Monday, May 22, 2006

To whom it may concern

Kepada yang berkenaan,

Pertambahan Bilangan Taik dan Bayi Luar Nikah di Tandas Awam

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk pengetahuan pihak tuan, bilangan taik semakin banyak di tandas awam milik saya. Dicampur dengan kebodohan rakyat negara ini yang tidak diajar berak dengan betul, maka masalah saya semakin rumit. Setiap hari ada sahaja taik yang perlu saya basuh bagi menjamin tandas awam milik saya bersih dan segar. Taik ini usah katalah, busuknya tidak dapat saya gambarkan dengan menulis surat ini. Oleh itu saya sertakan sampel taik yang diberak oleh seseorang pada pagi ini. Saya berharap agar pihak tuan dapat mencium bau taik yang saya sertakan bersama surat ini dan saya tidak bertanggungjawab sekiranya pihak tuan mati kebuluran akibat tidak lalu makan. Saya berpendapat anak-anak muda kita semakin kehabisan nilai-nilai akhlak. Mereka gemar melepak di sekitar kawasan kompleks membeli belah kemudian apabila sakit perut datang berak di tandas jagaan saya tanpa membasuh taik kepunyaan mereka. Saya memohon untuk menaikkan harga masuk tandas awam daripada 20 sen kepada 2 ringgit memandangkan mencuci taik mereka bukanlah kerja senang. Saya yakin bahawa taik mereka sangat busuk kerana mereka makan benda-benda yang haram datang daripada duit haram. Untuk pengetahuan pihak tuan, saya juga mengalami stress yang amat sangat sehingga mengalami gangguan emosi. Segala jenis makanan kelihatan seperti taik kepada saya. Berikutan kenaikan harga minyak, maka saya fikirkan adalah wajar permintaan saya dipertimbangkan.

3. Seiring dengan kemajuan negara dan pertambahan taik, anak luar nikah juga semakin bertambah. Setiap hari ada sahaja bayi yang saya jumpai dalam mangkuk tandas. Saya kesian juga kepada bayi-bayi itu, mereka sepatutnya minum susu bukannya makan taik. Taik ini bukanlah sesuatu yang sedap untuk dimakan dan menurut seorang doktor yang sangat saya kagumi, iaitu Dr Mohd Hafez Iftiqar, taik tidak bagus untuk kesihatan bayi. Mungkin Dr Hafez telah menipu saya, sebab saya pernah melihat arnab saya memakan taiknya semula. Apa pun, memandangkan taik yang ada di tandas awam saya sangat busuk, saya yakin Dr Hafez telah bercakap benar. Masalah dengan anak luar nikah yang ada dalam lubang jamban ini, mereka mengganggu taik-taik daripada disalirkan ke dalam tangki taik. Disebabkan itu taik telah melimpah-limpah keluar seperti mata air memenuhi lantai tandas awam saya. Saya menyarankan pihak kerajaan menghukum keras mereka yang bersetubuh secara haram dan akhirnya mencampakkan anak luar nikah dalam jamban ini. Mungkin mereka boleh disebat 100 kali di khalayak umum atau dibaling batu sampai mati. Jika kerajaan tidak bersetuju, mungkin boleh disediakan tong sampah kitar semula di hadapan tandas awam saya supaya bolehlah nanti remaja-remaja kita membuang anak mereka dengan mudah. Saya juga menyeru supaya pembangkang jangan pandai cakap sahaja dalam melaksanakan hukuman keras terhadap mereka ini kerana saya sudah tidak tahan dengan limpahan taik yang melampaui kebiasaan ini.

3. Memandangkan masalah taik yang semakin serius ini, saya juga ingin menyarankan kepada semua parti politik supaya memasukkan kesungguhan usaha membenteras kebanjiran taik-taik di kalangan masyarakat dalam manifesto pilihanraya mereka. Mana-mana kerajaan baik pusat atau negeri, saya cadangkan supaya mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Taik dan Tandas Awam, begitu juga dengan kerajaan negeri, mungkin boleh mewujudkan Exco Taik dan Tandas Awam. Saya berjanji akan memangkah mana-mana parti yang meletakkan usul ini masuk ke dalam manifesto mereka. Di peringkat NGO, saya cadangkan supaya diwujudkan persatuan yang khusus untuk mendidik anak-anak remaja kita berak dengan beretika. Saya sukarela untuk mengajar mereka mencuci tandas awam dan mengenali jenis-jenis taik yang mungkin membanjiri tandas awam. Saya juga lebih daripada rela untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Taik jika ditawarkan dan saya berjanji tidak akan menerima rasuah daripada mana-mana remaja yang berak atau pun daripada mana-mana penjaga tandas awam.

