Saturday, November 18, 2006

Izrail Sibuk Di Gaza




Photo Hosted at Buzznet


Izrail Sibuk Di Gaza
Hafeziftiqar, 18/11/06


“Adik mahu jadi Izrail!” Begitu kata adik usai aku bacakan biografi Izrail alahissalam, malaikat maut yang wajib diimani oleh aku, adik dan sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Jangankan adik, sesiapa sahaja di bumi Gaza yang berdarah ini mahu menjadi Izrail agar bisa kami ambil nyawa tentera Zionis yang saban hari berusaha memastikan hidup kami kaya dengan derita. Dari Rafah sampai ke Bait Hanun, kamu tidak akan berjumpa satu meter persegi tanah yang sunyi daripada kelongsong peluru tentera Zionis. Kalau kamu berlari dari pesisir Mediteranean di Elei Sinai ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis tempat aku dan adik berlindung sekarang ini, kamu tak akan temui satu inci pun tanah yang merdeka daripada darah penduduk Palestin.

Dua tahun yang sudah, aku, ibu, ayah dan adik tinggal di Rafah. Waktu itu umurku baru mencecah 17 tahun. Sweet seventeenth. Tidak, tidak... Tahun yang pergi dan tahun yang singgah tak pernah lekang dengan derita. Kata ibu, aku anak gadis yang cukup cantik. Kerana kecantikan itu, ibu melarang aku keluar sendirian. Berjaga-jaga kata ibu. Kata ibu lagi, kamu tidak tahu bila dan di mana kamu akan terserempak dengan haiwan. Lagi kata ibu, kalau kamu keluar, kamu belum tentu akan pulang. Oh ya... waktu itu aku agak rapat dengan Rachel Corrie. Ya Rachel. Pernah kamu terbaca mel elektronik Rachel dari Gaza? Tentang betapa derita kami anak-anak Palestin hidup di celahan puing bangunan yang runtuh dibedil rejim Zionis. Kadang-kadang aku tertawa dengan gelagat Rachel dengan lidah Inggerisnya sewaktu Rachel cuba menuturkan perkataan Arab. Rachel, gadis Inggeris yang berhati waja. Kadang-kadang aku rasakan dia itu lebih memahami kami berbanding saudara-saudara seagama dengan kami.

“Kaif Bush? Kaif Sharon?” tanya anak-anak kecil termasuk adik kepada Rachel. “Bagaimana Bush? Bagaimana Sharon?” Rachel kulihat menggaru kepalanya.“Bush majnoon, Sharon majnoon.” Pecah ketawa kami waktu Rachel mengatakan Bush dan Sharon gila dengan lidah Inggerisnya. Ya, barang kali Rachel benar. Bush gila, Sharon gila. Sewaktu Sharon diserang angin ahmar, kami jangkakan penggantinya mungkin akan punya dasar yang lebih lembut daripada Sharon. Ya, aku silap. Kalau Rachel masih hidup, barang kali anak-anak kecil akan bertanya, “Kaif Bush? Kaif Sharon? Kaif Olmert?” Mungkin akan segera disambut Rachel, “Bush majnoon, Sharon majnoon, Olmert majnoon.” Dan akan segera pula kami sambut dengan derai ketawa yang mungkin dihantar angin Mediteranean sampai ke Tel Aviv. Suatu ketika Rachel diserang selsema. Makcik Aisyah menjaga Rachel seolah-olah anak sendiri. Ya, Rachel sangat baik. Kadang-kadang aku rasakan dia lebih mulia daripada aku sendiri. Masakan tidak, dari Amerika dia ke sini, ke Rafah yang langitnya tidak pernah sunyi daripada peluru dan roket buatan negaranya sendiri. “Saya aktivis keamanan,” kata Rachel sewaktu mengunjungi rumahku yang hanya beberapa blok jauh dari kediamannya. Oh ya, Makcik Aisyah dan Rachel. Sering makcik tanyakan pada Rachel tentang ibunya, mengingatkan Rachel supaya menghubungi mereka, sampai suatu ketika Makcik Aisyah memeluk Rachel bila Rachel maklumkan bahawa ibunya berterima kasih kerana sudi menjaganya persis anak sendiri. Ya, Rachel... Aktivis keamanan yang mengorbankan segala bentuk kesenangan untuk bersama kami di Rafah. Beberapa bulan selepas ibu dan ayah membawa kami pindah ke Khan Younis, kami menerima berita Rachel mati dibunuh Zionis. Di saat-saat akhir hidupnya, Rachel dengan berani mendepangkan tangan di hadapan bulldozer yang sedang mara untuk merobohkan blok penempatan penduduk Arab Palestin. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Makcik Aisyah. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Nidal, jiran aku yang telah fasih berbahasa Inggeris dek didikan Rachel. Akhirnya mereka terdiam, Makcik Aisyah menangis. Nidal menangis. Tubuh Rachel pecah digilis bulldozer dan blok bangunan tetap hancur. Begitu yang diceritakan kepadaku oleh beberapa teman yang berpindah ke Khan Younis selepas peristiwa tersebut. Rachel, gadis manis, aktivis keamanan dan teman baru yang sanggup mati kerana kami.

