The All Blacks. Saya telah puluhan kali mendengar Haka. Haka yang itu tidak mungkin saya lupai bukanlah kerana Haka itu sendiri, tetapi kerana Tevva atau Muhamad Zami.

Ka mate adalah satu antara puluhan Haka yang dimiliki Maori, penduduk peribumi New Zealand. Ka mate dikaitkan dengan Te Rauparaha, ketua perang suku kaum Ngati Toa. Suatu ketika Te Rauparaha diburu musuh, dalam usaha melepaskan diri, dia telah bersembunyi dalam suatu lubang yang dikorek di permukaan bumi untuk tujuan penyimpanan makanan. Untuk lebih mengelirukan musuh, seorang perempuan berdiri di atas lubang tersebut dengan kainnya menutupi mulut lubang. Selamat daripada dijumpai musuh, Te Rauparaha menjeritkan patah-patah Ka mate. Ka mate yang itu susah untuk saya lupai bukanlah kerana Te Rauparaha, bukan juga kerana taktik perang Te Rauparaha yang pelik, tetapi kerana Tevva atau Muhamad Zami. Lelaki Melayu yang saya sangkakan Maori. Muhamad Zami itu lelaki yang berani.


“Assalamualaikum, kia ora! Saya Tevva atau Muhamad Zami.” Saya terdiam waktu dia menyapa saya. Gumam. Masakan Tevva atau Muhamad Zami ini di sini, di Reporoa yang seratus peratus penduduknya adalah Maori.

Muhamad Zami itu adalah lelaki yang berani. Barang kali seberani Jean Gardner Batten yang mati akibat komplikasi selepas digigit anjing itu. Jean Gardner Batten yang terbang secara solo dari England ke Australia pada tahun 1934 itu. Muhamad Zami yang berani itu masih di situ, di hadapan saya yang gumam.

“Kenapa?” Tanya Muhamad Zami atau Tevva kepada saya. Saya masih tidak percaya. Masakan Maori yang menghentak-hentak kaki dan menumbuk-numbuk ke arah dada langit menjeritkan Haka yang saya tonton sebentar tadi fasih berbahasa Melayu.


(ii)

Dia mengaku yang dia lama tidak bersolat lima waktu sehari semalam. Dia mengaku apa sahaja lepas masuk ke perutnya baik halal atau haram. Babi, lembu, arak, jus itu semua sama, makanan katanya. Dia, Muhamad Zami atau Tevva itu masih di situ, di hadapan saya dengan senyuman yang tidak mahu surut terserlah antara corak Piupiu yang melingkar tak ketahuan arah pada mukanya yang lebar.

“Bagaimana tahu saya Melayu Malaysia?” Saya mula pulih daripada gumam yang merasuk saya tadi.

“Bahasa Melayu, campur tadi saya nampak tuan bersolat di sisi tasik. Muka pun muka Melayu.” Terang Muhamad Zami atau Tevva. Muka, masakan susah untuk meneka dari mana dengan melihat muka. Kecuali seorang makcik Kaukasia yang saya jumpa di Eltham, Australia yang sampai beberapa hari tidak dapat menerima hakikat saya berasal dari Malaysia. Katanya, saya sepatutnya berasal dari Itali. Muka saya adalah muka Itali.

Kisah Muhamad Zami atau Tevva itu panjang dan sangat menyedihkan. Dia itu kerap benar dihurung sengsara. Petang itu, saya sepatutnya bertolak ke Taupo seterusnya lajak ke Wanganui sebelum mengambil feri di Wellington menyeberangi Selat Cook untuk ke Picton di pulau selatan. Tetapi kerana terpegun dengan kisah Muhamad Zami atau Tevva itu, saya tegun di situ, di Reporoa.

Dia tidak bernasib baik seperti saya. Anak tunggal dengan kisah keluarga yang porak-peranda, kisah malang yang akhirnya menyebabkan dia membawa diri ke mari, ke Reporoa yang asing. Sewaktu kecil, dia menjadi bahan deraan bapanya. Bapanya yang pongoh, kaki todi dan kaki judi yang tidak kenal erti kasihan terhadapnya yang kecil. Dia disebat pada pagi hari. Dia disebat pada petang hari. Pada malam hari, waktu bapanya yang pongoh itu huyung-hayang pulang ke gubuk buruk mereka tiga beranak, badan bilisnya sekali lagi ditendang dan diterjang. Itu rutin katanya. Tidak pernah rutin itu berubah sampai ibunya meminta talak daripada bapanya yang pongoh.

Muhamad Zami memandang tepat ke mata saya. Matanya mula berkaca dengan air jernih. Saya sendiri...

“Lebih kurang setahun, hidup saya sedikit aman.” Kata Muhamad Zami atau Tevva. Dia kembali menundukkan pandangannya ke tanah. “Setahun, tak lama. Suatu hari, saya ternampak ibu bersekedudukan dengan seorang lelaki yang saya rasa dua puluh tahun lebih tua. Dengan mata kepala saya sendiri, di atas katil ibu.” Muhamad Zami berhenti di situ, dengan kura tangan, disekanya air jernih yang lama membening dalam dua matanya. Saya sendiri menjadi sebak...

