Thursday, July 28, 2005

Melayu Mudah Lupa



Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara­-perkara itu ialah:
1.Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2.Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

3.Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4.Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5.Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".

H.R Ibnu Majah

Saturday, July 02, 2005

Bidak Muslihat

Bidak Muslihat

Muram itu kerap mencalit sedar pada kanvas tawarikh
Luka itu kami biar jua sampai membening hamis
Nanah hanyir bikin kami warawiri dalam manggu
Inilah kami yang nanar lantas meraba dalam terang
Sekonyong-konyong bersiponggang kata dari langit
“Kamu yang teraba-raba itu sebenarnya ditipu!”
Dalam gawat kabut yang membebat seribu generasi
Kami selidiki bidak benci yang tegar mengeja muslihat
Kelicikan apa yang buat kami dungu seribu keturunan?
Sampai kami pandir mengakui singa itu kijang
Kami jilid lembar samawi yang bersepahan
Sumpah! Kami ini pernah buta!
Sumpah! Kami ini takkan selamanya buta!
Tidak mahu kami terkatung bagai biduk hilang kemudi
Atau pidana dalam wilayah sendiri
Lantas kami bakar dupa jahil dengan api sedar
Biar mewangi sampai kelahiran terakhir
Sampai bumi berantakan digoncang sangkakala
Kerana kami
Tidak rela menjadi bodoh.