Adik: Kakak! Kakak! Saya mahu jadi Izrail!

Adik mematikan lamunanku lalu menghalau kenanganku bersama Rachel Corrie. Seyum aku pada adik. Kamu boleh lihat kecederaan fizikal, emosi dan mental pada setiap batang tubuh anak-anak kecil di bumi berdarah Gaza. Zionis punya seribu satu cara untuk membuatkan kami menderita. Saban hari kamu akan mendengar berita tentang kematian. Barang kali dunia punya telinga yang pekak dan mata yang buta. Bukan, bukan. Aku patut kata dunia hanya pura-pura buta dan pekak. Selepas penangkapan Koperal Gilat Shalit, dunia bising dan nama Shalit disebut di merata dunia. Selama ini, berapa ribu rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang diculik tapi langsung tidak dipedulikan dunia? Malah nama mereka langsung tidak disebut. Mereka pengganas! Sejak bila mempertahankan tanah milik sendiri dikatakan suatu tindakan keganasan? Ratusan tahun tanah Palestin dikongsi bersama perlbagai kepercayaan. Kamu boleh lihat gambar-gambar jemaah haji Kristian yang berbaris dengan ranting zaitun di tangan aman berarak sebelum Zionis menjarah bumi Palestin. Barang kali, kamu akan lebih percaya dengan melihat kesungguhan Yahudi Ortodoks yang turut sama membantah penubuhan Israel bersama kami penduduk Palestin. Zionisme, barah kemanusiaan. Zionisme lahir lewat pemikiran Herzl dan Weizmann dan bukannya Taurat. Kalau kamu rajin meneliti sejarah, sewaktu pengisytiharaan Israel, bukan sedikit yang membantah malah George Marshall, Setiausaha Amerika tegas memberi amaran kepada Presiden Truman. Kata Marshall, “kalau kamu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, dan saya punya peluang untuk mengundi dalam pilihan raya, saya akan menggundi keluar kamu!” Ah! Sejarah begitu, siapa yang mahu peduli?

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.
Afya: Jangan! Izrail sibuk di Gaza.
Adik: Kenapa?
Afya: Sibuklah, banyak kerja. Ramai yang meninggal setiap hari.
Adik: Nak juga, nak juga! Adik nak jadi Izrail juga.

