Monday, June 27, 2005

Maafkanku Ramallah


Maafkanku Ramalllah

Si cilik itu tegar melontar benci
Batu dan iman menjadi satu
Katanya dia rindukan atar firdausi
Lantas dia mencari pada kematian
Tatkala aku mengatakan dia mati
Menyusup suara dari lembah Golan
Anak kecil itu sebetulnya pencari shahid!
Hidup memisahkan dia dan cintanya
Andai dia punya seribu nyawa
Seribu kali dia sanggup
Dalam lirih pedih
Tubuh cilik itu diarak takbir
Ramallah merayu lagi
Pernah rintihmu diabaikan?
Lalu seribu lagi anak kecil menyerbu
Berjejal di lorong syurga
Dan aku kaku
Malu.

Maafkan aku...
Bangsaku masih lena.

Hafeziftiqar,Melbourne.

Wednesday, June 22, 2005

Eretz Yisrael



Eretz Yisrael

Si cilik mengucup Torah
Bersumpah dia atas nama Musa
Eretz Yisrael suatu penipuan!
Dinaungi Naturei Karta
Dia membakar maruah Yisrael
Menampal najis pada tembok apartheid
Berdoa di Wailing Wall
Demi sebuah Palestin Merdeka
Supaya dia
Layak digelar manusia.

Hafeziftiqar, Australia.

Monday, June 20, 2005

Astana Fantasia

Astana Fantasia 3
Syarat tahun ini seperti dua siri yang sudah, walang atau gemilang ditentukan oleh jumlah undian menerusi Sistem Mesej Sia-sia (SMS). Tahun ini entah siapa pula yang akan dinobatkan sebagai sang dewata yang akan memiliki astana fantasia seterusnya mengepalai Kampong Gumbira. Hangat, memang hangat. Menambahkan lagi kehangatan, puluhan tukang kutuk baik profesional atau tidak telah diupah khas untuk mengutuk persembahan muda mudi yang bersaing dalam rancangan realiti kehidupan itu. Seperti tahun-tahun yang sudah, rancangan itu akan dipertontonkan menerusi kaca televisyen sebanyak seratus siaran seminggu, biar seluruh penduduk Kampong Gumbira, baik tua atau muda, sihat atau sakit, lapang atau sibuk, papa atau kaya, hidup atau mati, semuanya punya kesempatan buat menonton acara pemilihan sang dewata itu.

Astana Fantasia agam berdiri dipagari rumah-rumah kotak penduduk Kampong Gumbira. Di situ, muda mudi yang berangan untuk menjadi sang dewata akan diasuh bersiul. Ya, bersiul! Itulah syarat utama untuk menjadi sang dewata. Anak-anak Kampong Gumbira yang terpilih akan dididik dengan teknik bersiul yang betul. Panjang lancipan bibir, kelangsingan siulan, mimik muka, teknik talaan pinggul, teknik pusing-pusing dan pelbagai lagi. Kamera yang menjejali tiap ruang Astana Fantasia siap untuk merakamkan kehidupan muda mudi yang bolak-balik di dalamnya buat tatapan seluruh penduduk Kampong Gumbira hinggakan ramai muda mudi menjadi bodoh kerana menonton rancangan itu. Hingga ada yang mahu menjajarkan seluruh kehidupannya supaya sama dengan kehidupan seorang calon sang dewata. Sampai masa yang pergi tak kembali digunakan khusus mengorek perkara-perkara remeh. Apa warna kegemaran? Makanan kegemaran? Ciri-ciri wanita idaman? Nama kucing kesayangan? Dah berpunya atau belum? Pengalaman pahit? Pengalaman melihat toyol? Air tin kegemaran? Jenama roti kegemaran? Ingin tahu semuanya, ingin buat semuanya. Sampai ada yang dimasukkan ke hospital kerana alergi makan udang akibat mahu seratus peratus dan tanpa was-was sama seperti idolanya.