4. Perut saya sangat sakit sekarang ini. Sebelum saya pergi berak, sekali lagi saya memohon pihak tuan untuk mengambil serius soal taik dan bayi luar nikah yang terpaksa makan taik sebaik dilahirkan. Bersama-sama surat ini saya letakkan taik yang telah saya janjikan tadi. Jika pihak tuan masih belum berpuas hati dengan sampel taik yang saya sertakan, mohon dimaklumkan kepada saya supaya dapat saya kirim taik-taik yang lain. Segala kerjasama pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Yang benar,

Mamut bin Mumut
(Penjaga Tandas Awam)

Sunday, May 14, 2006

Syirik, Kufur dan Nifaq (2)

Syirik, Kufur dan Nifaq
Evolusi Syirik Di Masa Nuh dan Selepasnya

Selepas berlakunya syirik di kalangan umat Nuh a.s, Allah SWT telah menghantar Nuh a.s sebagai Rasul pertama yang mengajak mereka kepada mengesakan Allah dan melarang menyekutukan Allah (berbuat syirik). Dalil Nuh a.s sebagai Rasul pertama ada dalam sahih Bukhari dan Muslim (rujuk sebelum ini). “Sesungguhnya manusia telah pergi selepas Adam kepada Nuh pula seraya berkata kepadanya: Ya Nuh, sesungguhnya kamu adalah Rasul pertama kepada penduduk dunia (anta awwali-l rusul ila ahli-l ardh) dan Allah telah memanggilkan kamu sebagai hamba yang bersyukur...”

Bentuk dakwah nabi Nuh adalah tauhid: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: “Hai kaumku, berabdilah (sembahlah) oleh kamu kepada Allah, (kerana) tiada tuhan bagimu selain Dia. Maka mengapakah kamu tidak bertakwa (kepadaNya)?” (AlMukminun, 23).

Golongan yang mengikut Nuh a.s adalah golongan lemah sementara pembesar-pembesar merasa bijak dan pintar lalu sombong dan takabbur serta tidak dapat menerima mengenai Rasul yang diutus itu hanya manusia biasa seperti mereka. “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: Kami tidak melihat kamu melainkan sebagai manusia biasa seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu melainkan orang-orang yang hina di antara kami yang lekas percaya (kepada kamu)” (Huud, 27).

Allah memberi peluang kepada kaum Nuh dengan masa yang panjang untuk menilai dakwah Nuh a.s: “Maka ia tinggal (hidup) di antara mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun.” (AlAnkabut, 14).

Nuh a.s kemudiannya mendoakan kehancuran kepada mereka: “Nuh berkata: Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan anak kecuali yang membuat maksiat lagi sangat kafir.” (AnNuh 26-27)

Allah hancurkan kaum Nuh dengan banjir besar: “Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh tatkala mereka mendustakan Rasul-rasul. Kami telah menenggelamkan mereka (iaitu dengan air bah yang amat besar).” (AlFurqan, 37)

Dunia bersih daripada golongan yang ingkar. Yang terselamat hanyalah Nuh dan pengikut-pengikutnya yang mentauhidkan Allah: “Maka kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami jadikan mereka itu pengganti-pengganti (yang tinggal menghuni bumi).” (Yunus, 73).

Berlaku penyelewengan aqidah kepada umat selepasnya sehingga Allah mengutuskan lagi Rasul: “Kemudian kami jadikan sesudah mereka umat yang lain. Lalu kami utuskan kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri.” (AlMukminun, 31-32)

Begitulah yang terjadi sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad bin Abdullah: “Kemudian Kami utuskan (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut. Setiap kali rasul itu mendatangi kaumnya, maka mereka telah mendustakannya. Maka kami datangkan kaum yang lain satu demi satu berturut-turut . Dan kami jadikan kisah mereka sebagai cerita-cerita (yang memberi pengajaran). Maka binasalah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.” (AlMukminun, 44).

Dakwah para Rasul adalah satu iaitu kepada aqidah tauhid walau pun berbeza dari segi syariat. Dan jelas urusan berkaitan tauhid perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum yang lain-lain dan inilah yang sepatutnya menjadi paksi seruan para pendakwah.

Kategori Syirik

Syirik besar.

Menjadikan, menyekutu, menyembah, atau mengabdikan kepada tuhan yang lain disamping Allah. Tidak disyaratkan yang menjadi sekutu itu sama taraf dalam semua perkara, jika menyamakan Allah dengan satu kualiti yang ada pada makhluk, maka syirik telah berlaku. “Demi Allah sesungguhnya kita dahulu (di dunia) dalam kesesatan yang nyata kerana kita mempersamakan kamu (sembahan-sembahan mereka) dengan Tuhan semesta alam.” (AsSyua’rak, 97-98). Persamaan dalam ayat bermaksud dari segi kasih, takut, pengharapan, taat, patuh bukan dari segi menciptakan makhluk-makhluk kerana mereka juga percaya keesaan Allah dalam mencipta makhluk.

Syirik besar adalah dosa paling besar. Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah mengenai dosa yang paling besar. Jawab Rasulullah: “Iaitu menjadikan bagi Allah sekutu atau tandingan yang lain padahal Dialah yang mencipta kamu.” (dalam Sahih AlBukhari). “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Luqman, 13).

Syirik ini menyebabkan segala amalan tertolak. “Sekiranya mereka menyekutukan Allah nescaya hapuslah dari mereka segala amalan yang mereka kerjakan.” (AlAn’am, 88)

Kekal dalam neraka dan tidak diampunkan oleh Allah. “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa sesiapa yang syirik terhadapNya dan Dia mengampuni dosa selain dari (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.” (AnNisa’, 48)

Diharamkan syurga baginya. “Barang siapa yang mensyirikkan Allah maka pasti Allah mengharamkan baginya syurga dan tempatnya ialah dalam neraka.” (AlMaidah, 72).

