Sunday, April 17, 2005

MONOLOG

Ya Allah,
usahlah nanti,
tinta berbicara,
di dataran bah,
peluh di Mahsyar,
'Inilah tuanku,
yang tulisnya,
tak serupa bikin.'

Nauzubillah...

Saturday, April 16, 2005

-12 Rabi'ulawal Yang Menggamit Rindu-

Janji Kami
(bersempena 12 Rabiu’lawal 1426 Hijrah)

Rasulullah,
Kami telusuri tinta panjang sirahmu,
12 Rabiu’lawal yang barakah,
Liku juang penuh duga mehnah,
Buat mengutip semangat segar,
Menggalas syiar menggapai redha.

Ya Allah,
Kami mengadu fakirnya diri,
Kami rindu Muhammad Abdullah,
Tegarnya cinta terhadap kami,
Dijengah ajal setia dengan ‘ummati’,
Sedang kami culas berjuang.

Rasulullah,
Kami kerdil di sisi peribadimu,
Agung kasihmu terhadap kami,
Kepalang sakit tidak terperi,
Dijalari maut masih bertanya,
Ganjaran kami di hari kemudian.

Ya Allah,
Titipkan rindu kami padanya,
Janji kami terhadap junjungan,
Kekal tabah mengusung juang,
Quran dan sunnah sebagai bekal,
Walau kami dinista disisih.

-6 Rabiulawal, 12.51pm, australia-

Wednesday, April 13, 2005

ReNuNgaN


ReNuNgaN
Posted by: hafeziftiqar.
-Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah bahawa Dia mengirim angin sebagai pembawa berita gembira dan untuk merasakan kepada mu sebahagian drp rahmatNya dan supaya kapal dapat belayar dengan perintahNya dan juga supaya kamu dapat mencari kurniaNya. Mudah-mudahan kamu bersyukur (Ar Ruum; 30:46)-

--An0Nymous--serangan pertama =)

Ucapan terima kasih kepada saudara/ri anonymous yg menulis:
Anonymous said...
karut lah kamu ini,melayu yg terlampau nak menjadi arab nampaknya.Arab tak semestinya Islam,Islam tak semestinya Melayu.Kamu seorang jumud pada pandangan saya.
10:46 PM
(komen terhadap cerpen anak pungut)

komen saya: tak perlu meniru identiti arab sedang kita punya identiti sendiri. Kalau saya diberi pilihan oleh Allah untuk menjadi arab atau Islam, saya pilih Islam. Kenyataan: Arab tak semestinya Islam, Islam tak semestinya melayu akan hanya dibuat oleh manusia yang takuk fikirannya rendah kerana Islam adalah agama universal, hatta jika seorang manusia yang kerjanya menyembah ulat gonggok sebagai tuhan akan menjadi Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah; tanpa perlu mengira citra seperti bangsa. Andai arab atau melayu yang mengambil keputusan untuk menyembah ulat gonggok, maka secara automatik dia keluar dari Islam (usahlah membuat kenyataan yang dangkal sebegini lagi)-maaf contoh yang saya gunakan (ulat gonggok) terlampau dan melampau=).