Entah bila Afya masuk ke khemah kami. Sepupuku ini memang rajin mengusik adik. Penderitaan sinonim dengan adik. Penderitaan sinonim dengan Afya. Penderitaan sinonim dengan aku. Penderitaan sinonim dengan seluruh penduduk Gaza. Jangankan adik, malah Afya, aku dan seluruh penduduk Gaza mahu jadi Izrail supaya lekas kami bebaskan tanah berdarah ini daripada Zionis. Zionis punya seribu satu cara untuk menjadikan kami derita. Pernah suatu pagi, aku dan Afya sudah agak lewat untuk ke sekolah. Semalam suntuk kami tidak dapat melelapkan mata setelah Zionis mengumumkan operasi mencari pejuang Palestin dari pintu ke pintu di kawasan penempatan kami. Berlari. Afya di sebelahku. Berlari. Terhenti. Di hadapan kami parit sedalam empat meter merentangi jalan raya. Di bahu kiri dan kanan jalan kawat berduri menghalang yang tidak memungkinkan kami untuk lulus lepas ke sekolah. Lagi. Kamu tidak dapat bayangkan betapa mewahnya pandangan anak-anak kecil dengan ketakutan sewaktu deruman jet melintasi bumbung rumah mereka. Siapa tahu, itu mungkin giliran mereka untuk menjadi cebisan daging. Lagi. Lori-lori sampah disekat daripada mengutip sampah di kawasan kediaman kami. Natijahnya kawasan persekitaran kotor, menyebabkan kami lebih terdedah kepada penyakit. Lagi, oh tembok aparteid... Mungkin kamu sudah biasa dengar betapa perjalanan yang suatu ketika dulu mengambil masa yang singkat menjadi berganda jauh. Tembok itu juga menyebabkan sanak-saudara yang dahulu tinggal bersebelahan terpisah seolah-olah berada di dua buah negara yang berlainan. Lagi? Pernah Afya ceritakan kepada kami, jirannya sampai terpaksa minum dan masak menggunakan air akuarium kerana bimbang ditembak jika keluar mengambil air di telaga umum. Lagi, lagi dan lagi. Episod kekejaman Zionis ini masih berterusan dan belum menemui noktah.

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.

Siapa pun mahu jadi Izrail di bumi berdarah Palestin. Setiap hari kami hampir pasti bahawa Izrail berlegar di sekitar kami, cuma yang tidak kami pasti ialah giliran kami berhadapan dengannya yang hanya menjadi rahsia Tuhan. Entah, aku pun tak pasti. Pertolongan hanya sekali-sekala menjengah kami di Palestin. Entah, barang kali kami hanya menunggu turunnya Isa alahissalam. Entah, barang kali kami hanya menanti turunnya Imam Mahdi. Kami terlampau sangat memikirkan tentang kematian. Tentang Izrail! Tidak banyak yang dapat kami lakukan. Kebelakangan ini sedikit sedih... Bila HAMAS dan Fatah bertembung, dari Tel Aviv dapat kami dengar sayu tepukan gemuruh penjajah Zionis. Banyak nyawa yang terbazir lewat pertembungan itu. Mereka ini kenapa? Kita ini makin lemah bila berbalah berkenaan soal kecil. Sedar! Sedar! Sedar!

***
Anak-anak kecil berlari ke pintu masuk Kem Khan Younis. Sekejap-sekejap muncul kelibat anak kecil dari celahan khemah. Lelaki dan wanita berbondong-bondong mengerumuni pintu masuk itu. Sedikit demi sedikit sampai kawasan kecil itu penuh dengan rakyat Palestin tua muda yang menjadi pelarian di negara sendiri. Di hadapan kami, dua orang ibu tua meraung-raung sambil mendakap tubuh kecil yang sudah hilang nyawa. Suasana menjadi kacau. Adik merentap-rentap tanganku. “Kakak, adik mahu jadi Izrail!” Adik memandang tepat ke mataku. “Kakak, kakak! Adik mahu jadi Izrail!”

Selesai.



Photo Hosted at Buzznet


Untuk lebih memahami cerpen ini:
1) Terkini Palestin: http://palestinkini.info/index.php
2) Mel elektronik Rachel Corrie: http://www.rachelcorrie.org/emails.htm
3) Yahudi menentang Zionisme: http://www.nkusa.org/

Friday, November 17, 2006

Kamu Tidak Patut Menampar Leher Saya

Photo Hosted at Buzznet




**Skrip ini telah ditulis untuk eSastera.com.
Kamu Tidak Patut Menampar Leher Saya

Zara: Menurut kepercayaan kamu, jika saya mati seminit yang lalu, saya akan masuk neraka?

Aku: Ya. Dalam kepercayaan kamu, sesiapa yang melakukan dosa juga akan dihukum Tuhan bukan? Kamu juga berpendapat saya akan ke neraka jika saya mati seminit yang lalu, bukan?