Syirik oleh itu sama sahaja balasannya dengan orang yang kafir dan murtad. Allah hanya mengampuni dosa orang yang berbuat syirik dengan mereka bertaubat di dunia dan mengikhlaskan diri mereka dengan taubat tersebut.

Amalan-amalan yang Membawa Kepada Syirik.

Berlebih-lebihan memuja orang-orang salih termasuk nabi-nabi. Ini juga merupakan permulaan syirik sebagaimana umat Nabi Nuh a.s. Contoh lain Yahudi dan Nasrani yang meninggikan taraf nabi mereka sampai ke tahap uluhiyyah. “Berkata golongan Yahudi bahawa Uzair adalah anak lelaki Allah dan berkata golongan Nasrani bahawa AlMasih adalah anak lelaki Allah.” (AtTaubah, 30)

Melampaui batas dalam memuji para rasul dan orang-orang yang soleh merupakan penyebab syirik. “Janganlah kamu meninggikan aku sebagaimana Nasrani meninggikan Ibnu Maryam (Isa)...Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah maka katakanlah olehmu: Abdullahu wa Rasuluh (hamba Allah dan RasulNya).” (Bukhari dan Muslim). Oleh itu kita tidak bersama dengan sebahagian golongan sufi yang sampai mengatakan Rasulullah mengetahui perkara-perkara ghaib. “Dan aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa): Di sisiku perbendaharaan Allah, aku tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat.” (Hud, 31)
*akan tambah daripada sini sahaja untuk yang akan datang.

Sunday, May 07, 2006

Syirik, Kufur dan Nifaq (1)

Syirik, Kufur dan Nifaq
Dikumpul dari beberapa kitab aqidah yang baik. InsyaAllah akan letak secara teratur mengenai 3 perkara ini. Enjoy!

Definisi Syirik.

Ibnu Faris seorang ahli bahasa mendifinisikan syirik sebagai ‘...menambah, tidak esa atau tunggal’. (Mu’jam Maqayis alLughah)

ArRaghib AlAsbahani (meninggal 425H): “Syirik didefinisikan sebagai mengadakan sekutu terhadap Allah.” (Mufradat AlQuran AlKarim, 452)

AlShawkani (meninggal 1255H): “Syirik ialah berdoa kepada selain daripada Allah dalam perkara yang hanya boleh diminta kepada Allah sahaja, atau mempercayai sesuatu objek mempunyai kuasa yang hanya dimiliki oleh Allah, atau melakukan perbuatan bagi mencari redha sesuatu objek dengan perbuatan yang hanya boleh disembahkan kepada Allah.”(AlDur AnNadid, 34).

Muhammad Ibn Abdul alWahab (meninggal 1206H): “...melakukankan perbuatan menyembah kepada selain Allah seperti meminta kepada Allah disamping selainNya, atau melakukan perbuatan menyembah yang telah diperintahkan oleh Allah kepada selain Allah.” (Mu’alafat alSaykh Muhammad Ibn Abdul Wahahab)

Juga didefiniskan sebagai: “mengadakan sekutu (nidd) terhadap Allah.” (Fatawa alLajnat alDaimah)

“... janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu (andad) bagi Allah padahal kamu mengetahui.” (AlBAqarah,22)

Telah bertanya Ibnu Mas’ud kepada Nabi (SAW): “Apakah dosa yang paling besar? Jawab baginda: Mengadakan sekutu (nidd) terhadap Allah walau pun Dialah yang telah menciptakan kamu.” (Bukhari nombor 4477, Muslim nombor 87)

AlAndad sama dengan syirik dan syirik itu lebih halus dari jalannya semut hitam di atas batu hitam di dalam gelap malam. (tafsir Ibnu Kathir berkenaan ayat 22 AlBaqarah)

Abu Ammaar Yasir Qadhi: “Oleh itu syirik melibatkan kepercayaan dalam menyekutukan Allah. Sekutu itu boleh jadi dalam soal ketuhanan (rububiyyah), atau dalam soal ibadah (uluhiyyah) atau dalam soal nama dan sifat (asma wal sifat). Dalam perkataan lain, syirik adalah memberi hak-hak Allah selain kepadaNya. Oleh itu, kepercayaan sesuatu objek mempunyai kuasa untuk mengabulkan keinginan seseorang adalah syirik. Begitu juga dengan sujud dan berdoa kepada selain daripada Allah adalah syirik. Dan kenyataan bahawa sesuatu makhluk mempunyai pengetahuan tentang segala perkara dan mendengar segala permintaan yang diminta kepadanya adalah syirik. Bila sahaja hak khusus Allah diberikan kepada mana-mana objek, tanpa mengira objek itu hidup atau tidak, ada atau sekadar imaginasi, syirik telah berlaku.” (Syarah Kashf alShubhat, Abu Ammaar Yasir Qadhi)




Generasi Awal Manusia Semuanya Adalah Pengamal Tauhid

“Dahulu manusia itu adalah umat yang satu...”, (AlBaqarah, 213)satu iaitu di atas tauhid dan agama yang hak. Ibnu Jarir AlTabari (meninggal 310H): Jadi Allah telah memaklumkan kepada kita dengan jelas di dalam Quran bahawa mereka ini (generasi-generasi awal) merupakan satu ummah di atas iman dan agama yang benar. Mereka tidak menolak Allah dan tidak terjatuh ke dalam syirik... Telah berkata Qatadah dalam menerangkan ayat ini, “mereka semua di atas petunjuk kemudian mereka telah berpecah di kalangan mereka.” (Tafsir AlTabari)

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengata: “ Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang tidak tahu terhadap ini (keesaan Allah).”(AlA’raf, 172). Persaksian (convenant) ini dikenali sebagai mi thaq (mim ya tsa alif qaf).