Abang Ortodoks atau nama sebenarnya Sunnah bin Quran sudah mati kutu untuk menyedarkan seluruh penghuni Kampong Gumbira bahawa kelewahan dalam perkara-perkara remeh itu sengaja diwujudkan supaya mereka lalai dan lupa tentang tujuan dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Hingga dia beroleh gelaran ortodoks kerana kesungguhan memperjuangkan fikrahnya. Dia mahu penduduk-penduduk Kampong Gumbira tahu, ini adalah sebahagian daripada rancangan jembalang-jembalang yang memusuhi mereka. Jembalang-jembalang itu diketuai oleh seekor jembalang pendek gendut yang mempunyai tatu bintang bersegi enam di dahi. Jembalang-jembalang itu sengaja menyesakkan fikiran penduduk Kampong Gumbira dengan lagu-lagu, wayang gambar, pergaulan bebas, rokok, sukan, keseronokan, makanan, fesyen dan kepercayaan cacamarba. Secara halus, jembalang-jembalang itu menyerang cara fikir dan secara berperingkat akan menakluki Kampong Gumbira beserta kampong-kampong yang berada disekitarnya dengan menggunakan modus operandi yang sama. Abang Ortodoks bimbang, jika nanti penduduk kampung mampu menjujurkan bergelen air mata apabila seorang peserta rancangan Astana Fantasia tersingkir tapi tidak ketika saudara-saudara seagama mati dihenyak jembalang-jembalang pongoh. Abang Ortodoks risau, jika nanti anak-anak muda senang dihunjam ke dalam kuburan besar kerana tidak berdaya di medan perang akibat keputusan bekalan rokok. Abang Ortodoks gundah, jika nanti muda mudi lebih kenal Beckham si penzina daripada pejuang-pejuang yang hidup matinya adalah semata kerana Tuhan. Abang Ortodoks gelisah, jika nanti penduduk kampong akan lebih sibuk membelek katalog fesyen daripada membelek manual penentangan jembalang yang tertulis dalam buku Tuhan dan himpunan kata-kata pesuruhNya. Risau, risau dan risau. Kerana risau, dia terus menyeru penduduk kampong supaya sedar akan perangkap halus yang telah dipasang oleh para jembalang.

Kerisauan Abang Ortodoks berasas. Malam minggu itu, ketika penduduk Kampong Gumbira ternganga di hadapan peti televisyen menyaksikan rancangan Astana Fantasia, soldadu jembalang sudah berada di perbatasan Kampong Singa Pura-pura yang hanya dipisahkan dengan Kampong Gumbira oleh Selat Sebarau. Ketumbukan jembalang itu diketuai oleh jembalang gendut pendek yang menunggang helang raksasa. Abang Ortodoks lari tak cukup tanah, menjuju dia ke arah pentas yang sesak dengan sepuluh peserta yang sedang bersiul sambil menghayun pinggul kanan kiri.
Gumam. Peserta Astana Fantasia berhenti bersiul. Tukang kutuk profesional yang duduk hampir dengan pentas senyap. Penonton yang kebanyakannya bertudung juga terdiam. Sunyi.

“Saya, Sunnah bin Quran membawa pengkhabaran yang mesti kita bimbangkan!” Abang Ortodoks jerit sepenuh hati.
“Kamu semua mesti percaya kepada saya, dan selagi mana kamu berpegang dengan kata-kata saya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya!” Abang Ortodoks jerit lagi.
“Jembalang-jembalang itu tidak akan redha dengan kamu hinggalah kamu akur dengan cara hidup mereka!” Abang Ortodoks menambah, isi auditorium masih senyap.
“Sekarang mereka sedang menyerang kita, berjuanglah dengan penuh keimanan hingga nanti batu-batu dan pokok-pokok akan memberitahu kamu di mana jembalang-jembalang itu bersembunyi kecuali pohon Gharqad kerana pohon itu milik jembalang-jembalang berkenaan!” Abang Ortodoks menujah-nujah tangan ke angkasa, semangat.
“Tipu!” Jerit salah seorang penonton. Abang Ortodoks kenal benar akan pemilik suara itu, Haji Malboro, jiran sebelah rumahnya yang naik haji tahun lepas.
“Ortodoks!” Itu pula suara Hajah Habib Permata, bini kepada Haji Malboro.
O-R-T-O-D-O-K-S! J-U-M-U-D! K-O-L-O-T!