jumud: harap pemberi komen jelas dgn maksud kata ini. jumud ertinya beku, kaku dan kolot. orang yg mengatakan melayu tidak boleh jadi arab dan arab tidak boleh jadi melayu (yang sy maksudkan dr segi pemikiran, mana mungkin boleh ditukar penampilan fizikal, daripada hidung kemek kepada hidung mancung-kecualilah dengan berbelanja besar untuk pembedahan plastik- atau berdada licin kepada penuh dengan bulu-bulu kerinting-kecualilah dengan manipulasi susunan genetik agar boleh diekspresikan oleh tRNA kepada 'protein bulu banyak' : harap teman2 dalam bidang perubatan atau yang pernah mengambil biologi tidak mentertawakan saya ), adalah sebenar-benarnya jumud. Andai pemikiran boleh dikombinasikan dengan pelbagai citra fikir, itulah yang dikatakan berfikiran terbuka, untuk lebih terbuka lagi, saya cadangkan citra fikir kita digabungkan antara panduan fikir samawi (bimbingan wahyu ie Al-Quran) dan pengalaman (yang ini termasuk cara fikir arab, melayu,cina,india,yahudi dsb) yang boleh diasimilasi menerusi pendedahan budaya, penghayatan massa, dan pembacaan. berdasarkan definisi yang telah saya nyatakan: pendapat saya pemberi komenlah jumud kerana hanya meletakkan cara fikir melayu sekadar dalam lingkungan melayunya. Karutlah pemberi komen ini, seorang yang terlampau jumud pada pandangan saya (ps: saudara/ri, jumud itu kalimah arab; kalau mahu mengekalkan identiti melayu: gunakan kata berikut-kolot, beku atau kaku)

Saya sertakan petikan dari Surah AlBaqarah (surah lembu betina @ sapi dalam bahasa melayunya, ps: jangan sampai memelayukan kesemuanya persis Mustafa Kamal Attartuk yg menjangkau batas yg ditetapkan Allah)

'hai org2 yg beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) setelah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana'(2:208-209)

juga ole-ole (bagi meraikan melayu yg kaya dengan seni) buat saudara/ri yg memberi komen:

ilmu dan faham mestilah maujud,
tidak nanti tersalah nahu;
habis orang dikatanya jumud,
jumud sendiri siapa yang tahu?

(maaf kiranya kata yang saya susun terlampau keras, maaf juga kerana selepas ini saya tidak akan melayan pendapat sebegini dangkal kerana banyak mensia-siakan masa saya)

wallahualam.

Tuesday, April 12, 2005

CiNtA YaNg KeCiCiRaN


Antara debar dan derap perjuangan, Peluh mula mengalir meracik kesabaran... Masih belum mengertikah sahabatku? Segala cinta dusta dan buta, kecuali cinta kepada Si Pencipta...DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali, harapnya tidak dengan cinta yang keciciran dan hilang...ketika meranduk sungai cinta yang palsu....



Mudah benar kau tertipu wahai sahabat, dengan fatamorgana yang kau kejar dari kejauhan, hilang apabila hampir. Kau ditipu nafsu; lalu kau hamburkan perkataan sia-sia, lupa segala yang kau ucapkan, bakal menjadi saksi di mahkamah Tuhan Maha Adil.



'Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang beriman. Padahal orang-orang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendakiNya tanpa batasan'(2:212)



Esok mungkin kau dihidupkan lagi, atau mungkin kau sudah tiada...mahukah lagi mencabar Tuhan?sedangkan maut sentiasa mengintai, dicelahan Qada dan Qadar.Usahlah terus tertipu, menjadi pengucap kata yang sia-sia atau pelanggar hukum Allah yang setia...kerana kau tidak mengetahui, bila maut akan menerkam...


Kau sudah lama benar tertipu duhai sahabat, lupakah kau pada kata-kata Ruhul Qudus, Jibril as kepada Rasulullah, 'cintailah segala yang kau miliki semahumu, akhirnya kau terpaksa berpisah dengannya.' Gengamlah tanganku ini, kita lestarikan cinta yang lama terkubur...


Marahkah dikau sahabat, andaiku cuba mengajak kepada yang makruf? Mengertilah,aku tidak lagi mampu bersabar,bimbang... esok bukan lagi hari yang dijanjikan buatmu...kerana aku benar2 mencintaimu, cinta kerana Si Pencipta....



-hafeziftiqar.10.39pm.australia-
(nota: dedikasi utk bro aiman yang sangat menghargai sajak ini dgn titipan jazakallah)

Sunday, April 10, 2005

Nikmatnya cinta, rindu dan sayang

Tanah ini begitu asing tetapi hampir di hati...
Di celahan praktik hidup yang hitam membening
peliknya ku belajar erti cinta rindu dan sayang,
Di tanah asing ini, ku nikmati kehangatan ukhuwah fillah
di kesejukan musim luruh
yang mula menyusup ke tulang hitam...