Kata Ibnu Abbas,”Allah telah mengambil perjanjian (mithaq) di Nu’man (sebuah lembah di luar Mekah) pada hari Arafat daripada sulbi (loins) Adam. Dia telah mengeluarkan daripada sulbi ini semua jiwa yang akan diciptakan, dan dia tebarkan mereka di hadapanNya dan bercakap kepada mereka secara terus, “Apakah Aku bukan Tuhan kamu?” (Diriwayatkan oleh Ahmad, AlNasai dalam AlKabir. AlHakim, AdDhahabi dan AlBani (Albani dalam Shahihah nombor 1623) mengatakan hadith ini sahih)

Dari riwayat lain, Umar Ibnu AlKhattab mengatakan: Aku telah mendengar Nabi SAW ditanya mengenai ayat ini (AlA’raf 172). Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah telah menciptakan Adam dan telah menggosok belakangnya dengan tangan kananNya dan telah menyebabkan seluruh keturunannya muncul...” (Malik dalam Muwatta’, Ahmad dalam Musnad. Sedikit lemah dalam rantai sanad tetapi boleh dinaikkan ke darjat hassan jika lain riwayat untuk hadith yang sama diambil kira)

Hadith Qudsi dari riwayat Muslim: “Sesungguhnya aku telah menjadikan hamba-hambaKu suci (di dalam aqidah mereka) kemudian mereka dipecah belahkan oleh Syaitan”.

Adam as telah diciptakan Allah dengan tanganNya sendiri dan telah mendidik anak cucunya dengan tauhid dan mengesakan Allah dalam segala jenis ibadah sehinggalah berlaku penyelewengan aqidah pada kaum Nuh a.s. Daripada Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW telah mengatakan bahawa di antara nabi Adam dan Nuh ialah ‘sepuluh kurun’ (disahkan oleh Ibnu Kathir bahawa riwayat ini menurut syarat Imam Muslim). (Qisasul AlAnbiya’ oleh Hafiz Ibnu Kathir, tahqiq Muhammad Ahmad Abdul Aziz).

Ibnu Abbas mengatakan: (jangka masa) antara Adam dan Nuh ialah 10 kurun kesemua mereka adalah di atas agama Islam.” (Sahih Bukhari)

Ibnu Taimiyah (meninggal 728H): Segala syirik boleh dinisbahkan sama ada kepada kaum Nuh atau kaum Ibrahim. Kaum Nuh telah beribadah kepada berhala dan orang-orang soleh dan suci, sementara kaum Ibrahim menyembah jasad-jasad di langit (celestial bodies) dan bintang-bintang. Oleh itu, mana-mana falsafah yang menyembah berhala atau mendewakan orang-orang suci dan nenek moyang adalah berasal daripada kaum Nuh dan falsafah-falsafah yang menyembah jasad-jasad di langit adalah berasal daripada kaum Ibrahim. (AlQaidah alJalilah fi Tawassul wa Wasilah, 18)

Permulaan Syirik


Nuh merupakan Rasul pertama yang diutuskan kepada manusia. “Sesungguhnya manusia telah pergi selepas Adam kepada Nuh pula seraya berkata kepadanya: Ya Nuh, sesungguhnya kamu adalah Rasul pertama kepada penduduk dunia (anta awwali-l rusul ila ahli-l ardh) dan Allah telah memanggilkan kamu sebagai hamba yang bersyukur...” (Bukhari, daripada Abu Hurairah nombor 556) [catatan: Nuh merupakan rasul pertama kepada manusia manakala Adam merupakan nabi pertama].

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Di antara Nuh dan Adam adalah 10 generasi, semua mereka adalah mengikut undang-undang (Allah), di atas kebenaran. Tetapi mereka telah berbeza (di kalangan mereka), jadi Allah menghantar rasul-rasul sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi amaran. (AlHakim dengan sanad Shahih)

Permulaan pemesongan aqidah adalah disebabkan berlebihan dan pemujaan terhadap orang-orang yang soleh. Terdapat dalam kaum Nuh orang-orang soleh yang bernama Wad, Suwak, Yaghuth, Ya’uuk dan Nasr. “Dan mereka berkata, jangan sesekali kamu meninggalkan tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu sesekali meninggalkan Wad, dan jangan pula Suwak, Yaghuth, Ya’uuk dan Nasr”. (Nuh, 23)

Ibnu Abbas ra: Ini adalah nama lima orang soleh yang hidup pada zaman Nuh. Apabila mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kaumnya untuk mengukir gambar mereka, yang telah mereka letakkan di tempat mereka berkumpul. Mereka tidak menyembah (ukiran-ukiran) sehingga generasi itu meninggal dan pengetahuan mengenainya hilang. Apabila ini berlaku, ukiran-ukiran ini akhirnya disembah (sebagai tuhan). (Bukhari, 4920)