Senyap. Kafeteria hospital yang hiruk pikuk dengan suara pesakit dan keluarga melatari perbualan kami. Hisyam yang berada disisiku sibuk menghirup kopi panas. Zara, semenjak kami ditempatkan dalam hospital yang sama untuk sesi klinikal kursus perubatan memang tidak putus-putus menyoalku tentang Tuhan, tentang malaikat, syurga, neraka. Cantik, dia memang cantik. Mata bundar coklat hazel, rambut lurus dan sedikit perang paras bahu, kulit putih sederhana yang bukan tipikal milik majoriti Kaukasia. Dia peranakan, bapanya Kaukasia sementara ibunya seorang Pakistan. Pernah aku berseloroh dengan Hisyam, aku mungkin mengakhiri zaman bujangku dengan Zara. “Kenapa? Kau kecewa dengan perempuan Melayu?” ketawa. Hisyam arif tentang kekecewaanku. Dialah yang memujukku sewaktu pinanganku ditolak oleh seorang perempuan yang sampai kini aku hormati. Kata Hisyam, “Bunga bukan sekuntum. Ribu-ribu lemon.” “Tipikal, tipikal.” Kataku. “Bunga memanglah bukan sekuntum, tapi kumbang sekacak aku takkan mahu hinggap sesuka hati.” Hisyam menampar bahuku. Kami ketawa. Entah, kalau tiada Hisyam barang kali pengajianku sudah terbantut, mungkin sekarang aku berada di tanah air mengusahakan ladang lembu daging. Aku senyum sendiri.

Zara: Kenapa senyum?

Serentak dengan pertanyaan Zara itu, Hisyam yang dari tadi melemparkan pandangnya ke taman hospital berpaling kepadaku.

Aku: Tak ada apa-apa.

Zara: Saya enggan percaya. Mana mungkin Tuhan akan menghukum hambanya. Bukankah Tuhan Maha Pengasih?

Aku: Kamu juga percaya Tuhan boleh buat apa saja bukan? Dalam kitab kamu juga, Tuhan pernah menghukum sekumpulan manusia yang berdosa. Sana, lihat sana.

Aku menudingkan jari ke arah The Deluge karya Michelangelo yang tergantung di dinding kafetaria. Lukisan yang cukup terkenal mengenai banjir besar yang menimpa kaum Nuh. Hisyam dan Zara serentak berpaling ke arah The Deluge.

Aku: Jadi, Tuhan pernah menghukum kaum Nuh. Apakah kamu bermaksud mengatakan Tuhan kamu maha zalim sewaktu menghukum kaum Nuh? Jelasnya, kalau kamu tidak mahu percaya amaran Tuhan dan kamu masih terus-terusan melakukan sesuatu yang dibenci Tuhan, kamu memang patut dihukum. Sebagaimana jika kamu melanggar lampu merah di persimpangan jalan raya.