Semalam ku susuri liku jalan
yang membentuk peta benua...
keindahan selatan benua
hampir sahaja menenggelamkan lelah
perjalanan ratusan batu,
yang lebih indah
persaudaraan kita yang barakah,
yang menenggelamkan terus
lelah yang memberatkan tubuh...

Di sebalik praktik hidup yang hitam membening,
ku panjatkan syukur kepada Ilahi...
kerana kita ditemukan di sini,
membungakan kasih sayang,
haruman yang menemani sepanjang jalan...
jalan yang akan kita tabahi bersama,
kerana cinta kita yang satu...

Semalam ku pelajari sesuatu yang bermakna...
cinta ini bukan cinta yang terpisah oleh 'Great Barrier Reef'...
Haruman cinta ini sudah mengharum
sampai ke jiwa-jiwa yang bertebar di tujuh benua.
Hati-hati yang telah memilih jalan yang sama...
Jalan untuk mencintai Allah
dan menegakkan agamanya...

Alangkah nikmatnya
andai lebih ramai yang mengerti...
betapa cinta ini,
menyamankan panas khatulistiwa,
dan menghangatkan musim-musim yang dingin...
Inilah cinta yang berkurun aku jejaki...
yang akhirnya ku temui
sesudah memugar erti akidah
di bumi asing ini...

Marilah menjadi pemugar cinta yang hakiki ini...
kerana haruman cinta ini akan kekal abadi...
menemanimu menemui kekasih yang lama menanti...
di sini nanti akan kau pelajari erti cinta rindu dan sayang...
di sebalik istilah palsu yang lama dijajakan...

'Dan berpeganglah kamu semua kepada tali(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu dahulu ketika kamu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati mu, lalu menjadilah kamu atas nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.'(3:103)

Alangkah harumnya haruman cinta kita...
Hakiki...Suci...Abadi...
Nikmatnya cinta ini kerana kita mencintai Ilahi=)

-hafez iftiqar.ahad. 27 mac.913 pm. australia-

nota: dinukil bersempena lawatan ke Great Ocean Road bersama teman-teman di bumi Kangaroo.

<<-mengapa sukar->>

MENGAPA SUKAR?
(Refleksi diri dan ikhtibar semua taulan)

Mengapa sukar?
Membuka jendela hati,
buat diresapi nur Ilahi,
dari kata-kata mulus dan halus,
atau kasar dan benar,
mengenai Allah dan RasulNya
memang sudah fitrah;
yang benar melukakan,
bagi pelanggar hukum Allah,
dan pemugar kesia-siaan.

Besar benar ego diri,
lantaran lupa pada kitab ruhi;
pengkisahan ego iblis derhaka,
rela dimurkai memenangkan ego,
lalu dilaknat menjadi hina lagi menghinakan,
bermusafir menyesatkan manusia,
membajak ego dan degil,
agar punya teman terbakar,
dalam jahanam yang dibenci.

Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada
para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam,
maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan
dan takabur dan adalah dia termasuk golongan
orang-orang yang kafir.(Al-Baqarah:34)

Semalam aku terpempan dek hakikat
kata-kata Ibrahim Adham yang mulia:
Manusia makhluk hina dari air yang hanyir,
ke hulu ke hilir mengusung najis,
yang bergudang hamis di dalam usus,
tiba saat dipanggil pulang,
perutnya diasak orang,
mengeluarkan najis yang bersisa,
sebelum diusung ke kuburan.

Mengapa sukar?
menerima tazkirah dan teguran,
andai begitu hakikatnya,
andai diri,
ke hulu dan ke hilir,
mengusung najis…

-hafeziftiqar,8.28 pm, australia,10 April 2005-