Muhammad Ibn Ka’ab AlQuradhi (meninggal 120 H): Ini adalah 5 orang soleh di antara masa Adam dan Nuh. Apabila mereka meninggal, generasi seterusnya telah mengikut jejak langkah mereka dalam menyembah Allah. Iblis telah datang kepada mereka dan berkata: ‘Tidakkah kamu berduka atas kehilangan sahabat-sahabat kamu?’ Mereka menjawab: Ya. Berkata Iblis: ‘Bolehkah aku membuat imej mereka dan meletakkannya di hadapan kamu sewaktu kamu bersembahyang dengan itu apabila kamu memandang kepada mereka kamu akan mengingati mereka (dan ibadah mereka terhadap Allah)? Mereka menjawab: ‘Kami tidak mahu kamu meletakkan apa-apa di hadapan kami sewaktu kami bersembahyang.’ Bertanya Iblis: ‘Bagaimana jika diletakkan di belakang kamu?’ Mereka telah bersetuju dengan cadangan itu. Apabila masa berlalu dan generasi itu telah meninggal, generasi-generasi yang lain menggantikan mereka dan sekali lagi memberitahu mereka, ‘Mereka yang sebelum kamu telah menyembah imej-imej ini’. Dan mereka mula menyembah imej-imej itu sebagai berhala. (Diriwayat oleh Abu alShaykh dalam AlDhamah dan Ibnu Mardawayh dalam Tafsirnya. Walau pun sedikit lemah dalam rantai sanad, riwayat Ibnu Abbas mengesahkan riwayat ini).

Faktor Penyebab Syirik

Berlebihan mengangkat martabat orang-orang soleh dan benda-benda. “Katakanlah hai ahli kitab, janganlah kamu berlebihan dalam agamamu selain dari yang hak, dan janganlah mengikuti hawa nafsu suatu kaum yang tersesat sebelummu bahkan menyesatkan sebahagian besar dan telah tersesat dari jalan yang lurus (AlMaidah 77)

“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu dan janganlah kamu mengatakan tentang Allah kecuali yang benar...” (AnNisa’ 171)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu memujaku berlebih-lebihan sebagaimana orang-orang Nasrani memuja Isa Putera Maryam kerana aku hanya seorang hamba, maka katakanlah: Hamba Allah dan PesuruhNya. (faqulu a’bdullahi wa rasuuluh) [Tafsir Ibnu Kathir mengenai AnNisa’ 171].

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Anas Bin Malik bahawa seorang pemuda telah datang kepada Rasulullah SAW dan telah memanggilnya dengan kata-kata: “Hai Muhammad, tuan kami dan putera tuan kami dan orang terbaik di antara kami dan putera orang terbaik di kalangan kami.” Lalu baginda bersabda: Berhati-hatilah dengan kata-katamu, janganlah kamu tergoda dengan syaitan. Aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan RasulNya, demi Allah aku tidak suka kamu mengangkatku menempatkan aku di atas (melebihi) tempat dan kedudukan yang diberikan Allah kepadaku. [Ibnu Kathir dalam tafsir AnNisa’ 171]

Ibnu Qayyim: Penyebab utama kepada penyembahan berhala ialah berlebihan terhadap makhluk. Jadi seseorang diangkat melebihi martabat sebenarnya sehingga dia disembah. (Ighatha alLahafan)

Mengikut penyeleweng dan orang yang terseleweng yang membawa kepada kesesatan. Orang umum cenderung mengikut ketua dan orang-orang yang pandai berbicara. Wujud ramai penyeru-penyeru begini dan mereka memiliki kebijaksanaan dan malah boleh mengeluarkan bukti baik dari ‘dalil’ atau logik. Jadi tidaklah mengejutkan mereka boleh mempengaruhi ramai orang awam yang jahil lagi malas berfikir seperti yang terjadi kepada pengikut Ayah Pin.

Bukti daripada Quran dan kisah-kisah umat terdahulu. Kisah umat Hud as: “Berkata pemuka-pemuka (chiefs) yang kafir dari kaumnya (kaum Hud): “Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.” (AlA’raaf, 66)

Kisah kaum Thamud (Shaleh a.s): “Pemuka-pemuka yang menyombong diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu (adakah kamu benar-benar pasti) bahawa Shaleh di utus (menjadi rasul) oleh Tuhannya? Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Shaleh diutus untuk menyampaikannya.” Orang-orang yang menyombong diri berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu.” (AlA’raaf, 75-76)

Dialog antara kaum lemah (pengikut) dan pemuka-pemuka mereka. Di hari pengadilan orang-orang yang telah mengikut secara buta ketua-ketua yang menyeru kepada kejahatan akan cuba membebaskan diri daripada ketua-ketua itu tetapi tidak akan berjaya melakukan demikian Ketua dan pengikut itu kedua-duanya akan dihukum kerana syirik kepada Allah. “...Dan jika kamu lihat orang-orang zalim itu dihadapkan di hadapan Tuhan mereka, sebahagian daripada mereka menujukan perkataan kepada sebahagian yang lain; orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombong diri: “Kalau tidaklah kerana kamu tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman.” Orang-orang yang menyombong diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah: “Kamikah yang menghalang kamu dari petunjuk sesudah petunjuk itu datang kepada kamu? Sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berdosa.” Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: “Sebenarnya tipu daya kamu di waktu malam dan siang (yang menghalangi kami ), ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu kepadaNya.” Kedua belah pihak menyatakan kekesalan tatkala mereka melihat azab...” (Saba’ 31-33)