Hari yang sibuk. Pesakit tidak putus-putus membanjiri hospital. Seperti aliran anak sungai yang tidak mahu kering baik kemarau atau tengkujuh. Bukan-bukan. Ini Australia. Aku patut kata, seperti aliran anak sungai yang tidak mahu kering baik musim panas, bunga, sejuk atau luruh. Ya. Begitulah. Baru sebentar tadi, aku dan Zara disuruh melakukan ujian Peak Flow Meter ke atas seorang perempuan tua Kaukasia. Selepas diberi bronchodilator, ada kemajuan besar dalam ujian itu. Mudah, kataku. Jelas-jelas obstructive airway disease. Sebenarnya yang mahu aku cerita bukan berkenaan perempuan tua dan bronchodilator. Yang mahu aku ceritakan adalah berkenaan perempuan tua, aku dan Zara. Usai ujian Peak Flow Meter, perempuan tua memandang tepat ke mataku. “Kamu sangat kacak dan sangat sopan anakku,” aku senyum. Barang kali Zara perasan akan telingaku yang kemerah-merahan. Mukaku memang cepat merah apabila dihurung malu. “Ya, dia yang paling sempurna yang pernah saya jumpa.” Kata Zara. Barang kali dia mahu menjadikan mukaku lebih merah. “Dia istimewa buat kamu?” tanya perempuan tua kepada Zara. “Amat.” Perempuan... Memang cepat melalaikan. Aku lekas memenuhkan kotak fikiranku tentang betapa mendesaknya keperluan untuk mengawal emosi terhadap wanita. Lekas aku memberi amaran kepada diri sendiri, mengingatkan diri mengapa aku sering berpuasa Isnin dan Khamis. Ya, saranan nabi untuk sesiapa yang tidak mampu berkahwin. Barang kali kamu pernah membaca berkenaan Mark Antony yang membunuh diri kerana Cleopatra. Atau mungkin Shah Jahan yang menjadi tidak keruan lewat kematian Mumtaz Mahal. Bagaimana dengan Romeo dan Juliet lewat karya William Shakespeare? Atau Layla dan Majnun dari Timur Tengah? Pokoknya, segala kisah itu adalah berkenaan kamu yang menjadi tidak keruan akibat wanita. Bukanlah aku bertujuan mengatakan perempuan penyebab kamu menjadi tidak berguna. Kamu juga boleh menjadi fitnah kepada perempuan. Sama kedua-duanya. Asalkan kamu melanggar tatacara yang ditetapkan Quran dan Sunnah, kamu akan lihat produknya nanti. Percayalah. Oh Zara... Memang, kalau kamu tanya padaku, akan aku jawab, malah dia itu kadang-kadang aku rasakan lebih baik akhlaknya daripada wanita Islam. Dalam masa yang sama aku juga cukup maklum berkenaan dengan ayat 221 daripada Surah Al-Baqarah, sesungguhnya budak yang mukmin lebih baik daripada seorang musyrik walaupun dia menarik hatimu.Tuhan awal-awal lagi memberi amaran kepadaku.

“Aku takut kepada kamu, kamu cuba mengislamkanku. Yang benar: Zara” Malam itu aku jadi kaget setelah menerima SMS daripada Zara. Soalnya, dari mana dia perolehi nombor telefon bimbitku. “Hisyam!” Hisyam kelam kabut mendapatkanku di ruang tamu setelah namanya dijerkah.

Hisyam: Kenapa?

Aku: Kau bagi nombor aku kepada Zara?

Hisyam: Sumpah aku tak bagi. Dia minta, aku kata, minta kau sendiri.

“Aku tidak bermaksud sedemikian. Kamu yang mula-mula bertanya tentang Jesus menerusi kaca mata agamaku. Malah kamu terus bertanya tentang Nuh yang berbogel di dalam kitab kamu sampai kepada lain-lain peristiwa yang kamu ragui. Aku cuma menjawab soalan kamu dan membela nabi-nabiku dan kamu, langsung meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya.” Balasku.

Seminit kemudian aku menerima SMS. “Tak mengapa. Aku cuma ingin maklumkan, kamu memang kacak. Perempuan Kaukasia tadi tidak berbohong.” Perempuan! Barang kali puasa Isnin dan Khamis yang sering aku laksanakan sudah tidak memadai untuk mendamaikan emosiku. Barang kali aku perlu berpuasa selang sehari. Kacau. Betapa benarnya saranan nabi bahawa perkahwinan lebih mampu menundukkan pandangan. Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata sampai dinihari.

***

Dua tanganku bertukar menjadi sosej ayam. Dua kakiku pula menjadi sosej lembu. Dibakar dua tanganku dan dua kakiku dalam api yang menggila. Panas. Dalam suasana yang serba kalut itu belakang tengkukku ditepuk kuat. “Allah!” Jeritku. “Aku bukan Allah Tuhan kamu, aku Zara.” Zara ketawa.

Aku: Zara, saya tidak suka dengan kenyataan begitu. Dan kamu tidak patut menyentuh saya.

Zara: Maaf, saya tak akan buat lagi.

Aku: Tak mengapa. Kamu perlu faham saya seorang Islam. Saya menghormati kamu menurut agama saya. Saya tidak pernah menyentuh kamu seingin saya. Saya tidak suka bergaul bebas. Malah seperti yang kamu lihat, saya tidak pernah bercakap dengan teman-teman berlainan jantina tanpa keperluan. Bukan kerana saya anti sosial, tetapi kerana saya dilarang berbuat sedemikian dan saya sangat menghormati kamu dan lain-lain.