Muda mudi, tuan-tuan haji dan puan-puan hajah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik, adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang yang memenuhi auditorium Astana Fantasia sahut-sahutan seperti ungka. Bingit auditorium dengan tiga patah kata itu, khas buat Abang Ortodoks.
“Pergi kau Ortodoks, daripada kau berbuat kacau di sini, lebih baik kau pulang ke rumah dan makan biskut mayat!” Jerkah salah seorang tukang kutuk profesional. Sekonyong-konyong Sunnah bin Quran atau yang digelar oleh penduduk Kampong Gumbira sebagai Abang Ortodoks itu dihalau keluar dari auditorium.

Abang Ortodoks tidak patah semangat, walaupun dia berseorangan dia akan tetap berhadapan dengan jembalang gendut pendek. Malam itu, seorang pun tidak bersama Abang Ortodoks ke perbatasan. Pemuda yang diajak akan pergi hanya jika diberi rokok percuma, awek cun atau tiket ke Madrid. Pemudi yang diajak hanya akan pergi jika diberi baucar membeli-belah percuma di gedung Akusetan, album-album percuma atau tiket wayang percuma di Panggung Tengok Gila Virus (TGV). Malam itu, Abang Ortodoks sendirian menentang jembalang gendut pendek dan ketumbukan tenteranya. Dia berjuang mati-matian dan penuh dengan kesabaran. Keazaman dan kesabaran Abang Ortodoks itu sampai mengundang bimbang di hati jembalang gendut pendek, bimbang kalau-kalau ada orang yang telah terpengaruh dengan seruan Abang Ortodoks. Orang seperti Abang Ortodoks, kalau seratus akan mampu menewaskan dua ratus, kalau seribu akan mampu menewaskan dua ribu. Malam dan dingin menjadi saksi kematian Abang Ortodoks yang penuh dengan kemuliaan. Jasad Abang Ortodoks telah dipijak oleh helang raksasa dan sebelum jasad itu luluh menjadi cebisan daging, Abang Ortodoks sempat bersumpah bahawa nanti akan ada satu golongan yang berpaut teguh dengan kata-katanya. Jembalang gendut pendek senyum sinis. Dia terus mara bersama helang raksasa dan jembalang-jembalang pongoh. Mara terus tanpa sebarang penentangan.

Saturday, June 18, 2005

---Thanks for everything---

'When the night seems to be its darkest, it means the sun will soon rise up', hang in there!

Tuesday, June 07, 2005

Saudaraku



Saudaraku
(Ya ikhwati
)

Semilir memuputkan benih resah
cambah; menunaskan pucuk gundah
tumbuh; menggapai awan hiba
cambah; berumbi akar lara
hunjam; dalam ke dasar hati
titis fitnah meratai pelataran
menyuburkan pohon resah
merimbun.

Benarkah?
khabarnya gentala juang kaku
andar dijerkah dakyah petualang
sudah jerakah wahai saudara
dengan mehnah dan ujian
rencam daerah jahiliyah
falsafah sesat jebak jahanam
keletah bangsat pembunuh iman
perosak.

Sabarlah
saudara pencari redha Tuhan
binalah permatang keyakinan
ujian itu pemasak iman
lihatlah pohon yang meranggas daunan
lesu tanpa seri di dada takwim
nanti akan bertunas kembali
membungakan keindahan
mengharumkan ujana
bukan selamanya mati
yakinlah.

Friday, June 03, 2005

Si Pelupa



Sajak sengsara,

latar derita,

ritma seksa,

rima duka,

tema lara.



Kita ceria.

Kasihanilah



Hamis kemboja

Taman neraka

Tanih derita

Wajah murka

Birat sengsara

Doa tiada



Aku mau pulang!