Kisah Rasulullah SAW dan Abu Talib yang nazak dan cubaan baginda untuk meyakinkan pakciknya kepada Islam: “Wahai pakcik! Sebutlah la ilaha illa Allah, kalimah yang boleh aku gunakan bagi pihakmu di hadapan Tuhanku (dengan itu Dia akan mengampunkan kamu). Abu Talib hampir memeluk Islam tetapi Abu Jahal yang turut hadir telah berkata: “Apakah kamu mahu meninggalkan agama (bapa kamu) Abd alMutalib?” Jadi dia meninggal di atas agama Abd alMutalib. (Dalam riwayat Bukhari)

Syirik yang terjadi di kalangan arab jahiliyyah juga merupakan akibat daripada seorang lelaki: Amr Ibnu Luhay alKhuza’i. Dia merupakan orang pertama yang memperkenalkan berhala dalam masyarakat arab selepas zaman Ibrahim a.s. (Sirah Ibnu Hisham/lihat arRaheeq alMakhtum)

Abdullah Ibnu Mas’ud meriwayatkan suatu ketika Rasulullah SAW melukiskan suatu garisan lurus di atas pasir dan baginda bersabda: “Ini adalah jalan Allah.” Baginda kemudiannya melukis garisan-garisan di kanan dan kiri garisan lurus itu dan bersabda: “Ini adalah jalan-jalan yang tiada satu jalan pun melainkan di atasnya ada syaitan yang menyeru kepadanya. Baginda kemudian membacakan (AlAn’am 153): Inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah dan jangan mengikuti jalan-jalan yang lain nescaya kamu akan terpisah jauh dari jalan (Allah). (Riwayat Ahmad) [Rujuk Ibnu Kathir mengenai tafsir ayat 153]

Aban Bin Usman berkata: Seorang bertanya kepada Ibnu Mas’ud: “Apakah shiraath mustaqim (jalan yang lurus) itu?” Jawab Ibnu Mas’uud: Rasulullah SAW telah meninggalkan kita di atas jalan yang hujungnya syurga dan dikanannya ada jalan dan dikirinya juga ada jalan, dan orang-orang yang berseru sesiapa yang berjalan di situ, maka sesiapa yang mengikuti jalan disebelah kanan atau kiri masuk ke neraka dan sesiapa yang tetap di atas jalan yang lurus sampai ke syurga.” Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan ayat 153 Surah AlAn’am [Tafsir Ibnu Kathir]
Telah diriwayatkan daripada Huzaifah Ibnu AlYaman yang telah mengatakan: Orang menanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai perkara-perkara kebaikan. Tetapi aku bertanya kepada baginda mengenai keburukan dibimbangi aku jatuh ke dalamnya. Aku berkata kepada Rasulullah SAW: Rasulullah, kami telah berada dalam kejahilan dan kejahatan dan kemudian Tuhan membawa kebaikan kepada kami (Islam). Adakah lagi zaman buruk selepas zaman baik ini? Baginda menjawab: Ya. Aku bertanya: Adakah lagi zaman kebaikan selepas keburukan tersebut? Baginda menjawab: Ya, tetapi di dalamnya ada kejahatan yang bersembunyi (dakhanun). Aku bertanya: Apakah kejahatan yang tersembunyi (dakhanun) itu? Baginda menjawab: Orang yang mengambil jalan-jalan selain daripada jalanku dan mencari petunjuk selain daripada petunjukku. Jika engkau menemui mereka maka ingkarilah. Aku bertanya: Akan adakah masa yang buruk selepas masa yang baik ini? Baginda menjawab: Ya, apabila disana akan ada daie-daie yang mengajak ke pintu Jahanam. Sesiapa yang menyahut seruan mereka akan dicampak ke dalamnya. Aku berkata: Rasulullah khabarkan kami mengenai mereka. Baginda berkata: Mereka adalah orang-orang yang mempunyai kulit seperti kita dan berbahasa dengan bahasa kita. Aku bertanya : Apa yang engkau perintahkan kepadaku jika aku menemuinya?. Beliau bersabda: Berpegang teguhlah pada Jama'ah Muslimin dan imamnya. Aku bertanya : Bagaimana jika tidak ada jama'ah mahupun imamnya ? Beliau bersabda : Hindarilah semua firqah itu, walaupun dengan menggigit pokok pohon hingga maut menjemputmu sedangkan engkau dalam keadaan seperti itu". (Riwayat Bukhari, Muslim, Baghawi dalam Syarh Sunnah, Ibnu Majah, Hakim, Abu Dawud, Ahmad)

Mengikut amalan nenek moyang dan tradisi. Tidak bernah berfikir tentang pegangan nenek moyang, masyarakat setempat dengan mengikut secara buta tuli. Manusia merasa enggan untuk mempersoalkan nenek moyang dan budaya sehingga dia menerima sahaja apa-apa yang tidak betul dalam fahaman mereka. Allah kerap menceritakan perihal golongan begini: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutilah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab, tetapi kami akan mengikut apa yang telah diikuti oleh nenek moyang kami...(AlBaqarah, 170)