Zara tunduk. “Baik, saya tidak akan mengganggu kamu lagi.” Zara berlalu pergi meninggalkan aku dan Hisyam di pusat sumber maklumat Monash Medical Centre. Apa yang telah aku cakap? Barang kali aku terlampau keras. Dia patut faham, aku baru terjaga daripada tidur. Sudah tentu apa yang aku ucapkan gagal aku tapis betul-betul. Hisyam memandang tepat ke mukaku.

Aku: Kenapa kau tengok-tengok?

Hisyam: Tak ada apa-apa.

Aku: Apa kau rasa?

Hisyam: Biarkan...

Sejak peristiwa pagi tadi sampai jam 6.00 petang sekarang ini, tak aku nampak batang hidung Zara. Hari ini hari terakhir sesi universiti sebelum cuti musim panas bermula. Mungkin aku perlu mohon maaf pada Zara. “Maaf. Saya baru terbangun daripada tidur selepas bermimpi menjadi sosej sewaktu di pusat sumber maklumat tadi.” Begitulah SMS yang aku tulis dan hantar kepada Zara sebelum aku menghidupkan enjin kereta untuk meninggalkan perkarangan Monash Medical Centre petang Jumaat itu. “Tak mengapa. Selamat bercuti.” Balas Zara. “Cepatlah jalan!” Bentak Hisyam yang duduk di sisiku.

Sudah seminggu cuti musim panas bermula. Sekarang aku di ladang ceri, bekerja sebagai buruh pemetik buah ceri, kerja biasa kami bila bermulanya cuti musim panas. Tahun ini pohon ceri tidak berapa galak berbuah kerana cuaca yang terlampau sejuk. Semalam hujan lebat. Aku patut kata hujan batu yang lebat. Penuh tapak perkhemahan kami dengan kristal-kristal jernih. Hari ini masih hujan, Cuma tidaklah segila semalam. Aku dan Hisyam kesejukan dalam khemah. Hujan-hujan begini, kami tidak keluar memetik ceri. Ceri yang telah bercerai daripada pokok akan mudah pecah jika ditimpa hujan. Bagus juga. Dapat kami bersembang tentang segala macam perkara baik di bawah atau di atas langit sambil menghirup teh panas dan menikmati biskut kering cap Ping Pong. Kata Hisyam biskut kering cap Ping Pong itu dia beli di kedai Asian Grocery tidak berapa jauh dari rumah kami di Clayton. Kami bercerita tentang pelbagai perkara. Daripada Altantuya Shaariibuu, rakyat Mongolia yang dibunuh itu sampailah usaha pembentukan kerajaan perpaduan di Palestin. Kami juga bercerita tentang konsep ketuhanan yang sibuk dibidaahkan oleh seorang agamawan di Australia ini. Daripada situ habis kami telusuri pandangan Dr Asri sampai kepada Imam Ahmad tentang tauhid nama dan sifat Allah. Sehingga kami sampai kepada kesimpulan bahawa pegangan yang paling selamat dalam aqidah adalah jalan yang ditempuh salaf. Sampai-sampai Imam Abu Hassan AlAsy’ari dalam kitabnya Maqalat Islamiyyin wa Ikhtilaf Mushallin menyebutkan aqidah Ahlus Sunnah Ashabul Hadith adalah aqidah Imam Ahmad bin Hambal. Beliau juga menyebut bahawa beliau berjalan di atas jalan Imam Ahmad dan mengikuti serta menyeru aqidahnya.

Hangat perbincangan itu terganggu dengan nasyid Jalan Bahagia dendangan Hijjaz dari telefon bimbitku. SMS. Daripada Zara. “Saya sekarang seorang Muslim.” Aku terkejut. Hisyam dua kali ganda lebih terkejut daripada aku. “Betul?” Aku cuba mendapatkan kepastian dengan menghantar pertanyaan itu kepada Zara. Tidak sampai sesaat, aku menerima SMS balas. “Maaf, mesej anda tidak dapat dihantar kerana kekurangan kredit.” Bukan sekarang! Bentak hatiku! “Jadi, sekarang kau hendak jadikan Zara isteri kau?” tanya Hisyam. Di luar masih hujan sedang kami kesejukan di dalam khemah.

Selesai.