“Saya ingat pesan guru Bahasa Inggeris saya, dia selalu memberi nasihat kepada saya, dia mengajar saya sebelum dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Australia. Sewaktu di sekolah menengah, saya di kelas yang paling teruk, video lucah, dadah, hidu gam, segala macam benda pernah saya cuba. Saya ceritakan kepada dia, kepada guru Bahasa Inggeris saya tersebut. Dia jadi abang saya, penasihat saya.” Sambung Zami.

“Dia pernah nasihatkan saya. Tentang perhubungan sebelum berkahwin. Katanya, Tuhan sedia berfirman, penzina lelaki untuk penzina perempuan. Lagi Tuhan memberi ancaman keras terhadap penzina sampai menjauhi zina itu pun disyariatkan Tuhan.” Muhamad Zami, anak muda yang saya temui di Reporoa itu terus-terusan menyeka air mata.

“Nasihat itu jugalah yang saya sampaikan kepada ibu. Ibu berang dengan nasihat saya. Tanyanya, saya mahu jadi ustazkah? Kata saya, agama untuk semua, bukan untuk ustaz saja. Hari itu, saya dihalau keluar, saya merayu, saya tak ada tempat untuk tidur, ibu tak peduli, dia marah betul.” Sambung Muhamad Zami atau Tevva.

“Petang itu, dengan duit yang saya kumpul, saya ke Ipoh. Saya kerja cuci kereta di sana. Lebih kurang setahun kemudian, saya ke Pelabuhan Klang, kerja sebagai anak kapal untuk syarikat perkapalan China, kemudian saya ke Wellington dan akhirnya saya di sini, di Reporoa. Segalanya berlaku lebih kurang empat tahun selepas saya dihalau dari rumah.” Terang Muhamad Zami atau Tevva. Air jernih semakin kurang menuruni pipinya.

“Saya masih Islam. Tevva cuma nama yang saya gunakan di sini.” Dia senyum dengan penuh kepayahan.

“Kalau tuan balik ke Malaysia, kalau tuan sudi, cari ibu saya, Salmiah Binti Musa, katakan kepadanya, saya merindui dia.” Pesan Tevva kepada saya.

Waktu itu sudah petang benar. Sudah lari daripada rancangan asal saya. Kalau saya tidak meminta diri, ertinya saya tidak akan sempat sampai ke Wellington pada waktu yang sepatutnya untuk menaiki feri meninggalkan pulau utara melalui Wellington menuju ke Picton di pulau selatan. Sempat saya membelikan Muhamad Zami minuman berkarbonat sebelum meminta diri.

Ada banyak persoalan yang bermain di kotak fikiran saya usai mendengar kisah Muhamad Zami atau Tevva. Agak gundah. Tentang guru Bahasa Inggeris itu yang terutamanya. Selepas mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dahulu, saya pernah bekerja sebagai guru sandaran tidak terlatih di sebuah sekolah menegah. Ya, saya ada mengajar kelas yang paling teruk. Kelas yang kebanyakan pelajarnya degil dan punyai senarai masalah disiplin yang berjela. Saya hanya meninggalkan pekerjaan guru itu setelah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Australia. Sungguh, kisah itu seolah-olah ada kaitan dengan saya.

Muhamad Zami mengekori saya ke kereta sewa yang telah saya sewa untuk tiga minggu.

“Nanti ada masa hantarkan email kepada saya.” Pesan saya.

Sebelum saya masuk ke dalam kereta, saya bersalaman dengan Muhamad Zami atau Tevva. Dia lantas mendakap saya, erat. Perlahan dibisikkan ke telinga saya, “Tuan, sebenarnya tuan adalah guru Bahasa Inggeris saya, abang saya, yang selalu membimbing saya suatu ketika dulu.” Dan saya, gumam.

Tamat, wallahualam...


Nota:

*Rujuk surah AnNur, surah 24 mengenai zina dan perkara yang berkenaan dengannya.
*Piupiu: paku-pakis.
*Terjemahan dalam cerpen ini adalah terjemahan maksud, bukan terjemahan perkataan ke perkataan.
*Every flyer who ventures across aceans to distant lands is a potential explorer; in his or her breast burns the same fire that urged the old adventurers of old to set forth in their sailing-ships for foreign lands. (Jean Gardner Batten, Alone In The Sky).
* Cerpen ini tidak ada kena mengena dengan pengalaman sebenar saya. Kalau ada, itu merupakan saduran.





Sunday, January 14, 2007

New Zealand

Aotearoa, New Zealand: The Land of The Long White Cloud (30/12/06-13/01/07)

Photo Hosted at Buzznet


Mount Cook National Park.