Quran memaklumkan bahawa alasan ini telah menjadi alasan utama bagi mereka yang menolak tauhid: “Bahkan mereka berkata sesungguhnya kami mendapati nenek moyang kami menganut suatu agama, dan sesungguhnya kami orang-orang yang mendapat petunjuk dengan mengikut jejak mereka. Dan demikianlah, Kami tidas mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun dalam suatu negeri melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mendapat nenek moyang kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka.” (Rasul itu) berkata: Apakah (kamu akan mengikut juga) sekali pun aku membawa untukmu (agama) yang lebih (nyata) memberi petunjuk daripada apa yang dianuti nenek moyang kamu? Mereka menjawab: Sesungguhnya kami mengingkari agama yang kamu diutuskan untuk menyampaikannya.” (AzZukhruf, 22-24)

Atas sebab ini Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang lahir berada dalam fitrah, kemudian ibu bapanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani.” (Bukhari)

Usaha syaitan mengindahkan syirik dan bidaah. Syaitan menyesatkan banyak manusia daripada jalan kebenaran dengan mengindahkan perbuatan dosa termasuk dosa syirik. Berapa ramai yang terkeluar daripada jalan kebenaran disebabkan tertipu dengan slogan-slogan indah. Kristian sesat disebabkan ‘kecintaan’ mereka terhadap Isa a.s, Rafidhah (Syiah) sesat kerana ‘mempertahankan’ hak keluarga (ahlul bait) Rasulullah SAW, Khawarij dengan slogan ‘tiada hukum melainkan hukum Allah’ lalu memberontak terhadap Saidina Ali dan sesetengah golongan sufi disebabkan kagum dengan kemuliaan para ‘wali Allah’ melampau-lampau dalam menyanjungi para ‘wali’ tersebut.

Penerangan Allah terhadap golongan sebegini: “Katakanlah, apakah kami akan memberitahu kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka merasakan mereka melakukan sebaik-baik perbuatan.” (AlKahfi, 103-104)

Beginilah yang banyak terjadi kepada golongan yang terpecah daripada jalan kebenaran atau sunnah disebabkan tertipu dengan apa yang mereka lakukan dan menyangka mereka berada di jalan kebenaran dengan melakukan perbuatan tersebut. Iblis, ketua segala Shayatin yang dilaknat telah mengisytiharkan bahawa dia akan cuba yang terbaik untuk mengindahkan dosa-dosa: “Iblis berkata, Ya Tuhanku, oleh kerana Kau telah memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.” (AlHijr, 39) Hendaklah kita menilai segala tindakan kita, apakah menurut petunjuk Rasulullah atau kita hanya tertipu dengan slogan-slogan yang indah sedangkan kita lari daripada petunjuk Rasulullah. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada tipu daya syaitan.

Tanpa ragu perkara yang paling hendak diperindahkan syaitan ialah syirik sebagaimana sabda Rasulullah bahawa Allah telah berfirman: Aku telah menciptakan hamba-hambaKu, kesemua mereka suci (dan condong beribadah kepadaku) tetapi shayatin datang dan menyesatkan mereka daripada agama. Syaitan melarang mereka daripada perkara yang aku halalkan dan menyuruh mereka untuk mengadakan sekutu terhadapKu...” (Muslim, 6853)

Mengadakan perbandingan yang salah. Yang pertama melakukan tindakan sebegini adalah iblis sendiri yang merasakan dirinya lebih baik daripada Adam kerana dia dari api sedang Adam dari tanah. Lain-lain analogi: (1) membandingkan makhluk dengan Allah seperti Kristian yang mengatakan Isa anak Allah, lalu Isa a.s itu tuhan. (2) membandingkan Allah dengan makhluk seperti membandingkan Allah dengan raja dan rakyat. Perbahasan Ibnu Taimiyah terhadap perkara ini: Sesetengah sufi yang melampau mengatakan:- “sebagaimana orang kebanyakan tidak dapat menemui raja yang berkuasa kecuali melalui menteri atau orang yang mempunyai kedudukan, begitulah mustahilnya untuk seorang yang berdosa bagi doanya dikabulkan oleh Allah kecuali dia memohon melalui seorang nabi atau seorang yang soleh.” Ibnu Taimiyah membongkar kesilapan dalam perbandingan ini dengan mengatakan perantara di antara orang awam dengan raja itu memainkan satu daripada tiga fungsi: Yang pertama, perantara itu berfungsi sebagai ‘pemberitahu’, memberitahu seorang raja yang adil dan soleh mengenai keperluan orang awam kerana orang awam kebiasaannya jarang dapat bertemu dengan raja. Dan sudah tentu fungsi ini tidak diperlukan oleh Allah kerana dia mengetahui setiap rahsia. Yang keduanya, perantara itu mungkin berfungsi sebagai ‘pembantu’, kerana raja tidak mungkin boleh menangani segala urusan rakyatnya. Jadi pembantu-pembantu ini dan perantara ini membantu dalam urusan raja. Sekali lagi analogi ini tidak dapat dikaitkan dengan Allah kerana Allah tidak memerlukan bantuan dan tidak ada sebarang makhluk dapat ‘membantu’ Allah dalam apa-apa urusan. Yang ketiganya, ia adalah mungkin untuk seorang raja untuk tidak menunaikan permintaan seseorang kecuali untuk menggembirakan hati seseorang. Oleh itu jika seseorang yang tidak mempunyai status meminta kepada raja sebegitu, permintaannya tidak akan dikabulkan kecuali ada orang yang lebih tinggi statusnya memohon bagi pihak dia. Raja sebegitu secara umumnya adalah raja yang tidak adil dan zalim, kerana dia tidak akan mengabulkan permintaan kecuali jika berkaitan dengan kepentingan peribadinya. Jadi ini juga tidak boleh dikaitkan dengan Allah, kerana Allah Maha Pengasih, dan Maha Adil Allah meliputi segala perkara. Jadi Ibnu Taimiyah telah membuktikan analogi (Allah dan hambaNya seperti raja dan rakyat) adalah hujah menentang sesiapa yang hendak menggunakan analogi ini walau pun sekali pandang analogi ini merupakan bukti baik menyokong dakwaan mereka. (Majma’ AlFatawa). (3) Membandingkan orang-orang yang soleh dengan nabi. Sebagaimana kepercayaan sufi melampau yang mendakwa para wali memancarkan berkat dari badan dan kepunyaan mereka. Hanya baginda Rasulullah SAW sahaja yang Allah berkati sehingga tahap itu. Itulah sebab para sahabat berlumba-lumba untuk mendapatkan baki wudhu, atau memiliki rambut dan peluh baginda untuk keberkatan. Para sahabat maklum bahawa ini hanya istimewa untuk Rasulullah dan kerana itu mereka tidak pula berlumba-lumba untuk memiliki berkat daripada Abu Bakar, Umar dan lain-lain. (4) Membandingkan rasul-rasul yang telah wafat dengan semasa hidup mereka. Ramai orang memohon kepada rasul-rasul yang telah wafat supaya mendoakan mereka . Membandingkan kehidupan rasul semasa hidup dan setelah baginda wafat dengan mengatakan sama sahaja membawa kepada syirik. Tiada dalil yang mengatakan baginda boleh mendengar doa atau ucapan yang dibuat di kubur baginda. Perkara yang hanya sampai kepada baginda setelah baginda wafat sebagaimana diterangkan oleh baginda ialah selawat ke atas baginda kerana Allah telah menyuruh malaikat yang khusus untuk membawa salam ini kepada baginda. Oleh itu, tiada seorang pun sahabat yang meminta-minta kepada baginda selepas baginda wafat. (Abu Ammar Yasir Qadhi, Syarh AlKasyfu Subhat)

Berbohong mengenai Allah. Sebagai contoh dakwaan Kristian yang mengatakan Allah mempunyai anak. Dakwaan seperti mengatakan Allah telah melantik sesetengah orang untuk ‘memelihara’ bumi dan menjaga keperluan hamba-hambaNya. “Katakanlah Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak atau pun tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) menyekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu, dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Al’A’raaf,33)

Bongkak dan mengikut hawa nafsu. “...mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.” (AnNajm, 23)

Contoh pada zaman Rasulullah SAW adalah Emperor Rom yang bernama Heraclius: Dia seorang yang berilmu yang dengan pengetahuannya mengetahui daripada kitab-kitab terdahulu bahawa seorang nabi akan diutuskan oleh Allah. Apabila berita mengenai nabi Muhammad Saw sampai kepadanya dia telah memanggil Abu Sufyan untuk menghadapnya. Abu Sufyan yang masih jahiliyah ketika itu berada di kawasan berhampiran berkabilah niaga. Selepas bercakap-cakap dengan Abu Sufyan dan bertanya tentang perincian Nabi SAW, Heraclius berkata: “Aku yakin seorang nabi akan diutuskan, tetapi aku tak menyangka yang baginda akan datang daripada kalangan kamu.” Dan jika benar baginda seorang nabi, sungguh baginda akan menguasai tanah di bawah kakiku.” Heraclius tahu bahawa itu adalah nabi yang ditungu-tunggunya walau bagaimana pun Heraclius mahu menguji para pengikut dan menterinya tentang reaksi mereka jika dia memeluk Islam. Adakah mereka akan membiarkan dia kekal dalam kuasanya? Dia membuat suatu perjumpaan melibatkan semua menteri-menteri jajahannya, dan mengunci pintu-pintu yang mengarah ke bilik itu. Dia kemudiaannya mengumumkan keislamannya. Saat itu kekecohan berlaku dan menteri-menteri cuba keluar daripada bilik tersebut. Mereka dapati pintu terkunci dan Heraclius dapati mereka tidak dapat menerima jika Heraclius memeluk Islam, Heraclius mengumumkan dia hanya menguji mereka dan mengumumkan akan taat kepada Kristian selamanya. (Rujuk Sahih Bukhari berkenaan pertemuan Heraclius dengan Abu Sufyan dan surat Rasulullah kepada Heraclius). Heraclius tidak menerima Islam kerana pentingkan kekuasaan dan kedudukannya dengan terus-terusan berada dalam syirik iaitu mengangkat Isa a.s ke tahap uluhiyyah.